Iyya! Itulah tajuk pilihan saya kali ini. Ia amalan harian yang tidak ramai mengetahui tentang kepentingannya. Ia amalan mudah tetapi agak ramai yang meremehkannya. Ia amalan kecil tetapi bakal membawa ganjaran besar, iaitu syurga Allah s.w.t.. Ia adalah ucapan “Assalamu’alaikum!”

          Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan mengucap “Assalamu’alaikum”), nescaya kalian akan mewarisi syurga.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 1466]

          Pada ketika yang lain baginda bersabda: “Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silraturahim, dirikanlah solat pada waktu malam ketika orang-orang sedang tidur (Qiamulail), nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 1085]

          Seterusnya, baginda juga bersabda: “Tidaklah kalian akan memasuki syurga sehinggalah kalian beriman dan tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang jika kalian lakukan nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” [Shahih Muslim, no: 54]

          Siapakah yang mendahului ucapan salam? Mengucapkan salam tidak terhad kepada orang Islam yang kita kenali tetapi meluas kepada semua orang Islam tanpa mengira kita mengenali mereka atau tidak. Ketika ditanya Islam yang bagaimanakah yang paling baik, Rasulullah s.a.w. menjawab: “Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenalinya dan orang yang tidak dikenalinya.” [Shahih al-Bukhari, no: 6236]

          Di sini timbul persoalan, jika dua orang muslim saling bertemu, siapakah yang sepatutnya mendahului dengan ucapan salam? Adat masyarakat akan menjawab, orang yang lebih rendah kedudukannya. Iaitu, murid mendahului salam kepada ustazahnya, pelajar mendahului salam kepada pensyarahnya, pelajar tahun baru mendahului salam kepada pelajar tahun empat, pekerja mendahului salam kepada ketuanya dan begitulah sebaliknya. Sebenarnya yang dianjurkan oleh Islam adalah sebaliknya. Orang yang memiliki kedudukan yang lebih tinggi hendaklah mendahului salam kepada orang yang lebih rendah. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya, jika ada dua orang muslim saling bertemu, siapakah yang sepatutnya mendahului dengan ucapan salam? Baginda menjawab: “Yang paling utama kedudukannya di sisi Allah.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2694

           Oleh kerana itulah sekali pun Jibrail ialah ketua para malaikat, kedudukannya itu tidak menghalangnya untuk mengucap salam kepada A’isyah ketika mendapati beliau berada di sisi Rasulullah s.a.w.. A’isyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Malaikat Jibrail mengucapkan salam kepadamu.” A’isyah menjawab: “Wa ‘alaihissalam warahmatullahi wabarakatuh.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2693]

          Jika kita mengkaji hadis-hadis dalam bab salam ini, kita akan menemui Rasulullah s.a.w. ialah orang yang pertama mendahulukan salam sama ada kepada para sahabat, para wanita dan anak-anak. Demikianlah sifat mulia baginda, sekali pun berjawatan seorang Rasul, baginda tetap mendahului salam kepada umatnya. Selari dengan anjuran di atas, Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan, seorang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan kumpulan yang kecil hendaklah memberi salam kepada kumpulan yang lebih besar jumlahnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 6232]

          Ada pun hikmah di sebalik anjuran ini ialah supaya orang yang berkedudukan tidak menjadi sombong dan ujub. Sebaliknya dia sentiasa melazimkan diri dengan sifat-sifat rendah diri dan sederhana. Diriwayatkan bahawa: “Seorang yang mendahului memberi salam akan dapat membebaskan dirinya daripada sifat sombong.” [Riwayat al-Baihaqi dan sanad yang lemah, al-Misykat al-Mashabih, no: 4666]

          Mendahulukan salam akan juga menyebabkan orang yang lebih rendah kedudukannya merasa selasa untuk berkenalan dan bersembang-sembang dengan orang yang lebih tinggi keudukannya, di mana semua ini adalah sesuatu yang amat ditekankan oleh Islam. Selain itu, orang berkedudukan yang memberi salam akan melahirkan sikap hormat kepadanya dari kalangan orang bawahannya. Walaubagaimana pun, jika orang yang berkedudukan tidak mendahulukan salam, tidaklah bererti orang yang lebih rendah tidak boleh mendahulukan salam. Dia boleh, malah patut mendahulukan salam kerana: “Sebarkanlah salam nescaya kalian menjadi tinggi (kedudukan di dunia dan akhirat)”. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 1088]

          Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam, (salah satu daripadanya ialah) engkau menjumpainya lalu mengucapkan salam kepadanya.” [Shahih Muslim, no: 2162]

          Mengucap dan menjawab salam memiliki beberapa hukum dan adab di sebaliknya. Hukum dan adab ini akan saya kupas pada edisi yang lain insya-Allah. Bagi edisi ini, memadailah saya menerangkan keutamaan serta kepentingan salam di dalam Islam. Saya meninggalkan para pembaca yang dikasihi sekalian dengan riwayat berikut daripada Thufail bin Ubay bin Ka’ab.

          Beliau pernah mengikuti Abdullah bin Umar (anak Umar bin al-Khattab) ke pasar. Tidaklah Abdullah bin Umar berselisih dengan pembeli, penjual, sehinggalah kepada penjual barang yang rosak dan sesiapa saja, melainkan beliau mengucapkan salam kepada mereka. Thufail bertanya kepada Abdullah bin Umar: “Mengapa engkau ke pasar kalau engkau tidak membeli apa-apa, tidak pula berjalan-jalan mahu pun duduk-duduk?” Abdullah bin Umar mengajak Thufail duduk bersama lalu menerangkan: “Sesungguhnya aku sengaja ke pasar semata-mata kerana ingin mengucapkan salam. Kami mengucapkan salam kepada setiap orang yang kami temui!” [al-Muwattha’, no: 1750]

          Sehingga kita bertemu lagi, Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.