Salah sebuah doa yang Allah ajar kepada kita ialah di dalam ayat kesepuluh surah al-Hasyr. Ia bermaksud: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan lagi Penyayang.

tadah_tangan_doa.jpeg

Doa ini dibacakan oleh kaum Ansar kepada kaum Muhajirin. Ada juga yang berpendapat, ia dibaca oleh mereka yang memeluk Islam selepas kaum Ansar dan Muhajirin. Namun apa yang penting, wujud sikap mulia saling mendoakan di antara sesama umat Islam pada zaman Rasulullah. Mereka tidak membataskan doa kepada diri sendiri atau ahli keluarga sahaja, tetapi meluaskannya kepada seluruh umat Islam. Sikap mulia seperti ini patut kita contohi dan lazimi dalam doa-doa harian kita.

Bercakap tentang sikap mulia, sebuah lagi contoh agung ialah bagaimana kaum Ansar membantu kaum Muhajirin ketika mereka baru sampai ke Madinah dari Mekah. Kaum Ansar tetap membantu kaum Muhajirin meskipun mereka sendiri dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan. Allah memuliakan kaum Ansar dengan firman-Nya:

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu.

Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. [al-Hasyr 59:09]

 

Memohon Ampun

Saya yakin ramai pembaca yang sudah menghafal doa di atas dan lazim membacanya. Apa kata kita merenung sejenak kandungan doa, agar kita lebih menghargai dan memahami apa yang kita doakan. Ia bermula dengan memohon keampunan Allah ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kita: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.

Doa ini berbentuk umum, bererti kita mendoakan keampunan Allah kepada ibubapa kita, saudara-mara kita dan semua umat Islam yang telah hidup dan mati sebelum kita. Di sini juga terdapat petunjuk bahawa seseorang itu tidak perlu mengadakan majlis khas pada ulang tahun tertentu bagi mendoakan keampunan Allah kepada ahli keluarganya yang sudah meninggal dunia. Adalah lebih utama membaca doa ini, kerana ia merupakan doa daripada al-Qur’an yang boleh dibaca pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

 

Masalah Hati

Doa ini seterusnya menyenth satu isu yang amat kronik lagi meluas di kalangan sesama umat Islam, iaitu masalah hati. Tidak terselindung lagi bahawa permusuhan, dendam dan kedengkian di antara sesama umat Islam merupakan salah satu ciri bagi kebanyakan umat Islam. Bahkan lebih “beragama” seseorang itu, lebih hebat permusuhan, dendam dan kedengkiannya berbanding orang yang “biasa-biasa” tahap agamanya.

Masalah hati di antara umat Islam bukanlah sesuatu yang boleh diuruskan dengan mudah. Bukankah Allah telah berfirman: Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hatimereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Anfal 8:63]

Permusuhan, dendam dan kedengkian juga hanya akan hilang apabila umat Islam masuk syurga, jika mereka layak untuk masuk syurga. Firman Allah: Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing… [al-A’raaf 7:43. Lihat juga al-Hijr 15:47]

Sementara itu, apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa sebagaimana rangkap kedua dalam doa di atas: … dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Hendaklah kita yakin lagi bersungguh-sungguh memberi perhatian kepada apa yang didoakan kerana Rasulullah telah mengingatkan: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian meyakini ia akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lupa lagi lalai. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3379]

Setelah itu hendaklah kita berusaha menjaga hati agar ia selari dengan apa yang kita doakan. Jangan dengki kepada kelebihan orang lain kerana yang memberi kelebihan itu ialah Allah jua. Jangan memusuhi sesama umat Islam kerana musuh kita yang sebenar masih banyak di luar sana. Jangan kerana berbeza pendapat kita berbeza hati, kerana perbezaan pendapat dibolehkan sementara perbezaan hati dilarang.