“Boss baru kami mahukan penulis ruangan agama yang dapat menghasilkan tulisan yang ceria lagi menepati sasaran pembaca generasi muda. Kami mencadangkan brother Hafiz kepada beliau” demikian lebih kurang penjelasan Azlin Mohd. Hamin kepada saya pada awal Januari 2007. Boss baru yang dimaksudkannya ialah ketua editor majalah Dara.com, Teh Rohaya Yusoh.

          “Alaa! Mudah saja! Tulis yang ringan-ringan sekadar dua mukasurat bersaiz A4” tambahnya lagi, cuba memujuk saya untuk bersetuju menjadi penulis tetap bulanan.

          “Itulah masalahnya! Saya ni dah biasa tulis yang berat-berat, paling minimum lima mukasurat. Lazimnya terlajak sampai tujuh atau lapan mukasurat” ujar saya sambil mengimbas pengalaman sebelum ini menulis untuk Majalah i terbitan Karangkraf juga.

          “Anggap lah ia sebagai cabaran baru!” jawab Azlin, tidak mahu mengalah.

          “Amboi! Bersyarah pula wartawan ni”, bisik hati saya.

          Akan tetapi saya menjawab: “OK, saya cuba dulu”.

          Iya, saya akan cuba. Sebabnya dua, pertama ia memang adalah satu cabaran yang baru dan cabaran-cabaran inilah yang menjadikan hidup kita menarik dan ke hadapan. Kedua, dan ini adalah sebab yang utama, keceriaan dan kemudahan merupakan ciri-ciri utama sunnah Rasulullah s.a.w.. Dua ciri ini sukar ditemui sekarang ini. Sebut sahaja agama, ia mesti serius, memberatkan, menakutkan dan wajib merasakan bahang api neraka.

          Kalau kita rujuk kepada sirah Rasulullah s.a.w., akan ditemui banyak contoh dimana baginda menampakkan keceriaan apabila mengajar dan menyampaikan Islam. Salah satu daripadanya ialah kisah yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan darjatnya dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani dalam Mukhtasar al-Syamail al-Muhammadiyyah, hadis no: 205.

          Dalam kisah tersebut, seorang nenek datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah! Doakanlah kepada Allah agar aku masuk syurga”.

          Rasulullah menjawab: “Wahai Umm Fulan! Sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh orang tua!”

          Nenek tersebut menerima jawapan Rasulullah secara zahir dan terus pergi sambil menangis.

          Maka Rasulullah meneruskan: “Beritahulah, sesungguhnya dia akan memasuki syurga bukan dalam keadaan nenek (tetapi dalam keadaan muda), kerana sesungguhnya Allah telah berfirman: Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka (para wanita) dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (surah al-Waqiah, ayat 35-37)”.

          Imam al-Tirmizi meletakkan kisah ini dalam kitabnya di bawah bab Senda Gurau Rasulullah s.a.w..

          Keceriaan dan kemudahan tidak sahaja ditonjolkan ketika mengajar, tetapi ketika menghukum seseorang yang terlanjur berbuat silap.

          Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya, hadis no: 1111 bahawa seorang sahabat datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Celakalah saya!”

          Rasulullah bertanya: “Apa yang mencelakakan kamu?”

          Dia menjawab: “Saya telah terlanjur melakukan hubungan seks dengan isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan.”

          Lalu Rasulullah bertanya: “Bolehkah kamu mencari seorang hamba untuk dibebaskan?”

          “Tidak!”

          “Bolehkah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?”

          “Tidak!”

          “Bolehkah kamu memberi makan kepada 60 orang miskin?”

          “Tidak!”

          Kemudian dia duduk. Tatkala itu dibawakan kepada Rasulullah s.a.w. sebakul kurma. Rasulullah berkata kepadanya: “Sedekahkanlah (kurma) ini”.

          Dia menjawab: “Adakah yang lebih miskin dari kami? Tidak ada yang lebih miskin di antara dua lembah Madinah ini melainkan keluarga saya.”

