Maka tidak dibolehkan bagi seorang
doktor lelaki memandang aurat pesakit wanita dan demikianlah sebaliknya. Ini
kerana terdapat mudarat yang bakal muncul jika berlaku pemandangan yang
melibatkan aurat di antara lelaki dan wanita, apatah lagi sentuhan dalam
suasana rawatan.
Sungguh pun begitu, dalam Islam
terdapat kaedah bahawa apabila bertembung dua mudarat, hendaklah dihindari
kemudaratan yang lebih besar kesannya. Dalam kes ini, kemudaratan yang mungkin
menimpa ibu yang hamil dan kandungannya adalah jauh lebih besar berbanding
kemudaratan pemandangan dan sentuhan ketika rawatan. Berdasarkan kaedah di
atas, dapat dirumuskan beberapa hukum, iaitu:
Bagi pemeriksaan berkala setiap
bulan dan kelahiran mengikut jadual, hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari
doktor wanita. Jika tidak ada, maka boleh berjumpa doktor lelaki dengan syarat
suami atau muslimat yang dipercayai turut hadir sepanjang masa ketika
pemeriksaan dan kelahiran. Kehadiran jururawat wanita tidak mencukupi kerana
kerap kali jururawat terpaksa meninggalkan ruang pemeriksaan dan bilik
kelahiran atas tugasan lain.
Bagi kelahiran yang tidak
dijadualkan, yakni secara tiba-tiba bayi akan lahir, maka kelahiran itu boleh
disambut oleh sesiapa jua, termasuk doktor lelaki. Ini kerana kelahiran yang
tiba-tiba merupakan satu keadaan darurat. Dalam hukum Islam, suasana darurat
membolehkan sesuatu yang haram menjadi halal, mengikut kadar yang diperlukan.
Soalan 2:
Saya ada kemusykilan
berhubung dengan cara pelaksanaan majlis cukur jambul yang biasa dilakukan oleh
masyarakat Melayu Islam apabila mendapat anak. Ia seolah-olah satu kemestian
dalam masyarakat. Apabila seseorang ibu baru melahirkan anak maka akan timbul
soalan “bila nak buat kenduri cukur jambul anak?” Boleh huraikan apakah
hukumnya membuat majlis cukur jambul anak yang baru lahir?
Noraini, Ampang,
Selangor.
Jawapan:
Mencukur rambut bayi adalah sesuatu
yang disunatkan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap bayi
tergadai dengan akikahnya, disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur
rambutnya dan diberi nama.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2838]
Tujuan mencukur rambut adalah untuk membersihkan selaput kepalanya dan agar
rambut yang baru lagi sihat dapat tumbuh. Oleh kerana itulah dalam riwayat yang
lain, mencukur rambut juga disebut sebagai “bersihkan kotoran”, yakni hadis: “Bersama
seorang anak satu akikah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan
akikah) dan bersihkan kotorannya (yakni mencukur rambut).” [Shahih
al-Bukhari, no: 5472, Fath al-Bari, jld. 27, ms. 24]
Mencukur rambut disunatkan ke atas
bayi lelaki dan perempuan, dan sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas
kelahirannya. Malang sekali, ramai ibubapa masa kini yang menyayangi bayi
mereka dengan cara yang salah, mereka menyayangi rambut bayi mereka sehingga
membelakangkan anugerah pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t.. Justeru mereka
menggantikan suruhan mencukur rambut bayi yang sunat hukumnya kepada majlis cukur
jambul.
Mencukur jambul bayi hukumnya
makruh, kerana ia sejenis “qaza” yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. [Shahih
al-Bukhari, no: 5920] “Qaza” ialah mencukur sebahagian rambut di mana-mana
bahagian kepala sementara di bahagian lain rambut dibiarkan [Fath al-Bari,
jld. 28, ms. 832]. “Qaza” dilarang kerana ia mencacatkan kepala seseorang – termasuk kepala bayi – dan
ia menyerupai fesyen sebahagian orang bukan Islam. Sekalipun hukumnya makruh,
mana-mana ibubapa yang beriman kepada Allah lagi mengharapkan keredhaan-Nya akan
berusaha menjauhi sesuatu yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.. Selain itu ada
juga ibubapa yang sekadar menggunting beberapa helai rambut bayi. Praktik ini
tidak memiliki apa-apa manfaat sama ada dari sudut agama mahu pun selainnya.
Adapun melaksanakan majlis sempena
cukur jambul, maka yang sepatutnya dilaksanakan ialah majlis akikah. Majlis
akikah membuktikan kesyukuran kepada Allah atas bayi yang dianugerahkan-Nya,
pengumuman kepada jiran-jiran akan kelahiran anak yang baru dan persediaan awal
bahawa bayi itu akan dididik menjadi hamba yang berkorban untuk kebaikan agama
dan umat. Majlis akikah dengan sendirinya adalah satu bentuk ibadah, maka ia
tidak perlu diubah-suai dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca surah Yasin,
zikir-zikir, doa selamat dan sebagainya. Walaubagaimanapun majlis akikah
hukumnya sunat, maka mana-mana ibubapa yang tidak mampu tidak dituntut
melaksanakannya.