Soalan 1:

Suami saya memberikan duit belanja bulanan kepada saya dan ibunya. Akan tetapi saya rasakan beliau telah melebihkan pemberian kepada ibu sehingga saya terpaksa menggunakan duit sendiri untuk belanja rumah dan anak-anak. Dalam hukum Islam, kepada siapakah sepatutnya suami mengutamakan pemberian nafkah zahir, kepada isteri atau ibu? Bolehkah isteri melarang suami memberi nafkah kepada ibubapanya?

Isteri yang musykil, Parit Buntar, Perak.

 

Jawapan:

Soalan di atas perlu dijawab dari dua sudut.

 

Sudut Pertama: Suami wajib memberikan nafkah kepada isterinya mengikut kadar kemampuannya. Kewajipan ini dikenakan atas sebahagian harta suami dan bukannya semuanya, bererti suami tidak perlu membelanjakan semua hartanya sebagai nafkah kepada isteri. Firman Allah SWT:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” [Surah al-Nisa’, ayat 34]

Termasuk dalam tanggungjawab suami ialah memberi nafkah kepada ibubapanya, kerana apa-apa harta yang diperolehi oleh anak dari hasil usahanya, sama ada pekerjaan atau perniagaan, merupakan hasil usaha ibubapanya jua. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya sendiri dan anaknya termasuk dari hasil usahanya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3528]


Justeru sikap suami puan memberikan nafkah atau belanja kepada ibunya adalah sesuatu yang terpuji di dalam Islam, maka janganlah menghalangnya. Namun jika puan berpendapat suami patut melebihkan pemberian nafkah kepada puan untuk perbelanjaan rumah dan keluarga, maka boleh menyuarakan pendapat ini dengan cara yang hikmah.

Maksud cara yang hikmah ialah dengan cara memberi dorongan dan menyatakan penghargaan, umpama “Abang, saya sukalah baju kurung yang abang baru beli ini. Semoga Allah menggandakan rezeki-Nya kepada abang” dan “Anak-anak kita sangat gembira mendapat kasut yang baru, sayang mereka kepada ayah mereka”. Jangan berleter kepada suami kerana ia hanya akan berakhir dengan pergaduhan sementara apa yang dikehendaki oleh isteri masih tidak diperolehi.

 

Sudut Kedua: Puan perlu mengaudit belanjawan rumah kerana dicelah-celahnya mesti ada ruang untuk berjimat. Pakar-pakar kewangan berkata, secara purata wujud 30% belanjawan yang sebenarnya boleh dijimatkan. Selain itu puan perlu bersyukur dengan apa yang ada kerana tanpa sikap mulia ini, tiada siapa di bumi ini yang akan merasakan telah memiliki duit belanja yang mencukupi. Bahkan seandainya suami memiliki harta yang lebih, jadilah pendorong agar beliau bersedekah kerana di luar sana terdapat ribuan keluarga yang jauh lebih memerlukannya berbanding puan.

 

Soalan 2:

Suami saya sering sibuk dengan kerjaya sehingga terlalu letih untuk melayan kehendak seks saya. Kami ada melakukan hubungan seks tetapi dengan kekerapan yang jauh. Dalam pandangan Islam, apakah saja isteri yang patut melayan kehendak seks suami padahal kehendak isteri terbiar saja?

Isteri tertekan, Kuching, Sarawak.

 

Jawapan:

Isteri memang memiliki hak berdasarkan firman Allah SWT yang ditujukan kepada para suami: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu benci kepada mereka, boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [Surah al-Nisa’, ayat 19]

Termasuk dalam erti kata bergaul dengan cara yang baik dalam ayat di atas ialah mengadakan hubungan seks. Sungguhpun begitu, hubungan seks tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi memiliki langkah-langkah rangsangan yang diusahakan oleh salah seorang atau kedua-dua pihak – suami dan isteri. Maka jika suami sibuk dan penat, cubalah bantu di mana yang boleh umpama menyediakan sarapan sebelum suami ke pejabat, berdiri tersenyum di depan pintu menyambut kepulangan suami, menyediakan makan malam kegemaran suami dan mengajaknya berehat sebentar di atas katil sementara puan mengurut bahagian badan yang keletihan.

 

Soalan 3:

Saya memiliki dua anak perempuan berumur enam dan dua tahun. Berapakah umur yang sesuai untuk saya wajibkan mereka berpakaian yang menutup aurat? Ada rakan-rakan yang berpendapat, biarlah anak-anak berpakaian biasa kerana mereka masih kecil. Benarkah sedemikian?

Malik, Slim River, Perak.

 

Jawapan:

Kata pepatah Melayu menyebut “Melentur buluh biar dari rebungnya”. Bagi anak perempuan, hukum-hukum agama hanya wajib diamalkan ketika baligh, iaitu ketika mula mengalami putaran haidh. Namun amatlah dianjurkan agar mereka dilatih dan dibiasakan dengan pakaian yang menutup aurat sejak umur yang lebih awal agar mudah mereka mengamalkannya ketika baligh.