Alhamdulillah,
kita telah melangkah ke tahun 2010. Bagi orang yang hidupnya tidak bermatlamat, malam 31 Disember 2009 menjadi malam mengira detik jam, berpesta, melancarkan bunga api dan pelbagai lagi
aktiviti lagha (sia-sia). Akan tetapi bagi mereka yang hidupnya penuh misi dan visi – tentu sekali di antaranya ialah pembaca majalah i – malam 31 Disember merupakan
malam yang menghampirkan dirinya kepada perhitungan di hadapan Allah. Masa berjalan, tahun bersilih ganti, umur meningkat. Kita memang akan dihitung di hadapan Allah dan setiap kali masuknya
tahun baru, kita semakin hampir kepada perhitungan itu.
Dengan tempoh masa yang semakin dekat kepada perhitungan, pengadilan dan balasan syurga atau neraka, apakah
keyakinan dan amalan kita sepanjang tahun 2009 menjamin perhitungan yang mudah dan berat ke arah syurga? Pertanyaan berbentuk mengaudit diri sendiri ini pernah dikemukakan oleh Allah di dalam
al-Qur’an:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan
hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” [al-Hasyr 59:19]
Apakah dalam rangka mengucapkan “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, kita
masih berjumpa dengan bomoh apabila ada di antara barang kita yang hilang? Apakah kita percaya kepada dorongan sebahagian pakar motivasi bahawa kejayaan dalam hidup bergantung kepada tarikh,
bulan atau tahun kita dilahirkan? Semua ini perlu kita renungi keranaapabila kita mengucapkan “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, ia juga bererti tidak ada yang
mengetahui hal-hal ghaib melainkan Allah. Ke mana barang kita menghilang, apa faktor penentu kejayaan tidak boleh diramalkan oleh seorang bomoh yang berserban kemas atau seorang pakar motivasi
yang bertali leher jenama Itali. Menyakini kebolehan manusia meramal merupakan satu keyakinan yang menyekutukan keesaan Allah dan ini memberi natijah yang amat buruk, sebagaimana firman
Allah:
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang
terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan umatmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari
orang-orang yang rugi.) [az-Zumar 39:65]
Setelah keyakinan, maka kita perlu mengaudit amalan kita pula. Menyentuh tentang
amalan, janganlah disempitkan kepada amalan ibadah sahaja seperti solat, puasa dan haji serta umrah, tetapi hendaklah diperluaskan kepada amalan yang melibatkan kemaslahatan agama dan
masyarakat. Ini kerana amalan yang memberi maslahat kepada orang ramai menghasilkan pahala sebanyak orang yang menerima kemaslahatan itu berbanding amalan yang memberi maslahat kepada diri
sendiri, ia menghasilkan pahala seorang sahaja.
Pernah saya terbaca sebuah artikel yang menerangkan peranan umat Islam masih minimum
dalam kerja-kerja sukarelawan dan kemasyarakatan. Jika adapun, ia sering kali terlewat, ketinggalan di belakang berbanding rakan-rakan yang belum Islam. Padahal Allah menyuruh kita
berlumba-lumba untuk melakukan amal shalih mendahului kaum belum Islam, sebagaimana firman-Nya:
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang
masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akanmembawa kamu
semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [al-Baqarah 2:148]
Maka sempena tahun 2010 ini, marilah kita mengaudit keyakinan dan amalan kita pada
tahun 2009. Bukan sekadar audit, tetapi dengan keazaman untuk menapis apa yang tercemar, menambah apa yang kurang, meluaskan apa yang sempit, memperbaiki apa yang baik, membetulkan apa yang
salah. Bukan sekadar keazaman bulan pertama sahaja, tetapi keazaman yang menyebabkan kita berlumba-lumba sepanjang tahun, sepanjang hidup.
Ini menjadi ingatan kepada diri saya dan para pembaca yang budiman sekalian, kerana
kita kerap kali berlumba-lumba tetapi dalam perlumbaan yang berlainan arah. Marilah kita merenung ayat-ayat surah at-Takatsur yang lazim kita baca, bahkan mungkin telah
menghafalnya:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal shalih) oleh perbuatan
berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur.
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang
buruk semasa mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada Hari Kiamat)!
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan
pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk Hari Akhirat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat
Neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin!
Kemudian, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmatinya di dunia
dahulu).”
Satu ruangan khas (menu utama) telah dibina bagi menjawab kekeliruan yang timbul disebabkan salahfaham terhadap perbincangan
ilmu oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah. Sehubungan dengan itu, para pembaca budiman diharap dapat memaklumkan sebarang kenyataan atau perbincangan yang mngelirukan melibatkan perbincangan ilmu
oleh Kapten Hafiz Firdaus samaada secara terus kepada beliau atau kepadapengendali laman. Harap maklum dan terima kasih.
Daftar Masuk
Ingin dapatkan buku karangan Saudara Hafiz Firdaus?
Klik Sini