Dua tahun lalu nenek saya telah dilanggar oleh sebuah kereta lalu meninggal dunia. Pada mulanya saya anggap ini takdir. Akan tetapi sejak akhir –akhir ini, hati saya asyik menyalahkan si pemandu tersebut. Masalahnya, berdosakah saya sekiranya saya berdoa kepada Allah supaya dibalas perbuatan pemandu itu dan adakah arwah nenek akan terseksa jika kami membuat pengadilan di mahkamah?

Ierma Haslita Fauzi, Mentakab, Pahang.

 

Jawapan:

Berdendam hanya membawa kerugian kepada orang yang menyimpannya. Hati menjadi sakit, fikiran menjadi kusut, kulit muka menjadi berkerut dan kesihatan sering terganggu. Oleh itulah Islam menganjurkan sikap memaafkan. Hayatilah firman Allah berikut ini: 

Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik di waktu lapang maupun sempit, orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. [Ali Imran 3:133-134]

Manakah yang lebih utama, berdendam kepada seorang manusia atau mengharapkan syurga Allah yang seluas langit dan bumi? Seandainya pemandu tersebut benar-benar salah, Allah akan menghukumnya di Akhirat kelak. Sesiapa yang bertindak zalim di dunia tidak akan terlepas daripada pengadilan Allah. 

Menuntut pengadilan di mahkamah tidak akan menyeksa arwah nenek, namun jika duit yang digunakan untuk membayar peguam digunakan untuk bersedekah di atas nama arwah nenek, pahalanya lebih besar lagi berkekalan kepada anda dan kepada arwah nenek.