Di samping al-Qur’an, saya suka membaca hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sambil membaca, ada sebahagian hadis yang terus menarik perhatian saya kerana ia memberi kesan yang mendalam kepada diri saya hanya pada bacaan yang pertama. Salah satu hadis tersebut suka untuk saya kongsikan dengan para pembaca sekalian. Ia seperti berikut:

Muaz bin Jabal berkata: Saya pernah bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam satu perjalanan. Pada satu pagi, saya berada dekat dengan baginda ketika kami sedang berangkat, maka saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Khabarkanlah kepadaku tentang amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?”

 

Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu telah bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung padahal sungguh ia merupakan perkara mudah bagi orang yang telah Allah jadikan mudah baginya, iaitu: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? (Pintu-pintu itu adalah) Puasa, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian baginda membacakan ayat: “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” [al-Sajdah 32:16-17]

Kemudian baginda bertanya: “Mahukah kamu aku tunjukkan pokok bagi segala perkara agama, tiangnya dan puncaknya?” Saya menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Pokok bagi (segala) perkara adalah Islam, tiangnya adalah shalat, sedangkan puncaknya adalah jihad.”

Kemudian baginda bertanya: “Mahukah aku khabarkan kamu dengan sesuatu yang menguasai semua itu?” Saya menjawab: “Tentu wahai Nabi Allah!”

Maka baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah (lidah) kamu ini.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?” Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2541/2616]

Hadis ini memiliki beberapa pengajaran yang menarik, ayuh kita menelaah beberapa daripadanya.

Soalan Yang Penting

Permulaan hadis menunjukkan soalan yang cemerlang daripada seorang murid, diikuti dengan jawapan yang cemerlang daripada seorang guru. Sebagai seorang murid, Muaz bin Jabal ada pelbagai soalan yang boleh dan patut ditanya. Namun yang disoal hanyalah sesuatu yang benar-benar bermanfaat baginya di dunia dan akhirat, iaitu tentang amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka.

Soalan ini memberi iktibar kepada kita agar sentiasa bertanya, berfikir dan mencari jawapan tentang apa yang benar-benar akan “…memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka.” Ini kerana kerap kali kita – termasuklah saya – terlalu sibuk dengan urusan yang menguntungkan dunia sehingga lalai daripada apa yang benar-benar bermanfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Adapun jawapan kepada soalan dan pencarian ini, maka ia tersimpan dalam khazanah hadis-hadis baginda yang sahih. Selain hadis di atas, pelbagai ajaran dan amalan Rasulullah merupakan jalan ke arah syurga dan menjauhi neraka. Ini berdasarkan sebuah hadis yang lain di mana baginda berpesan: Tidak tertinggal sesuatu apa jua yang menghampirkan (kalian) kepada syurga dan menjauhkan (kalian) daripada neraka melainkan sungguh, telah dijelaskan kepada kalian. [Bughyah al-Ra‘id fi Tahqiq Majma’ al-Zawa‘id wa Manba’ al-Fawa‘id, no: 13971]

Oleh itu marilah kita mencukupkan diri dengan ajaran dan amalan Rasulullah. Ayuh kita mengkaji, mempelajari dan mengamalkannya. Usah menyibukkan diri dengan ajaran dan amalan kebiasaan masyarakat, yang baru dicipta atau diubah-suai kerana semua itu tidak menjanjikan kedekatan kepada syurga atau kejauhan dari neraka.

Tauhid, Amalan Fardhu dan Sunat

Jawapan Rasulullah tentang amalan yang dapat membawa ke syurga dan menjauhkan dari neraka boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, mentauhidkan Allah sepenuhnya dengan tidak mencemarinya dengan apa jua. Ketahuilah tauhid boleh dicemari atau dibatalkan oleh banyak perkara. Ia tidak terhadap kepada menyembah patung sahaja. Lebih lanjut, sila semak buku saya 13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid.

Kedua ialah amalan-amalan fardhu seperti solat, zakat, puasa dan haji bagi yang mampu. Ketiga ialah amalan-amalan nawafil atau tambahan yang sunat hukumnya seperti puasa sunat, bersedekah dan solat malam (Qiamullail). Amalan-amalan sunat ini merupakan tambahan dan pelengkap kepada amalan-amalan fardhu.

Dalam sebuah hadis lain, diterangkan keutamaan amalan-amalan fardhu dan sunat. Rasulullah bersabda, bahawa Allah berfirman: Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku bertaqarrub kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah aku fardhukan ke atasnya. Dan tidaklah hamba-Ku berterusan bertaqarrub kepada-Ku melalui amalan-amalan nawafil sehinggalah aku mencintainya.

Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dia jadikan untuk berjalan. Jika dia meminta daripada-Ku nescaya Aku berikan dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungkan. [Shahih al-Bukhari, no: 6021/6502]

Di sini saya ingin mengajak diri saya dan para membaca yang budiman sekalian untuk mempertingkatkan amalan-amalan sunat. Ini kerana sebahagian kita hanya mencukupkan diri dengan amalan fardhu sementara amalan sunat sangatlah minimum. Justeru marilah kita mengkaji apakah amalan-amalan sunat yang sahih kedudukannya dalam Islam, kemudian mengamalkannya sebanyak mungkin.

Perbuatan Yang Mendekatkan Ke Neraka

Meskipun seseorang itu menjaga amalan-amalan fardhunya dan memperbanyakkan amalan-amalan sunatnya, ada satu perbuatannya yang boleh merosakkan semua itu. Ia adalah perbuatan lidahnya, yakni apabila lidah itu membuka aib orang lain, menyebarkan air orang lain, memfitnah orang lain, melaga-lagakan antara beberapa orang, berdusta, mencela dan bercakap-cakap sesuatu yang sia-sia (lagha).

Jika pada zaman Rasulullah baginda menunjukkan kepada lidah secara khusus, maka pada zaman kini ia tidak terhad kepada lidah tetapi turut merangkumi jari-jemari yang menaip dan membuat rakaman video. Banyak aib, fitnah, pendustaan dan percakapan lagha yang tersebar melalui alat-alat canggih masa kini. Perkara ini hendaklah diperhatikan kerana ada segelintir orang yang solat lima kali sehari akan tetapi lidah dan jari-jemarinya berbuat salah jauh lebih kerap dari lima kali sehari.

Ketahuilah, sebagaimana yang diperingatkan oleh Rasulullah dalam hadis di atas, semua ini amatlah “berkuasa” dalam membatalkan amalan-amalan fardhu dan sunat seseorang, malah boleh menyebabkan dirinya mendekati neraka. Perhatikan sabda baginda: Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).

Majalah i  (Ogos 2015)