Seorang rakan bertanya kepada saya: “Dalam banyak-banyak artikel yang ditulis, pernahkan menulis tentang cara berwudhu’ dalam kapal terbang?” Saya terfikir bahawa ini memang soalan yang baik. Meskipun saya ada menulis sebuah buku khusus dalam bab ini berjudul Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan, ada baiknya jika saya ringkaskannya menjadi satu artikel.

Hadis Abdullah Ibn ‘Abbas

Rujukan terbaik bagi persoalan ini ialah hadis berikut. ‘Atha’ bin Yasar berkata, Abdullah ibn ‘Abbas pernah berkata kepada kami:

أَتُحِبُّونَ أَنْ أُرِيَكُمْ كَيْفَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ فَدَعَا بِإِنَاءٍ فِيهِ مَاءٌ فَاغْتَرَفَ غَرْفَةً بِيَدِهِ الْيُمْنَى فَتَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ ثُمَّ أَخَذَ أُخْرَى فَجَمَعَ بِهَا يَدَيْهِ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثُمَّ أَخَذَ أُخْرَى فَغَسَلَ بِهَا يَدَهُ الْيُمْنَى ثُمَّ أَخَذَ أُخْرَى فَغَسَلَ بِهَا يَدَهُ الْيُسْرَى ثُمَّ قَبَضَ قَبْضَةً مِنْ الْمَاءِ ثُمَّ نَفَضَ يَدَهُ ثُمَّ مَسَحَ بِهَا رَأْسَهُ وَأُذُنَيْهِ ثُمَّ قَبَضَ قَبْضَةً أُخْرَى مِنْ الْمَاءِ فَرَشَّ عَلَى رِجْلِهِ الْيُمْنَى وَفِيهَا النَّعْلُ ثُمَّ مَسَحَهَا بِيَدَيْهِ يَدٍ فَوْقَ الْقَدَمِ وَيَدٍ تَحْتَ النَّعْلِ ثُمَّ صَنَعَ بِالْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ

“Mahukah aku tunjukkan kepada kalian bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwudhu?” Maka dia meminta dibawakan sebuah bekas air, lalu dia menceduknya sekali dengan tangan kanannya, lantas berkumur dan beristinsyaq (menghirup air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar).

Kemudian menceduk sekali lagi, lalu menggabungkan kedua tangannya dengan sekali cedukan itu, lantas membasuh wajahnya. Setelah itu dia menceduk lagi, lalu membasuh tangan kanannya (hingga siku) dengannya. Kemudian menceduk lagi, lalu membasuh tangan kirinya (hingga siku).

Setelah itu dia mengambil segenggam air, mengibaskan tangannya, kemudian mengusapkannya pada kepala dan kedua telinganya. Setelah itu mengambil satu genggam lagi, lalu dipercikkannya ke atas kaki kanannya yang berada dalam selipar, kemudian mengusapnya dengan kedua tangannya, satu tangan di atas kakinya dan tangan lainnya di bawah. Kemudian dia melakukannya pula seperti itu pada kakinya yang kiri. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 118/137]

Dalam hadis ini dapat kita pelajari beberapa ilmu penting.

FirstBathroomMAS

Tidak Ada Lafaz Niat

Abdullah ‘ibn Abbas tidak memulakannya dengan lafaz niat. Ini menunjukkan bahawa wudhu’ mahupun apa-apa ibadah lain tidak perlu dimulakan dengan lafaz niat, baik dalam bahasa Arab atau apa-apa bahasa lain. Ini kerana Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati hamba-hamba-Nya. Niat ialah gerakan hati untuk melakukan sesuatu dan Allah Maha Mengetahui gerakan hati tersebut tanpa perlu kita memberitahu-Nya dengan sekian-sekian lafaz.

Tidak Semestinya Tiga Kali Basuhan

Apa yang lazim diketahui dan diamalkan adalah, anggota-anggota wudhu’ dibasuh tiga kali-tiga kali. Ini betul tetapi tidak semestinya tepat. Sebabnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berwudhu’ dengan membasuh anggota-anggota wudhu’nya dua kali-dua kali, bahkan pernah juga sekali-sekali. Abdullah bin Zaid dan Abu Hurairah radhiallahu 'anhuma menjelaskan Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berwudhu’ dua kali-dua kali. [Shahih al-Bukhari, no: 154/158 & Shahih Sunan Abu Daud, no: 117/136] Dalam hadis di atas pula, Abdullah ibn ‘Abbas menunjukkan cara wudhu’ Rasulullah yang membasuh sekali-sekali.

