Ada pun rasa sakit, itu bererti vagina puan masih belum dibasahi dengan air mazi. Air mazi berperanan sebagai cecair pelincir bagi menggelakkan kesakitan apabila zakar memasuki vagina. Bagi mengelakkan rasa sakit ini, suami perlu bermain-main dahulu dengan jarinya dua kawasan di vagina yang disebut Clitoris dan G-spot. Sila rujuk ke mana-mana buku, doktor atau laman web pendidikan (educational websites) untuk maklumat lanjut berkenaan dua kawasan ini.

 

 


Soalan 2: Taat: Antara Suami dan Ibu.

Saya baru mendirikan rumahtangga. Apa yang sama faham, seorang isteri perlu patuh kepada perintah suami sebaik mendirikan rumahtangga. Bagaimanapun ibu saya masih lagi memberikan arahan itu dan ini serta tidak mengizinkan saya pergi ke sesuatu destinasi atau melakukan apa-apa biar pun saya sudah mendapat keizinan daripada suami. Bagaimana sebenarnya kuasa seorang ibu terhadap anak perempuannya yang sudah berumahtangga?

 

Jawapan:

Benar, selepas bernikah ketaatan seorang wanita beralih dari ibubapanya kepada suaminya. Allah berfirman berkenaan ketaatan kepada suami: Maka perempuan-perempuan (isteri-isteri) yang soleh itu ialah yang taat (kepada suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama. [al-Nisa’ 4:34]

Dalam suasana yang dihadapi oleh puan di atas, kemungkinan besar ibu belum dapat menerima hakikat bahawa anak perempuan kesayangannya sudah memiliki suami dan berada di bawah penjagaan suami. Ibu masih merasakan puan berada di bawah tanggungjawabnya, maka atas sebab inilah ibu masih prihatin kepada urusan puan.

Di sini puan perlu menjelaskan kepada ibu, secara penuh hikmah, bahawa puan kini berada di bawah tanggungjawab suami dan tidak dapat lagi menerima arahan daripadanya. Penjelasan ini perlu ditambah dengan hakikat bahawa puan masih menyayangi ibu dan akan cuba sedaya upaya untuk berbakti kepadanya. 

Seperkara lain, apa yang dihadapi oleh puan sebenarnya lazim dihadapi oleh pasangan lain. Ia adalah fenomena “sandwich” di mana seorang anak keliru antara memberi prioriti kepada pasangan atau ibubapa. Penyelesaian terbaik ialah cuba berada di pertengahan antara kedua-duanya, secara hikmah, komunikasi jelas dan doa kepada Allah.

 

 

 


Soalan 3: Tidak Minta Izin Untuk berpuasa.

Saya ingin bertanya, berdosakah seorang isteri berpuasa tanpa pengetahuan suami sebab suaminya seorang yang tidak pernah mengajak isteri berjimak kecuali setelah isteri meminta. Jadi bagi mengawal nafsu, isteri berpuasa tanpa pengetahuan suami tapi isteri berniat kalau suami ajak bersama isteri akan lakukan. Adakah puasa begini mendapat pahala walaupun bukan pada hari Isnin dan Khamis, cuma niat puasa ganti? 

 

Jawapan:

Antara syarat puasa di luar bulan Ramadhan ialah mendapatkan keizinan suami terlebih dulu. Rasulullah bersabda: Tidak halal bagi seorang wanita untuk berpuasa sementara suaminya ada (tidak musafir), kecuali dengan seizinnya. [Shahih al-Bukhari, no: 4796] Syarat ini digariskan oleh Islam bagi menunjukkan betapa besar hak suami. Ia juga menunjukkan isteri perlu dalam keadaan sedia dan bertenaga untuk berkhidmat kepada suami. Khidmat yang dimaksudkan tidak semestinya hubungan seks, tetapi apa-apa lain yang diminta oleh suami seperti kerja-kerja rumah.

Jika puan berpuasa ganti (qadha) maka tidak boleh sesuka hati membukanya apabila suami tiba-tiba ingin melakukan hubungan seks. Dibolehkan berbuka sesuka hati hanyalah untuk puasa sunat. Hadis berikut menjadi rujukan, di mana Umm Hani pernah minum air yang diberikan kepadanya padahal dia sedang berpuasa. Lantas dia bertanya: “Wahai Rasulullah, sungguh saya telah berbuka padahal tadinya saya sedang berpuasa.” Kemudian baginda bertanya kepadanya: “Apakah engkau mengqadha sesuatu puasa (wajib)?” Dia berkata: “Tidak.” Lalu baginda berkata: “Hal itu tidak mengapa bagimu apabila puasa sunat.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2456]

Oleh itu, puan tetap perlu meminta izin suami untuk berpuasa. Ada pun cabaran hubungan seks antara puan dan suami, hendaklah dicari jalan penyelesaiannya. Menahan diri dengan berpuasa senyap-senyap bukanlah penyelesaian yang terbaik.