Kolum Bulanan
Majalah Pa & Ma
Soal Jawab Agama
Soal Jawab Agama Mac 2011 | Soal Jawab Agama Mac 2011 |
|
|
|
| Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah | ||||
| Thursday, 10 March 2011 | ||||
|
Soalan 1: Sahkah rujukan suami? Suami sahabat saya telah menceraikan isterinya dan kemudian merujuk kembali selepas seminggu. Beberapa bulan kemudian isterinya hamil dan kini sedang menunggu hari kelahiran. Soalan saya, sahkah rujukan suaminya dan jika tidak, kepada siapakah anak itu dinasabkan? Sahabat musykil, Miri, Sarawak.
Jawapan: Rujukan tersebut sah dan anak yang bakal dilahirkan itu dinasabkan kepada suami/ayahnya. Penjelasannya seperti berikut. Pandangan masyhur tempatan menyatakan apabila suami menceraikan isterinya dengan talak tiga atau menyebut perkataan talak tiga kali atau apa-apa lain yang membawa natijah talak tiga (Talak Ba’in Bainanuh Kubra), maka hubungan suami isteri terus terputus. Suami tidak boleh merujuk isterinya itu melainkan isterinya menikahi lelaki lain, mengadakan hubungan seks lalu kemudian bercerai. Sebenarnya dalam persoalan ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu. Pendapat Pertama seperti mana di atas, iaitu apabila suami mentalak tiga isterinya maka yang jatuh ialah talak tiga. Pendapat Kedua menyatakan apabila suami menceraikan isterinya dengan talak tiga atau menyebut perkataan talak tiga kali atau apa-apa lain yang membawa natijah talak tiga, yang jatuh hanya talak satu. Isteri perlu melalui masa ‘iddahnya selama tiga kali suci dari putaran haid. Setelah itu jika suami masih bertekad untuk menceraikannya, maka dia mengucapkan talak sekali lagi dan kini jatuhlah talak dua. Isteri perlu melalui masa ‘iddahnya selama tiga kali suci dari putaran haid. Setelah itu jika suami masih bertekad untuk menceraikannya, maka dia mengucapkan talak sekali lagi dan kini jatuhlah talak tiga. Isteri perlu melalui masa ‘iddahnya selama tiga kali suci dari putaran haid. Dengan tiga proses ini barulah lengkap proses penceraian. Ketika isteri dalam tempoh iddah untuk talak pertama, kedua dan ketiga, suami boleh merujuk pada bila-bila masa. Namun selepas suci dari masa iddah talak ketiga, suami tidak boleh merujuk isterinya itu melainkan isterinya menikahi lelaki lain, mengadakan hubungan seks lalu kemudian bercerai. Dalilnya ialah firman Allah: Dan jika mereka (suami) berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Dan isteri-isteri yang ditalak itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa ‘iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Talak (seperti di atas berulang) dua kali. Sesudah itu (talak yang ketiga) bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. [al-Baqarah 2:227-229] Berdasarkan ayat di atas:
Di antara hikmah diadakan waktu ‘iddah ialah supaya pasangan yang ingin bercerai memiliki ruang waktu yang cukup untuk berfikir sedalam-dalamnya sama ada keputusan mereka adalah matang atau tidak. Bandingkan, jika satu pasangan itu memiliki ruang waktu yang luas untuk berfikir sebelum bernikah, apakah mereka tidak patut diberi ruang waktu juga untuk berfikir sebelum bercerai? Lebih-lebih lagi apabila penceraian itu sendiri lazimnya dilakukan secara tergesa-gesa lagi beremosi. Pensyari‘atan talak dalam tiga waktu yang berasingan dengan waktu ‘iddah di antara setiap talak membolehkan kedua-dua pasangan berfikir secara mendalam: apakah mereka benar-benar ingin bercerai atau masih ada ruang untuk kembali bersama? Kebanyakan ahli ilmu dan para peneliti menganggap Pendapat Kedua lebih kuat berbanding Pendapat Pertama. Justeru bagi kes sahabat anda, penceraian yang dilakukan oleh suaminya hanya memiliki nilai Talak Satu dan rujukannya selepas seminggu adalah sah. Maka mereka berdua masih merupakan pasangan suami isteri yang sah sehingga ia tidak menjejaskan nasab anak yang bakal dilahirkan itu.
Soalan 2: Ubat Tahan Haid. Saya ingin menunaikan umrah dan tertanya-tanya jika ia bersamaan dengan waktu haid, bolehkah saya mengambil ubat tahan haid? Yante, Kulai, Johor. Jawapan: Boleh mengambil ubat menahan haid atau menghentikan haid jika ada sebab-sebab yang kuat di sebaliknya, seperti untuk menunaikan haji dan umrah. Perkara ini telah dilakukan oleh umat Islam sejak generasi awal sebagaimana yang dinyatakan oleh Syaikh Musthafa al-‘Adawy dalam kitabnya Jami’ Ahkam al-Nisa’, jld. 1, ms. 171. Akan tetapi jika tidak ada sebab yang kuat maka tidak disyorkan mengganggu putaran haid kerana ia dicipta oleh Allah untuk sebab-sebab yang sebahagiannya diketahui oleh ilmu perubatan moden manakala sebahagian lagi masih terselindung.
Soalan 3: Mandi Wiladah. Apakah maksud mandi wiladah? Perlukah seorang wanita yang melahirkan anak, mandi hadas selepas dia melahirkan anak atau pun dia boleh mandi hadas sekali sahaja iaitu selepas dia suci daripada nifas? Murni, Kuala Selangor, Selangor. Jawapan: Mandi Wiladah ertinya mandi wajib selepas melahirkan anak. Sebahagian para ilmuan dari kalangan Mazhab al-Syafi’e berpendapat wanita yang melahirkan anak tanpa darah nifas, maka wajib ke atasnya Mandi Wiladah. Sebaliknya jika wanita melahirkan anak diikuti dengan darah nifas, maka wajib ke atasnya mandi selepas suci dari darah nifas.
Namun sebahagian ilmuan lain menyatakan bahawa mandi wajib ialah satu ibadah dan sesuatu ibadah hendaklah dilaksanakan
berdasarkan dalil-dalil agama. Mandi kerana junub, suci dari haid, suci dari nifas dan sebagainya memiliki dalil-dalil agama yang mewajibkannya. Manakala mandi kerana melahirkan anak tanpa
pendarahan tidak memiliki dalil maka ia tidak wajib mahupun sunat untuk dilaksanakan. [Syaikh Abdul Karim Zaidan – Ensaiklopedia Fiqh Wanita, jld. 1, ms. 156] Saya mencenderungi
pendapat kedua ini, bahawa tidak ada Mandi Wiladah bagi wanita yang melahirkan anak tanpa pendarahan. Add as favourites (58) | Quote this article on your site | Views: 979
Only registered users can write comments. Powered by AkoComment Tweaked Special Edition v.1.4.6 |
||||
| < Prev | Seterusnya > |
|---|
