Pada edisi kali ini, saya ingin menjemput para pembaca sekalian untuk merenungi firman Allah dalam ayat 162-163 surah al-An’aam:

Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku adalah orang Islam yang awal (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). [al-An’aam 6:162-163]

husband_wife_holding_hands.jpg

Ayat ini dimulakan dengan peringatan bahawa solat dan semua ibadah yang kita lakukan, seperti wudhu’, puasa, zikir, zakat harta adalah semata-mata untuk Allah. Kita tidak melaksanakan apa-apa ibadah itu untuk tujuan lain, seperti meraih pujian rakan, merasa diri hebat dan mendapat restu keluarga mertua.

Ayat ini seterusnya membawa kepada peringatan yang lebih penting, bahawa bukan sahaja ibadah yang ditujukan kepada Allah tetapi seluruh kehidupan dan kematian kita ditujukan hanya kepada Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Ini adalah peringatan yang sangat penting, kerana kerap kali kita lupa akan tujuan sebenar hidup ini. Ramai umat Islam masa kini yang kehidupannya adalah bertujuan meraih kekayaan, kemewahan, kelulusan kertas dan anak yang ramai.

Khusus bagi bakal-bakal pengantin, apatah lagi di saat-saat menghampiri tarikh pernikahan, maka tujuan hidup bagi pengantin perempuan ialah bakal suaminya sementara tujuan hidup bagi pengantin lelaki ialah bakal isterinya. Siang dan malam, pagi dan petang, panas dan hujan, yang menjadi tujuan atau fokus ialah bakal pasangan hidup masing-masing. Semua ini menjadikan bakal-bakal pengantin kerap kali lupa bahawa …hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Di sini tidaklah bererti semua orang perlu mengabaikan urusan kehidupan, lalu bersolat serta beribadah kepada Allah setiap masa. Pengertian sebenar ayat di atas ialah kita perlu sedar bahawa kehidupan ini hanyalah wasilah yang membawa kepada tujuan yang sebenar, yakni Allah, keredhaan-Nya, pahala-Nya dan syurga-Nya. 

 

Maksud Wasilah dan Tujuan.

Marilah kita mengulangkaji sedikit maksud wasilah dan tujuan. Ambil saja contoh makanan. Makanan adalah wasilah sementara tujuannya adalah kesihatan dan tenaga. Apabila kita makan pada kadar yang sepatutnya dengan gizi yang betul, ia akan memberikan kesihatan yang baik dan tenaga yang secukupnya kepada kita. Di samping itu, kita juga dapat menikmati keenakan makanan, asalkan ia masih duduk dalam batasan kadar yang secukupnya dan gizi yang betul.

Sebaliknya jika kita menyalahgunakan wasilah ini, maka ia akan memberi kesan negatif kepada tujuannya. Umpama jika kita makan mengurangi atau melebihi kadar sepatutnya serta tidak memerhatikan gizi yang sesuai, ia akan memberi kesan negatif kepada kesihatan dan tidak menghasilkan tenaga yang sepatutnya.

Dalam contoh ini, dapat diperhatikan kepentingan wasilah yang betul untuk mencapai tujuan yang betul. Wasilah yang betul tidak bererti kita perlu mengabaikan kenikmatannya, namun wasilah yang betul menyebabkan kita mencapai tujuan yang lebih besar lagi penting, iaitu kesihatan dan tenaga.

Demikianlah juga, jika kita menjadikan kehidupan dan kematian sebagai wasilah yang menyampaikan kita kepada satu-satunya tujuan yang hakiki, iaitu Allah, tuhan sekalian alam. Kita jadikan kekayaan sebagai wasilah, di mana dengan zakat dan sedekah kita memperoleh pahala Allah. Kita jadikan kemewahan sebagai wasilah, di mana dengan kesyukuran dan perkongsian kita memperoleh keredhaan Allah. Kita jadikan ilmu sebagai wasilah, di mana dengan mendidik dan menyebarkannya, kita memperoleh syurga Allah. Kita jadikan kematian sebagai wasilah, di mana dengan ilmu yang disebarkan, sedekah jariah dan anak-anak yang shalih, kita memperoleh ganjaran Allah.

 

Suami dan Isteri Sebagai Wasilah.

Tidak ketinggalan, masing-masing suami dan isteri adalah wasilah kepada satu sama lain yang membawa kepada tujuan yang hakiki, iaitu Allah pencipta sekalian alam. Tujuan hidup suami bukanlah isterinya, tetapi Allah. Apabila suami berbuat baik kepada isteri, memberikan nafkah kepadanya, memerhatikan hal-ehwalnya, menjaga urusan agamanya, maka semua itu adalah wasilah yang menyampaikan suami kepada Allah, keredhaan-Nya, pahala-Nya dan syurga-Nya.

Demikian juga, tujuan hidup isteri bukanlah suaminya, tetapi Allah. Apabila isteri taat kepada suami, melayaninya dengan baik, menguruskan rumah dengan teratur, maka semua itu adalah wasilah yang menyampaikan isteri kepada Allah, keredhaan-Nya, pahala-Nya dan syurga-Nya.

Dengan mengetahui antara wasilah dan tujuan, semoga para suami dan isteri lebih bermotivasi berbuat baik kepada satu sama lain kerana Allah, sambil mengharapkan pahala dan syurga-Nya yang tidak ternilai keistimewaannya. Di samping itu perbezaan wasilah dan tujuan hendaklah diperhatikan dan diingati selalu. Ini kerana – sepertimana yang saya sebut di awal penulisan ini – kerap kali kita terlupa sehingga menjadikan wasilah sebagai tujuan sementara Allah hilang entah ke mana.

 

Nilai Aqidah Di Sebalik Perkahwinan.

Allah menyambung ayat di atas dengan firman-Nya: Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku adalah orang Islam yang awal (yang segera berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).

Erti lain bagi sekutu ialah syirik, iaitu kita menyamakan Allah dengan sesuatu yang lain, padahal ia adalah hak Allah semata-mata. Ibadah adalah hak Allah semata-mata. Jika kita beribadah untuk meraih pujian manusia atau untuk mendapatkan ganjaran Allah dan manusia, maka ia adalah syirik.

Demikianlah juga, jika kita hidup dan mati dengan tujuan selain Allah atau dengan tujuan Allah dan sesuatu yang lain, ia adalah syirik. Ini kerana Allah jualah yang memberikan kita kehidupan ini dan segala wasilah yang terkandung di dalamnya. Justeru Allah sahaja yang berhak menjadi tujuan hidup kita, bukan selainnya atau sesuatu bersamanya.

Merujuk kepada alam perkahwinan, hendaklah suami dan isteri sentiasa saling mengingati dan mengingatkan bahawa mereka masing-masing hanyalah wasilah kepada tujuan yang satu, iaitu Allah. Inilah yang kita diperintahkan dan hendaklah kita segera menurutinya tanpa berlengah-lengah: …dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku adalah orang Islam yang awal (yang segera berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).