          Mendengar yang sedemikian Rasulullah s.a.w. ketawa sehingga nampak gigi baginda. Lalu baginda bersabda: “Pergilah dan berilah makan keluarga kamu (dengan kurma ini).”

          Selamat Menyambut Maulidur Rasul Penghujung bulan Mac 2007, kita menyambut Maulidur Rasul. Lazimnya timbul perselisihan antara dua kumpulan.

          Pertama adalah mereka yang membolehkan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini, menurut mereka, tidak lain adalah untuk mengingati Rasulullah.

          Kedua adalah mereka yang melarangnya dengan alasan Rasulullah tidak pernah menyambutnya.

Perselisihan ini berlanjutan sehingga ke tahap saling bermasam muka dan tuduh menuduh antara kedua-dua kumpulan. Bahkan yang lebih menyedihkan, adakalanya yang saling bermasam muka dan tuduh menuduh adalah para agamawan, ustaz dan ustazah! Jika diperhatikan secara adil, akan didapati bahawa kedua-dua kumpulan mendasari hujah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Akan tetapi sayang sekali kedua-dua kumpulan tidak mencontohi sikap ceria dan mudah yang ditonjolkan oleh baginda. Tidak ada sikap ingin berbincang dan bertukar pandangan dalam suasana keceriaan dan kemaafan.

          Pada kajian saya, boleh atau tidak Maulidur Rasul bergantung kepada tujuan ia disambut. Jika ia disambut berdasarkan keyakinan Rasulullah s.a.w. dilahirkan pada 12 Rabiulawal, maka keyakinan ini perlu dikaji semula. Ini kerana tarikh tersebut, sekali pun masyhur di kalangan para sejarahwan, hanyalah satu anggaran. Hari kelahiran baginda yang sebenar tidak diketahui kerana bukanlah menjadi kelaziman masyarakat arab jahiliyah untuk mencatit hari kelahiran seseorang bayi di kalendar, diari atau PDA. Tambahan lagi pada saat itu Muhammad s.a.w. hanya seorang bayi biasa. Tidak siapa yang mengetahui bahawa sekitar 40 tahun kemudian baginda akan menjadi seorang Rasul. So it’s an unrecorded event.

          Jika ia disambut dengan ibadah-ibadah tertentu seperti solat sunat, puasa dan zikir, maka amalan-amalan ini perlu disemak semula. Ini kerana asas dalam ibadah adalah ia perlu berdasarkan nas, tanpa ditambah, dikurangi atau dibuat sesuatu yang baru. Jika ia disambut dengan selawat, nasyid dan qasidah, maka lirik-liriknya perlu diteliti agar ia tidak mengandungi unsur syirik dan kurafat. Sebaik-baik selawat adalah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dan ia adalah apa yang kita baca setiap hari ketika duduk tasyahud akhir dalam sembahyang.

          Jika ia disambut dengan perarakan dan perhimpunan, maka ia perlu diaudit semula. Tenaga dan RM yang digunakan perlu ditimbang prioritinya, adakah layak digunakan untuk majlis seumpama atau lebih layak digunakan kepada mangsa banjir yang, saya yakin sehingga masa kini, masih memerlukan bantuan kita secara zahir dan batin. Jika ia disambut dengan tujuan mengingatkan semula umat Islam kepada sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., maka ia dibolehkan. Inilah yang lazim dilakukan dalam pelbagai majlis sempena Maulidur Rasul. Hanya sahaja janganlah dibataskan kepada sekali setahun. Hendaklah majlis-majlis ilmu yang mengimbas kembali sejarah perjuangan baginda dilakukan dengan lebih kerap agar umat Islam tidak leka daripada mengambil iktibar daripadanya, menjadikannya sebagai sumber kekuatan untuk memperjuangkan Islam pada masa kini.

Opps! Sudah pun memenuhi dua mukasurat A4. Insya-Allah jumpa lagi pada edisi akan datang.