Soalan: 

Ketika di Padang Mahsyar nanti, manusia tidak berpakaian kecuali para nabi dan sesiapa yang mendermakan pakaian semasa hidupnya. Betul ke?

Shima Daud, Selangor.

 

Jawapan:

Tidak betul. Apa yang diterangkan dalam hadis sahih adalah, semua manusia akan dibangkitkan tanpa apa-apa pakaian, termasuklah para Nabi. Rasulullah pernah berkhutbah: Sesungguhnya kalian akan dikumpul (di Padang Mahsyar) menuju Allah dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan tidak berkhitan. Kemudian baginda melanjutkan: Sesungguhnya orang pertama diberi pakaian pada Hari Kiamat ialah Nabi Ibrahim. [Shahih al-Bukhari, no: 4371/4740]

Berdasarkan hadis sahih di atas, semua manusia dibangkitkan dalam keadaan tidak berpakaian, termasuklah para Nabi. Hanya kemudian, para Nabi diberikan pakaian dimulai dengan Nabi Ibrahim. Ini dapat difahami dari sabda baginda: Sesungguhnya orang pertama diberi pakaian pada Hari Kiamat ialah Nabi Ibrahim.

Adapun orang-orang yang mendermakan pakaian ketika di dunia, mereka akan diberikan pahala oleh Allah. Akan tetapi saya tidak mengetahui adanya dalil sahih yang menyatakan mereka akan dibangkitkan dalam keadaan berpakaian di Padang Mahsyar kelak.