Soalan: Apakah Posisi Kedua Tangan Apabila Berdoa Menolak Bala?

Jawapan:

Semua doa, baik bagi meminta kebaikan atau menolak keburukan (bala) adalah sama seperti yang diterangkan oleh hadis berikut,

الْمَسْأَلَةُ أَنْ تَرْفَعَ يَدَيْكَ حَذْوَ مَنْكِبَيْكَ أَوْ نَحْوَهُمَا وَالِاسْتِغْفَارُ أَنْ تُشِيرَ بِأُصْبُعٍ وَاحِدَةٍ وَالِابْتِهَالُ أَنْ تَمُدَّ يَدَيْكَ جَمِيعًا.

Berdoa adalah mengangkat kedua tangan kamu sehingga selari dengan bahu kamu atau mendekati keduanya, mengucapkan istighfar adalah dengan memberi isyarat dengan satu jari telunjuk sementara bersungguh-sungguh dalam berdoa adalah mengangkat tinggi kedua tangan, seluruhnya.[1]

Doa menolak keburukan atau menolak bala adalah satu permintaan juga dan semua permintaan hendaklah dengan menadah tapak kedua tangan ke atas atau ke muka ataupun di antara keduanya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Apabila kalian (berdoa) meminta kepada Allah, mintalah dengan kedua tapak tangan kalian dan jangan meminta dengan belakangnya.[2]

Sebahagian orang ada yang berdoa bagi menolak bala dengan membalikkan kedua tangannya, yakni dengan menjadikan kedua belakang tangan menghadap ke atas dan kedua tapak tangan menghadap ke bawah. Ini merupakan kekeliruan mereka dalam memahami keterangan Anas bin Malik radhiallahu 'anh,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdoa meminta hujan lalu menjadikan belakang kedua tangannya menghadap ke langit.[3]

Ketahuilah bahawa keterangan Anas bin Malik tersebut merujuk kepada doa baginda saat meminta hujan (Istisqa’) di mana baginda mengangkat mengangkat tinggi kedua tangan, seluruhnya. Dalam hadis lain, Anas bin Malik juga menerangkan baginda mengangkat kedua tangan sebegitu tinggi sehingga kelihatan keputihan ketiaknya,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا فِي الِاسْتِسْقَاءِ وَإِنَّهُ يَرْفَعُ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengangkat kedua tangannya dalam mana-mana doa baginda kecuali ketika doa meminta hujan. Ketika itu baginda mengangkat kedua tangan (sebegitu tinggi) sehingga kelihatan keputihan ketiaknya.[4]

Apabila kedua tangan di angkat tinggi dan lurus ke atas, maka secara kebetulan kedua tapak tangan akan menghadap ke bawah sementara kedua belakang tangan akan menghadap ke langit. Baginda tidak membalikkan tangannya secara sengaja.

Justeru yang benar, semua doa adalah dengan menadah kedua tapak tangan ke atas atau ke muka ataupun di antara keduanya.

 

Notakaki: 

[1]              Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1274/1489 (Kitab al-Solat, Bab doa). Dalam sebahagian jalan periwayatan lain, hadis ini disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Justeru hadis ini menjadi perbincangan di sisi ahli ilmu, apakah ia perkataan mauquf pada ‘Abdullah ibn ‘Abbas atau marfu’ kepada Rasulullah.

[2]              Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1271/1486 (Kitab al-Sholat, Bab doa). Ia dinilai Shahih li ghairi oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 1486.

[3]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1492/895 (Kitab Solat al-Istisqa’, Bab mengangkat kedua tangannya saat berdoa meminta hujan).

[4]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 973/1031 (Kitab al-Jumu’ah, Bab imam mengangkat tangannya ketika doa istisqa’).