Soalan
Bolehkah seorang muslimat mewarnakan rambut dan kukunya dengan inai? Bagaimana pula dengan pewarna rambut dan kuku yang ada di pasaran masa kini?

Jawapan: Perlu dipertanyakan terlebih dahulu, atas tujuan apa seseorang ingin menginai rambut dan kukunya. Jika ia dilakukan atas tujuan bersolek di hadapan lelaki lain, maka ia dilarang. Akan tetapi jika ia dilakukan untuk menutupi uban atau untuk bersolek di hadapan suami, maka ia dibolehkan. Para isteri pada zaman Rasulullah biasa menggunakan inai, hanya mereka membersihkannya setiap kali hendak mengambil wudhu’. Kemudian mereka menginaikan semula selepas sembahyang. [Musnad al-Darimi, no: 1133 dengan sanad yang sahih] Ada pun pewarna yang lain, hendaklah dipastikan ia tidak kalis air (washable) supaya dapat berwudhu’ dengan sempurna dan ia digunakan bukan untuk tujuan bersolek di hadapan lelaki lain.


Di kalangan masyarakat Melayu ada juga upacara menginai yang dilakukan sempena majlis perkahwinan. Warna kemerahan pada inai dipercayai dapat menakutkan makhluk halus daripada mengganggu kedua-dua pengantin, bahkan dikatakan dapat memberi kesuburan baka. [Dr. Amran Kasimin – Istiadat Perkahwinan Melayu Yang Bukan Daripada Ajaran Islam (Dinie Publishers, Kuala Lumpur, 1993), ms. 95-96] Kepercayaan syirik daripada agama Hindu ini wajib ditinggalkan.

Soalan

Apa hukum memakai pewarna rambut yang ada cop halal?

Norina, Batu Pahat, Johor.

Jawapan:

Harus, dengan syarat (1) ia tidak kalis air agar wudhu menjadi sah dan (2) hendaklah tetap menutup aurat apabila berhadapan dengan bukan mahram.