Tidak Ada Air Musta’mal

Di antara ajaran yang memberat-beratkan umat Islam ialah konsep air musta’mal, iaitu air yang sudah digunakan lalu tidak suci untuk digunakan lagi. Ajaran ini menyebabkan umat Islam berwudhu’ dengan jumlah air yang banyak

Namun jika disemak cara wudhu’ Rasulullah yang ditunjukkan oleh Abdullah ibn ‘Abbas, jelas tidak ada air musta’mal. Beliau hanya menceduk air dengan sebelah tangan untuk membasuh anggota-anggota wudhu’nya. Bahkan dengan sedikit air, beliau mengusap kepala dan kedua-dua telinganya. Demikian juga, jika disemak hadis-hadis lain yang menerangkan cara wudhu’ Rasulullah dan para sahabatnya, tidak ada air musta’mal. Mereka menggunakan air yang sedikit untuk membasuh seluruh anggota wudu’.

Justeru tidak ada air musta’mal. Tidak perlu memberat-beratkan diri sehingga berwudhu’ dengan jumlah air yang banyak lagi mengalir.

Menggunakan Air Yang Amat Sedikit

Berdasarkan cara wudhu’ di atas, dapat kita perhatikan bagaimana Rasulullah berwudhu’ dengan jumlah air yang amat sedikit. Perkara ini hendaklah diperhatikan kerana masa kini ada sebahagian umat Islam yang berwudhu’ dengan air paip yang mencurah-curah, padahal boleh saja dengan air paip yang mengalir halus.

Pengalaman saya sebagai juruterbang lebih 20 tahun mendapati ada orang yang berwudhu’ dalam tandas pesawat dengan jumlah air yang sangat banyak sehingga melimpah di lantai. Ini menjadikan lantai kotor dan becak, memberikan imej buruk kepada Islam apabila ada penumpang lain yang ingin menggunakan tandas selepas itu.

Menyapu Di Atas Kasut

Dalam hadis di atas: Setelah itu mengambil satu genggam lagi, lalu dipercikkannya ke atas kaki kanannya yang berada dalam selipar, kemudian mengusapnya dengan kedua tangannya, satu tangan di atas kakinya dan tangan lainnya di bawah. Kemudian dia melakukannya pula seperti itu pada kakinya yang kiri.

Selipar yang dimaksudkan ialah selipar bertali yang ringkas. Di Malaysia, ia masyhur disebut sebagai “selipar Jepun”. Jika memakai kasut, hendaklah dibuka kasut dan stokin terlebih dahulu. Namun Islam ada memberikan satu kemudahan, iaitu memadai dengan menyapu di atas kasut. Tidak perlu membuka kasut dan membasuh kaki, tetapi memadai menyapu di atas kasut.

Caranya: (1) Ambil wudhu’ seperti biasa ketika di rumah atau hotel, lalu terus pakai kasut. (2) Apabila hendak solat sementara wudhu’ sudah batal, maka ambillah wudhu’ seperti biasa. Akan tetapi kaki tidak perlu dibasuh, memadai dengan menyapu di atas kasut dengan tangan atau tisu yang dilembabkan dengan air. (3) Solat seperti biasa, sama ada dengan memakai kasut atau dengan membuka kasut. Wudhu’ pada langkah kedua di atas sudah sah dan ia tidak mempengaruhi solat sama ada berkasut atau tanpa kasut. Beberapa perkara tambahan yang perlu diambil tahu:

  1. Tidak disyarat apa-apa jenis kasut. Baik kulit atau fabrik, baik bertutup atau ada bukaan, asalkan ia kasut maka boleh disapu di atasnya. Ini adalah satu kemudahan (rukhsah) daripada Allah. Mensyaratkan jenis-jenis kasut tertentu (seperti khuf) menyelisihi tujuan kemudahan ini.
  2. Kemudahan ini boleh diamalkan oleh semua: lelaki dan wanita, kanak-kanak, dewasa dan orang tua, baik sihat atau sakit.
  3. Kemudahan ini boleh diamalkan ketika musafir atau mastautin. Jika musafir, kemudahan ini boleh diamalkan untuk tempoh maksimum tiga hari. Jika mastautin, tempoh maksimum sehari. Selepas tempoh maksimum ini, hendaklah membuka kasut dan membasuh kaki seperti biasa ketika berwudhu’.
  4. Tidak disyaratkan suasana kesukaran untuk mengamalkan kemudahan ini. Boleh diamalkan pada semua suasana, seperti ketika mengambil wudhu’ di pejabat.
  5. Apabila menyapu kasut, bahagian yang disapu ialah di atasnya, bukan di bawah, tepi, depan mahupun belakang.

Mudahnya Berwudhu’!

Diharapkan melalui penjelasan-penjelasan di atas, para pembaca akan yakin dan mudah berwudhu’ dalam semua urusan harian. Baik ketika dalam kapal terbang, kapal laut, keretapi dan bas ekspres yang menyediakan tandas. Bahkan jika tidak ada tandas atau tandas penuh sesak, boleh saja berwudhu di kerusi sendiri dengan menggunakan kurang dari sebotol kecil air mineral, tanpa membasahkan lantai atau kawasan sekeliling.