Soalan 1: Hutang Puasa Tahun Lepas.

Isteri saya sedang hamil 7 bulan Ramadhan tahun ini. Dia masih belum habis mengqadha puasanya yang lepas. Adakah dia perlu membayar fidyah? Sham, Kepong, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana kesukaran-kesukaran yang diizinkan syar’e seperti tua, sakit, hamil, menyusukan bayi, kerja berat (buruh kasar) dan musafir, maka dia wajib mengganti balik sama ada dengan berpuasa atau membayar fidyah.

Pilihan terbaik ialah menggantikan puasa, namun jika tidak mampu maka dibolehkan membayar fidyah. Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. 

Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. [al-Baqarah 2:183-184]

Sekalipun ayat di atas merujuk kepada orang yang tidak dapat berpuasa di dalam bulan Ramadhan tahun ini, hukum yang terkandung di dalamnya boleh juga digunakan untuk orang yang tidak dapat menggantikan puasa Ramadhannya yang lepas. Ini kerana sama ada untuk puasa Ramadhan tahun ini atau tahun lepas, hukum-hukum berkaitannya adalah sama.

Justeru untuk isteri anda, jika dia mampu untuk mengqadha puasanya maka ia adalah pilihan yang baik. Namun jika tak mampu kerana kesukaran hamil atau kerana sudah masuk bulan Ramadhan tahun ini, maka hendaklah dia membayar fidyah. Kadar fidyah ialah makanan yang mengenyangkan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Di sini juga terdapat pengajaran bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan, hendaklah dia segera menggantikannya. Usah ditangguhkan hingga menghampiri Ramadhan akan datang kerana setiap kita tidak tahu apa yang bakal ditempuhnya sementara tempoh tersebut. Puasa yang ditinggalkan ialah hutang kita kepada Allah, maka segera membayar hutang tersebut termasuk satu keutamaan yang tidak patut dipandang ringan.

 

 

 

Soalan 2: Puasa Dalam Keadaan Junub.

Jika suami isteri melakukan hubungan seks lalu tertidur hingga terbit Fajar, bagaimana dengan puasa mereka pada hari itu? Ira, Gombak, Selangor.

Jawapan:

Puasa mereka tetap sah. Apabila sedar, hendaklah mereka Mandi Wajib, mendirikan solat Subuh dan meneruskan puasa seperti biasa. Ini merujuk kepada sunnah Rasulullah sendiri yang pernah melakukan hubungan seks dengan isteri baginda di malam Ramadhan dan hanya Mandi Wajib sesudah terbitnya fajar [Shahih al-Bukhari, no: 1925, 1926].

 

 

 

Soalan 3: Solat Tarawih Berjamaah.

Ramadhan tahun ini saya bercadang untuk menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah di masjid setelah beberapa tahun tidak melakukannya kerana anak masih kecil. Saya merancang untuk membawa bersama anak yang berusia 5 tahun, tetapi bimbang anak lelaki saya hanya akan mengganggu jemaah lain. Adakah saya patut ke masjid atau bersolat sendiri sahaja di rumah? Ibu Penyayang, Sungai Petani, Kedah.

Jawapan:

Solat Tarawih terbaik dilaksanakan secara berjamaah berdasarkan hadis Rasulullah: Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam. [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1604]

Adapun membawa anak kecil untuk turut mendirikan solat Tarawih berjamaah, maka ia bergantung kepada disiplin anak kecil itu. Jika beliau dapat mendisiplinkan diri untuk turut mengikuti solat Tarawih sepenuhnya mengikut tertib imam sebagaimana para makmum, maka boleh membawanya. Ini adalah pilihan yang lebih baik kerana dapat membiasakan beliau dengan solat berjamaah di masjid dan semoga mendapat ganjarannya daripada Allah.

Namun jika beliau dibimbangi hanya akan bermain-main bersama kanak-kanak yang lain atau tidak mengikut tertib imam dengan baik, maka jangan dibawa ke masjid sebab ia benar-benar akan mengganggu jamaah yang lain.

Dalam kes kedua ini, lebih baik mendirikan solat Tarawih di rumah. Perlu diketahui bahawa solat Tarawih boleh didirikan bersendirian atau berjemaah, di masjid, surau, rumah atau di mana jua. Ia tidak terhad kepada berjemaah di masjid sahaja. Ia juga boleh dilaksanakan pada bila-bila masa selepas solat Isyak sehingga sebelum masuk solat Subuh. Ia tidak terbatas kepada sejurus selepas solat Isyak sahaja. Semua ini berdasarkan amalan Rasulullah sebagaimana yang tercatat dalam hadis-hadis yang sahih.

 

 

 

Soalan 4: Ilmu Agama Berkaitan Puasa.

Saya berminat untuk mengkaji dengan lebih mendalam hukum-hakam berkaitan bulan Ramadhan, puasa dan apa-apa lain yang berkaitan dengannya. Sebelum ini saya hanya mengamalkan apa yang dipelajari di bangku sekolah lama dulu. Kini setelah menjadi seorang isteri dan ibu, saya ingin meningkatkan tahap ilmu pengetahuan agama saya. Apa cadangan Kapten kepada saya? Ingin belajar, Seremban, Negeri Sembilan. 

Jawapan:

Ini adalah sikap yang baik lagi terpuji. Saya dengan rendah hati mengesyorkan buku saya yang khusus dalam bab ini berjudul “Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan”. Ia diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru dan boleh juga dibaca dalam bentuk e-book di www.hafizfirdaus.com