Soalan Adakah terdapat atur cara tertentu untuk melaksanakan puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal?   Jawapan: Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal amat dianjurkan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti puasa sepanjang tahun” [Shahih Muslim, hadis no: 1164] Adapun atur caranya, maka:
  1. Ia paling awal dimulai pada 2 Syawal. Tidak boleh berpuasa pada 1 Syawal kerana ia adalah hari Aidil Fitri.
  2. Boleh berpuasa terus 6 hari berturut-turut. Boleh juga secara berpisah-pisah, asalkan jumlah 6 hari digenapkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.
  3. Lebih afdhal mengqadha puasa Ramadhan jika ada yang ditinggalkan. Hutang yang wajib perlu dibayar lebih dahulu dari sedekah yang sunat.
  4. Ada pandangan yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Pandangan ini amat masyhur di negara kita. Akan tetapi ia adalah pandangan yang tidak memiliki dalil. Sumber rujukan bagi ibadah puasa ialah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukan shampu rambut 2 dalam 1.