Soalan

Apakah hukum wanita yang sekejap memakai tudung dan sekejap tidak memakainya ketika keluar rumah? Adakah itu perbuatan berdosa?

Suhriyah, Puchong, Selangor.

Jawapan:

Allah s.w.t. berfirman: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya … hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [Surah al-Nur, ayat 31] Di antara ciri wanita beriman ialah dia memakai tudung setiap kali apabila keluar. Ini kerana memakai tudung bukan satu fesyen atau kehendak bebas tetapi merupakan perintah Allah. Wanita yang sekejap memakai tudung dan sekejap tidak, dia sebenarnya sudah ada kesedaran tentang hukum memakai tudung, hanya kadangkala imannya lemah sehingga dia terikut kepada nafsu yang enggan memakai tudung.

Saya tidak berminat dalam persoalan dosa atau tidak, sebaliknya lebih berminat kepada memberi saranan agar beristiqamah dalam memakai tudung. Maka saya sarankan beliau agar berdoa kepada Allah diberikan kekuatan iman untuk mentaati perintah larangan-Nya secara keseluruhan, termasuklah beristiqamah dalam memakai tudung setiap kali keluar rumah. Seterusnya saya sarankan agar beliau bersahabat dengan sesama muslimat yang beristiqamah dalam mentaati perintah larangan Allah, kerana sahabat yang shalih memainkan peranan yang penting untuk memberi motivasi kepadanya menjadi shalih juga.