Soalan:

Bolehkah kita meminjamkan pakaiannya kepada orang bukan Islam untuk dipakai?

Kartina, Jengka, Pahang.

 

Jawapan:

Boleh. Bahkan ia adalah tindakan yang dipuji oleh agama jika orang bukan Islam tersebut dalam keadaan kesukaran dan kita membantunya dengan meminjamkan pakaian. Ada yang berkata, tidak boleh meminjamkan pakaian kerana kononnya orang bukan Islam adalah najis berdasarkan ayat al-Qur’an: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]

Sebenarnya “najis” dalam ayat di atas merujuk kepada agama orang-orang bukan Islam dan bukannya fizikal tubuh badan mereka. Ini sebagai perbandingan kepada agama Islam yang “suci”. Oleh itu boleh bersalaman, berurusan dan meminjamkan pakaian kepada orang bukan Islam kerana secara fizikal mereka bersih sepertimana kita umat Islam. Hanya dari sudut agama, kepercayaan mereka itulah yang dimaksudkan sebagai najis sehinggalah mereka memeluk agama Islam yang suci ini.