Salah
Faham Pertama: Wahabi Dan Kuasa Barat.
Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah dakwaan bahawa
gerakan Wahabi dimulai dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris.
Bagi meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada sumber sejarah kuasa-kuasa
Barat itu sendiri kerana ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi
menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa tersebut pada zaman itu.
Pertama, kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi
peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga keselamatan perairan teluk
bagi laluan kapal-kapal perdagangannya dari India yang merupakan tanah
jajahannya saat itu. [Sarah Searight – The British In The Middle East, dikemukakan
oleh Jalal Abu al-Rub – Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab
(Madinah Publishers & Distributors, Florida, 2003), ms. 76-77] Pihak
Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu tidak berminat untuk membantu
mengembalikan umat Islam kepada agamanya yang tulen.
Kedua: Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa Barat
sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana ia sebenarnya membangkitkan umat
Islam. Seorang ahli sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:
“Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan yang
tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad ibn Sa’ud untuk
mentajdidkan agama (Islam) dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka
bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari kelekaan yang menyelubungi umat
saat itu. Justeru mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan kembali
kuat sebagaimana pada zaman Umar bin al-Khaththab.
Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan kembali hidup,
memberikan kemenangan kepada Islam dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah.
Atas dasar inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki Uthmaniyah untuk
memerangi gerakan yang disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak khilafah
telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha.” [The
General History of The Arabs; dinukil dari Biography And Mission of
Muhammad Ibn Abdul Wahhab, ms. 78]
Salah Faham Kedua: Wahabi dan Khilafah Islam
Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab
menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah faham ini dapat dijawab
dari dua sudut. Pertama, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah
menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau dalam persoalan ini adalah
sebagaimana yang ditulisnya sendiri:
“Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para
pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang shalih mahu pun
yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara
kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang
dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang
meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui
jalan paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan
penentangan terhadapnya. [Majmu’ah Muallafat al-Syaikh, Jil. 5, hlm. 11;
dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul
Wahhab oleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Abd. Al-Lathif (Jahabersa, Johor
Bahru, 2008), buku 3, ms. 159]
Kedua, sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah
Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki pelbagai kelemahan dan
masalah, dalaman dan luaran. Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang
adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat itu akan mengetahui ia dalam
keadaan sedang jatuh dan akan jatuh.
Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan
mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah?
Lebih-lebih lagi Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No man’s land”
di mana ia hanya dikuasai oleh kabilah-kabilah kecil secara berselerakan.
Shalih Abud mengulas:
“Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab).
Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen
khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M)
bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan” ternyata
khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14
daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak
termasuk di dalamnya.” [‘Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa
Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, Jil. 1, hlm. 27; dalam Membersihkan
Salah Faham…, buku 3, ms. 162]
Abdullah al-Utsaimin menambah: “Negeri Najd tidak pernah
berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan
dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak
pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang
lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan
Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih
berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai
jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.” [Muhammad
bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11; dalam Membersihkan
Salah Faham…, buku 3, ms. 162]
Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang budiman
sekalian, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga
dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan bahawa sekalipun
kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan itu atas tujuan komersil, tidak dapat
dinafikan bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk mengambil alih kota
Mekah dan Madinah.
Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat menyatukan
umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua bandar suci itu tetap berada di tangan
umat Islam. Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi
di Madinah akan menerima nasib yang sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin.
Fikir-fikirkanlah!
Salah
Faham Ketiga: Wahabi dan Peperangan.
Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa syaikh
mereka memiliki bukti yang lengkap dengan sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan
peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab semata-mata untuk
mengembangkan ajaran mereka.
Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana sanad
tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki apa-apa nilai. Ini kerana
orang-orang yang duduk dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak
tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Sekadar mengetahui
nama dan status mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak memadai. Dalam
ilmu hadis, mereka termasuk dalam kategori para perawi yang majhul, maka
dengan itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini tidak boleh dijadikan
hujah dalam membuat tuduhan atau menjadi bukti dalam kes jenayah.
Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab, kedua-dua
sumber sejarah ada mencatitkannya. Sumber yang berpihak kepada dakwah Muhammad
bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak setuju dengan
gerakan beliau. Sumber yang berpihak kepada golongan yang tidak setuju dengan
dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh gerakan beliau.
Siapakah yang benar dan sebesar manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang
mengetahuinya. Apa yang pasti, tidak wujud kesan-kesan peninggalan sejarah yang
dapat dijadikan bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam kitab-kitab
sejarah itu. Berbeza dengan peperangan yang belaku di belahan dunia yang lain,
ia dapat dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.
Salah
Faham Keempat: Wahabi dan Tuhan.
Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan kononnya
Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini berlaku kerana fahaman Wahabi yang
enggan mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan dan kaki yang
tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini jelas adalah satu salah
faham kerana fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah serta memahami
maksudnya manakala bentuk atau tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah,
tanpa sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat makhluk-Nya.
Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana
yang diterangkan oleh al-Tirmizi (279H): “Dan sungguh telah berkata tidak
seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada
riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb
(Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka
berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah
kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk,
ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan
daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak,
sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang
berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa
mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah
juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
Manakala golongan al-Jahmiyyah,
mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil
berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya
Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya
(al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan
al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang
berlainan daripada tafsiran ahli ilmu.
Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta
(Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud
Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.
Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim:
“Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk)
hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau
seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau
seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran
sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka
barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.
Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala
di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa
dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak
dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana
pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia
adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak
ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi
Maha Melihat. [al-Syura 42:11]” [Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan;
Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.]
Salah
Faham Keempat: Wahabi dan Mazhab.
Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti mana-mana
mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini adalah satu salah faham. Orang yang
dituduh sebagai Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat masing-masing.
Hanya dalam beberapa persoalan terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain
adalah lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang
sahih, maka pendapat mazhab tersebut diikuti dalam persoalan tersebut.
Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di Malaysia masih
mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang yang dituduh sebagai Wahabi di
India-Pakistan masih mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai Wahabi
di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab Hanbali dan orang yang dituduh sebagai
Wahabi di Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya dalam beberapa
persoalan terpencil mereka mengikut mazhab yang lain kerana faktor kekuatan
dalil dan hujah.
Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana yang
diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H): “Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab, adalah menjadi
kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah
s.a.w. atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat,
menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk
mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab
atau seseorang lain yang terkemuka.
Ini adalah kerana kedudukan
Rasulullah s.a.w. adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi
dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas
sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah
Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas
mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya bantahan ini mereka lakukan
dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu
sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi Rasulullah itu
lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah
mana-mana makhluk lain.
Justeru itu apabila
terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah
yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai
menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan
diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan
lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan
ajaran Nabi s.a.w. yang sahih.” [Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil dari Sifat
Solat al-Nabi oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1996), ms.
54-55]
Salah
Faham Kelima: Wahabi dan Kekerasan.
Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah
demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang sebenarnya bersikap keras.
Di sana sini mereka menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai Wahabi
yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal,
seperti mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah agama dan menangkap
para tokoh yang mereka tuduh sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku
tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam media-media perdana.
Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi, mungkin
ada yang bersikap keras. Namun perlu juga ditinjau dari sudut yang lain, kerana
istilah “keras” itu sendiri boleh bersifat relatif. Keberanian, ketegasan,
kesungguhan adalah sifat yang terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai
“kekerasan” oleh pihak yang sukar menerima kenyataan. Demikian juga, menyatakan
yang haq di atas yang batil boleh juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak
yang sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.