Soalan:

Suami telah meninggal dunia baru-baru ini. Boleh saya tahu apa hukum berkabung, pantang larang ketika berkabung dan tempoh berkabung?

 

Jawapan:

Inna lillah wa inna ilahi rajiun. Semoga Allah mengampuni puan dan suami puan serta memberikan puan ganti yang lebih baik berbandingnya.” Ini adalah doa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika suami Ummu Salamah meninggal dunia. [Shahih Muslim, no: 1527/919]

Berkabung dalam bahasa Arab disebut “ihdaad” yang bermaksud masa penantian yang di dalamnya seorang wanita (isteri) membatasi dirinya daripada segala perkara yang dapat menarik perhatian lelaki lain kepadanya.

 

Hukum Dan Tempoh Berkabung

Hukum berkabung adalah wajib bagi isteri. Jika isteri tidak hamil, maka tempohnya ialah empat bulan sepuluh hari berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (berkabung selama) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis (tempoh itu), maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut (seperti bernikah lagi). Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. [al-Baqarah 2:234]

Jika suami meninggal dunia sementara isteri sedang hamil, maka tempoh berkabung ialah sehingga anak dilahirkan meskipun belum genap tempoh 4 bulan 10 hari. Ini bersamaan dengan tempoh ‘iddah jika suami menceraikan isteri yang sedang hamil. Allah berfirman: Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu ‘iddah/berkabung mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. [al-Thalaq 65:04]

Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, seorang isteri bernama Subai’ah binti al-Harits yang sedang hamil telah kematian suaminya yang bernama Sa’ad bin Khaulah. Tidak lama selepas itu Subai’ah melahirkan anaknya. Setelah suci dari nifas, dia menghiaskan diri untuk orang meminangnya. Orang lain menegurnya, dengan alasan dia sepatutnya menunggu hingga genap 4 bulan dan 10 hari selepas kematian suami sebelum berhias dan bernikah. Subai’ah melaporkan hal ini kepada Rasulullah dan baginda menyatakan apa yang dia lakukan itu adalah betul, iaitu boleh berhias dan bernikah selepas saja melahirkan anak. [Ringkasan hadis Shahih al-Bukhari, no: 3691/3991]

Jika seorang wanita kematian seseorang selain suaminya, seperti kematian ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan, dia dibolehkan berkabung. Hukumnya adalah harus, tidak wajib. Akan tetapi tempoh berkabungnya tidak boleh lebih lama daripada 3 hari. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih dari tiga hari, kecuali untuk (kematian) suaminya. [Shahih al-Bukhari, no: 4924/5342]

Dalam sebuah hadis yang lain: Tidak boleh bagi seorang wanita berkabung kerana kematian seseorang melebihi tiga hari, kecuali kerana kematian suaminya yaitu empat bulan sepuluh hari. Dan (ketika berkabung itu), tidak boleh menggunakan pakaian yang berwarna-warni melainkan hanya memakai pakaian yang kasar, tidak boleh menggunakan celak mata dan tidak boleh memakai wangian kecuali jika suci (dari haid), maka diperbolehkan baginya memakai qusth dan adzfar (sejenis pohon yang harum baunya). [Shahih Muslim, no: 2739/938]

 

Pantang Larang Ketika Berkabung

Berdasarkan hadis terakhir di atas, seorang wanita ketika berkabung dilarang daripada memakai pakaian yang berwarna cerah, tidak boleh memakai solekan dan tidak boleh mengenakan wangian (parfum). Sebenarnya seorang muslimat, baik sudah berkahwin atau belum, baik sedang berkabung atau tidak, baik sedang ‘iddah atau tidak, secara berterusan dilarang daripada melakukan tiga perkara di atas kerana termasuk dalam perbuatan tabarruj. Ia disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam konteks berkabung sebagai satu penegasan dan peringatan, bukan sebagai kebolehan apabila tidak berkabung.

Selain itu, seorang isteri yang sedang berkabung hendaklah menetap di rumah suaminya sehingga selesai masa berkabung. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, seorang isteri bernama al-Furai’ah binti Malik radhiallahu 'anha pernah kematian suaminya. Dia meminta izin untuk pulang ke rumah keluarganya, namun Rasulullah melarang dengan bersabda: Menetaplah di rumahmmu sehingga selesai tempohnya. Maka beliau tinggal di sana selama 4 bulan 10 hari. [Ringkasan hadis Shahih Sunan Abu Daud, no: 1957/2300]

Akan tetapi dibolehkan bagi seorang isteri yang sedang berkabung untuk keluar rumah kerana sesuatu urusan penting seperti bekerja, mencari nafkah, ke pasar membeli barang keperluan rumah dan ke hospital untuk merawat diri atau anak yang sakit. Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh menceritakan:

Makcikku dicerai oleh suaminya, lalu dia ingin memetik buah kurmanya namun dia dilarang oleh seorang lelaki untuk keluar rumah. Maka dia mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk menanyakan hal itu), maka baginda menjawab: “Ya, boleh! Petiklah buah kurmamu, semoga kamu dapat bersedekah atau berbuat kebajikan (dengannya).” [Shahih Muslim, no: 2727/1483]

Demikian juga, dibolehkan bagi seorang isteri yang sedang berkabung berpindah keluar andai terdapat mudarat untuk dia menetap di rumah suaminya, seperti dihalau oleh tuan rumah (rumah sewa), gangguan jiran, gangguan binatang atau ketakutan tinggal bersendirian.