Soalan:

Seorang rakan bukan Islam saya bertanya, kita orang Islam mendakwa tidak menyembah batu. Akan tetapi kita bersembahyang ke arah Kaabah dan tawaf di sekeliling Kaabah padahal Kaabah itu juga diperbuat daripada batu. Bagaimana seharusnya saya menjawab soalan ini?

Syikin, Pulau Pinang. Jawapan: Benar bahawa kita tidak menyembah batu, bahkan tidak kepada pokok, patung atau apa jua. Kita hanya menyembah Allah. Adapun Kaabah, ia hanya satu titik dalam menseragamkan arah sembahyang umat Islam seluruh dunia. Ia juga sebagai satu paksi untuk kita melaksanakan tawaf. Seandainya musuh Islam mengalih Kaabah dari lokasinya sekarang ke mana-mana jua, kita tetap sembahyang ke arah tapak asal Kaabah dan tawaf mengelilingi tapak asal itu. Ini kerana Kaabah tidak pernah menjadi objek sembahan kita umat Islam.