hijrah.jpgHijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Thabaqat Ibn Sa‘ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161] Ia pada mulanya dipimpin oleh ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu 'anh dan terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346] Beberapa bulan kemudian berlaku penghijrahan yang kedua ke Habasyah yang terdiri dari lebih kurang lapan puluh tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 352]

Terdapat beberapa pengajaran penting di sebalik peristiwa hijrah ke Habasyah yang sebenarnya dapat kita manfaatkan pada zaman kini. Insya-Allah melalui risalah ini saya akan menerangkan tujuh daripada pengajaran tersebut .

Pengajaran # 1: Plan A, Plan B.

Faktor utama yang menyebabkan penghijrahan ke Habasyah ialah penindasan kaum musyrik ke atas umat Islam di Mekah. Syaikh Mahmud Syakir menerangkan:

Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish. Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga khuatir kaum musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya sahabat-sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke negara Habasyah.

Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap. [Mausu‘ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul Razzaq atas judul Ensiklopedi Peperangan Rasulullah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005), ms. 29]

Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau mengalah. Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan tetapi memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B yang merupakan penghijrahan ke Habasyah.

Di sini terdapat pengajaran yang penting kepada umat Islam. Jika kita menghadapi sesuatu halangan dalam beragama atau berdakwah, jangan bersikap buntu atau mengalah, mahu pun asyik menyalahkan pihak lain.
Sebaliknya hendaklah aktif memikir jalan keluar yang membolehkan kita tetap berpegang kepada agama yang dicintai ini dan terus melaksanakan dakwah.