“Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan.” Demikian pesan Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 1923. Insya-Allah pada pertengahan September 2007 ini, kita akan menyambut bulan Ramadhan. Inilah bulan yang kita sambut bukan dengan pesta dan sorakan, tetapi dengan ibadah dan amal shalih.

          Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca Dara.com berkenaan satu ibadah yang amat penting dalam bulan Ramadhan, iaitu sahur. Sahur dari sudut bahasa bermaksud hidangan yang dimakan dari pertengahan malam hingga terbit waktu Subuh untuk berpuasa. Ada pun dari sudut sunnah Rasulullah s.a.w., sahur ialah hidangan yang dimakan sebaik sahaja sebelum masuknya waktu Subuh.

          Seorang sahabat Nabi s.a.w., Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka (dia dan sahabat-sahabat yang lain) pernah bersahur bersama Nabi s.a.w. lalu kemudian bangun mendirikan solat Subuh. Seorang sahabat yang lain bernama Anas bin Malik bertanya: “Berapa lamakah tempoh antara keduanya (antara sahur dan solat Subuh)?” Zaid bin Tsabit menjawab: “Sekadar tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an.” [Shahih al-Bukhari, no: 575]

          Dalam riwayat di atas, sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang lain selesai bersahur, mereka bangun mendirikan solat Subuh. Ini menunjukkan waktu mereka mula bersahur amat hampir dengan masuknya waktu Subuh. Tempoh di antara waktu mereka mula bersahur dan bersolat Subuh ialah sekadar tempoh yang sama untuk membaca purata antara 50 hingga 60 ayat al-Qur’an. Inilah kaedah yang digunakan untuk mengukur waktu pada zaman tersebut yang masih tidak memiliki jam. 

          Ada pun pada masa kini, katakanlah tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an adalah sekadar 20 minit dan waktu Subuh ialah 5.40 pagi. Maka waktu yang disunnahkan untuk mula bersahur ialah pukul 5.20 pagi. 

          Berdasarkan riwayat Zaid bin Tsabit di atas juga, dapat kita ketahui bahawa waktu imsak yang lazim diamalkan pada masa kini tidak berasal dari sunnah Rasulullah s.a.w.. Jika hendak dikatakan waktu imsak berasal dari sunnah Rasulullah s.a.w., jam apakah yang baginda gunakan untuk mengukur 5 minit sebelum masuknya waktu Subuh? Casio atau Rolex? Kemudian kalendar manakah yang baginda guna untuk menyemak waktu Subuh supaya dapat ditolak lima minit darinya sebagai waktu imsak? 

          Yang benar, waktu imsak hanyalah syarat tokok tambah yang membebankan umat Islam. Alasan konon waktu imsak adalah supaya waktu sahur seseorang tidak terlanjur hingga masuknya waktu Subuh adalah tertolak kerana syari‘at Islam sememangnya membolehkan kita meneruskan makan dan minum sehingga benar-benar terbitnya fajar, iaitu masuknya waktu Subuh. 

          Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [Surah al-Baqarah, ayat 187]

          Juga berdasarkan riwayat Zaid bin Tsabit, amalan sebahagian umat Islam tanah air yang bersahur pada lewat malam perlu disemak semula. Waktu sahur yang disunnahkan bukanlah pukul 10.30 malam selepas solat Tarawih atau 11.30 malam sebelum masuk tidur. Akan tetapi ia adalah pada keesokan paginya sebaik sahaja sebelum masuknya waktu Subuh. Hanya pada waktu ini seseorang itu akan memperolehi keberkatan dalam sahurnya. 

          Seterusnya ada pula yang langsung tidak bersahur, sama ada pada lewat malam atau sebaik sahaja sebelum masuk waktu Subuh. Sikap ini perlu diubah kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) ialah makan sahur. [Shahih Muslim, no: 1096]. 

          Seterusnya, apa yang patut menjadi menu sahur? Nasi ayam? Nasi briyani? Naan dan ayam tandori? Mee goreng? Laksa? Pizza? Fish and chips? Sebenarnya apa saja yang thayyibat, iaitu gizi (diet) yang seimbang lagi berkhasiat, dibolehkan sebagai menu sahur. Allah s.w.t. berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (thayyibat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya. [Surah al-Baqarah, ayat 172] 

          Maaf kata, mee segera tidak masuk dalam kategori thayyibat. Apa pun jenama dan perisanya, ia bukanlah makanan yang sepatutnya menjadi menu seorang muslim, sama ada dalam bulan Ramadhan atau selainnya. Ia bukan sahaja menyalahi perintah Allah dalam ayat 172 surah al-Baqarah di atas, tetapi juga menyalahi logik yang mudah. 

          Katakanlah anda memiliki sebuah kereta Ferari yang berkuasa tinggi lagi amat pantas. Vroom! Vroom! Akan tetapi pada satu hari anda tidak mengisi tangkinya dengan petrol, sebaliknya anda isi dengan cecair yang lain. Apa yang terjadi? Brup! Brup! Bup. Kereta secanggih Ferari tidak akan ke mana-mana jika anda mengisi tangkinya dengan sesuatu yang tidak thayyibat. Anda umpama kereta Ferari di atas. Otak dan tubuh badan anda amat berpotensi untuk menjana pemikiran yang cemerlang dan melakukan aktiviti yang bermanfaat. Akan tetapi potensi tersebut tidak akan tercapai jika anda mengisi tangki anda, yakni perut, dengan sesuatu yang tidak thayyibat. Jadi yang mana satu yang sepatutnya menjadi pilihan anda: Vroom! Vroom! atau Brup! Brup! Bup? 

          Jika anda tidak berselera untuk bersahur atau terlewat bangun tidur, maka memadai bersahur sesuatu yang ringan sekali pun sekadar seteguk air. Yang penting, jangan tinggalkan ibadah sahur. Rasulullah s.a.w. bersabda: Makan sahur adalah keberkatan maka janganlah kamu tinggalkannya sekalipun kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 3683] 

          Sebelum mengundur diri, ingin saya ucapkan Selamat Memanfaatkan Bulan Ramadhan kepada para pembaca Dara.com sekalian. Bagi para pembaca yang ingin mengkaji lebih lanjut berkenaan amalan-amalan di bulan Ramadhan, antara yang tulen dan yang telah ditokok tambah, silalah dapatkan buku saya Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa terbitan Jahabersa, Johor Bahru. 

          Ramadhan, kedatangan mu ku nanti, 
          Puasa sebulan ku penuhi, 
          Sepuluh malam terakhir palingku minati 
          Lailatul Qadar pasti ku cari.