Amalan umrah tidak ketinggalan dari anjuran ini: “Satu umrah yang diikuti dengan umrah berikutnya adalah menjadi penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara kedua-duanya dan haji yang mabrur itu tidak ada balasannya kecuali syurga.”

          Demikian beberapa di antara sekian banyak hadis yang menganjurkan ibadah haji dan umrah yang sempat saya salin dari kitab Sahih al-Targib wa al-Tarhib li al-Munziri oleh Syaikh al-Albani. Hadis-hadis ini menjadi telaah saya setelah beberapa hari sebelum itu seorang saudara saya dengan begitu ceria mengkhabarkan kepada saya bahawa dia akan berangkat menunaikan ibadah haji untuk sekian kalinya pada tahun 2010 ini.

          Saya menyambut keceriaanya itu secara hambar lagi dingan. Apa yang segera terlintas di fikiran saya ialah: "Berapa kali nak pergi haji? Bukankah lagi bagus jika duit - yang paling kurang RM10,000 - digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang masih bersekolah dan membantu orang miskin yang lain?" Lintasan fikiran ini saya terjemahkan dengan ucapan ringkas kepada saudara saya itu: "Owh! Ok!", lalu terus beralih kepada subjek persembangan yang lain.

          Saya sebenarnya bukan anti haji dan bukan anti umrah. Akan tetapi teguran Syaikh Yusuf al-Qardawi berikut ini masih segar dalam ingatan saya. Di bahagian awal bukunya Fiqh al-Awlawiyat, beliau menulisa:

          "Pada musim haji setiap tahun, saya saksikan banyak sekali kaum muslimin yang tergolong kaya dan mampu, pergi menunaikan ibadah haji untuk kali kedua, ketiga dan selanjutnya, Banyak juga di kalangan mereka yang menambahkan ibadah haji sunat itu dengan terlebih dahulu menunaikan umrah pada bulan Ramadhan. Mereka tidak segan-segan untuk mengeluarkan wang ringgit demi tujuan tersebut, malah ada kalanya banyak di antara mereka yang mengajak beberapa orang miskin untuk turut pergi bersama mereka menunaikan haji dan umrah tersebut. Padahal Allah SWT tidak membebankan mereka (orang miskin) untuk menunaikan haji atau umrah kerana mereka tidak memiliki kemampuan dan kesanggupan (kewangan).

          Akan tetapi kamu cuba untuk minta kepada mereka untuk menyalurkan semua dana dan peruntukan yang mereka belanjakan pada setiap tahun itu agar didermakan kepada tabung para pejuang (mujahidin) yang sedang memerangi penceroboh dan penjajah Israil di Palestin, untuk tabung mujahidin di Bosnia yang sedang menghadapi serangan pengganas Serbia.

          Atau untuk tabung dakwah Islamiah bagi menghadapi usaha-usaha Kristianisasi di wilayah-wilayah Indonesia, Bangladesh, serta di negara-negara lain di benua Asia dan Afrika, atau kamu meminta kepada mereka untuk menyalurkan peruntukan tersebut bagi membangunkan pusat-pusat tarbiyah dan pendidikan dakwah Islamiah, melahirkan para pendakwah yang mantap lagi berpengetahuan luas, ataupun untuk usaha-usaha penyusunan buku-buku Islam dan terjemahannya. (Jika dengan segala permintaan atau cadangan ini), pasti kebanyakan mereka akan menolehkan kepalanya ke arah lain kerana enggan dan tidak setuju dengan cadangan yang kamu berikan tadi. Bahkan mungkin ada di kalangan mereka yang akan mengherdik dan mencemuh kamu.

          Begitulah umumnya kefahaman masyarakat kita mengenai ajaran Islam, padahal secara terang dan jelas al-Qur'an al-Karim telah menggariskan bahawa amalan jihad itu adalah lebih utama daripada amalan ibadah haji, seperti firman Allah SWT:

         Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

          (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.[al-Taubah 9:19-20]”

          Sekian al-Qardawi. Di sini timbul persoalan, bagaimana hendak dipertimbangkan kata-kata di atas berbanding hadis-hadis yang telah saya kemukakan di awak catatan ini? Bukankah hadis-hadis tersebut menganjurkan haji dan umrah dengan anjuran yang besar dan ia tidak menghadkannya kepada haji dan umrah yang pertama sahaja?

          Agaknya di sinilah letaknya kebenaran kata-kata hikmah: “Setiap orang beramal dengan kadar ilmu masing-masing”. Bagi kebanyakan orang, kadar ilmu mereka sekadar mengetahui keutamaan amalan haji dan umrah lalu mereka berusaha untuk melaksanakannya sekerap yang mampu. Ini, berdasarkan hadis-hadis di atas, tidak boleh dianggap satu kesalahan. Bagi sebahagian yang lain, kadar ilmu mereka berada pada kemampuan menilai di antara dua atau lebih amalan, yang manakah patut diberi prioriti, lalu mereka berusaha untuk melaksanakan apa yang berada pada prioriti teratas. Ini juga satu kebenaran.

          Bagaimana pula dengan anda wahai para pembaca yang budiman sekalian, adakah anda seperti mana kebanyakan orang atau seperti mereka yang mengamalkan Fiqh al-Awlawiyat dalam bab haji, umrah dan selainnya?