“Ehh! Anta tahu ke apa benda Exora tu?” tanya Mohd. Yaakub sambil ketawa kepada saya. Rakan-rakan lain turut ketawa, konon saya ini tidak ambil perhatian akan perkembangan dunia exora_bone.jpgkereta buatan Malaysia. Ketika itu kami daripada forum al-Fikrah.net sedang makan malam di warung satay Hj. Samuri di Rehat dan Rawat Kinrara, MRR2. Pelbagai topik menjadi bahan sembang-sembang kami malam itu, termasuklah berkenaan pelancaran kereta pelbagai guna (MPV) terbaru Proton yang dinamakan Exora. “Alaah! Anta mana pandang kereta-kereta macam ni. Syarat minimum anta mesti fully imported dan berkuasa turbo” seorang lain mencelah.

          Bercakap tentang kereta-kereta buatan Malaysia secara umum dan Exora secara khusus, boleh dikatakan masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok. Kelompok pertama adalah mereka yang memanfaatkan sepenuhnya kereta-kereta tempatan. Kelompok kedua ialah mereka yang mengkritik sepenuhnya kereta-kereta tempatan. Kelompok ketiga ialah mereka yang berkecuali, manfaatkan pun tidak, kritik pun tidak. Bahkan mengetahui tentangnya pun tidak.

          Sejujurnya saya duduk di kelompok kedua. Tangkai pintu yang mudah tercabut, cermin tingkap yang tersangkut, penggera yang tidak berfungsi, peralatan dalaman yang bergegar, badan yang mudah berkarat, pintu yang mudah dibuka oleh pencuri amatur dan sebagainya menyebabkan saya meletakkan diri saya di kumpulan kedua ini.Walaubagaimanapun, alhamdulillah, atas sikap sentiasa mengkaji dan berlaku adil, saya tidak menutup diri saya terhadap kemungkinan berlakunya pembaikan dan pembaharuan di sisi syarikat-syarikat kereta negara kita.

          Beberapa bulan yang lepas, saya membaca laporan uji pandu dua majalah tempatan berkenaan kereta pelbagai guna “Rondo” yang diperbuat oleh Naza. Kedua-dua majalah memberi markah yang tinggi kepada Rondo. Tidak sebegitu percaya, saya sendiri pergi melihat dan menguji pandu Rondo di salah sebuah pengedar Naza di Shah Alam. Memang benar seperti apa yang dilaporkan dalam kedua-dua majalah tersebut.Kemudian muncullah Exora, menjadi bahan kajian dan uji pandu pelbagai majalah kereta tempatan. Tidak kurang juga yang turut memberi laporan ialah beberapa laman internet yang memiliki pengkhususan dalam bidang kereta. Setakat yang saya baca, semuanya memberi markah yang tinggi kepada Exora juga.

          Bagi mengukur kesahihan laporan tersebut, siang tadi – beberapa jam sebelum saya menulis artikel ini – saya sendiri telah pergi melihat Exora di salah satu pengedar Proton di Shah Alam. Ya, ia memang baik seperti mana yang dilaporkan.Bahkan dalam pengalaman saya memiliki, memandu dan mengkaji tentang kereta, berani saya berkata bahawa kedua-dua Rondo dan Exora mampu bersaing dengan kereta pelbagai guna buatan luar negara. Malah jika harga kenderaan diambil kira, tentu kemenangan berada di tangan kedua-dua model tempatan di atas.

          Akan tetapi lazimnya dikatakan, kereta buatan luar negara memiliki kualiti yang lebih baik. Benarkah dakwaan ini?Izinkan saya berkongsi beberapa pengalaman saya. Kereta pertama saya yang merupakan buatan salah sebuah negara di Eropah memiliki masalah teknikal yang sebegitu banyak sehingga menjadi satu kelaziman untuk menziarahi bengkel setiap bulan. Kereta kedua saya buatan negara Jepun, digunakan selama tujuh tahun dan ia tidak pernah masuk bengkel kecuali servis yang rutin. Namun sistem suspensinya amat keras hingga sering menyebabkan saya mengeluh sakit belakang. Kereta ketiga saya buatan Amerika Syarikat. Amat selesa tetapi amat dahagakan petrol.

          Tidak sekadar itu. Apabila saya bersembang-sembang kereta dengan rakan-rakan sekerja yang masing-masing juga memiliki kereta buatan luar negara, hampir setiap daripada mereka memiliki pengalaman yang kurang baik yang melibatkan kualiti kereta mereka. Kesimpulan yang mudah, semua jenama kereta sama ada buatan dalam atau luar negara menghadapi masalah kualiti. Atas kesimpulan ini juga, saya yakin cara terbaik bagi Proton, Perodua dan Naza untuk memenangkan hati masyarakat, khasnya kelompok kedua dan ketiga ialah meningkatkan kualiti kereta mereka.

Kualiti dari aspek apa? 
         

          Pertama sekali dari aspek keselamatan agar pemandu, penumpang dan orang di luar selamat daripada kebinasaan. Firman Allah s.w.t.: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” [al-Baqarah 2:195]

          Kedua ialah aspek kos, bukan sahaja kos bahan api tetapi juga kos penyelenggaraan. Ia memang perlu tetapi pastikan para pengguna tidak perlu mengeluarkan belanja yang tinggi kerana: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” [al-Furqan 25:67]

          Aspek ketiga ialah kekuatan, daripada kekuatan bahan binaan yang digunakan hinggalah kekuatan daya lasak menahan cuaca dan kegunaan harian. Kereta yang kuat melambangkan syarikat mukmin yang kuat, maka: “Seorang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disayangi oleh Allah berbanding seorang Mukmin yang lemah.” [Shahih Muslim, no: 2664]

          Aspek keempat ialah keselesaan, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: “Empat perkara termasuk unsur kebahagiaan seseorang: wanita (isteri) yang saleh, kediaman (rumah) yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa.” [Shahih Ibn Hibban, no: 4032]

          Aspek kelima ialah reka bentuk dalaman dan luaran, agar ia terpikat hanya dengan sekali pandang. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah sukakan kecantikan.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1999]

          Tidak ketinggalan ialah aspek saiz, agar pemandu setinggi enam kaki satu inci seperti saya atau yang memakai seluar saiz empat puluh lapan seperti Mohd. Yaakub dapat memandu dengan posisi yang optimum