Soalan:
Saya pernah terpakai kasut yang diperbuat dari kulit khinzir. Saya telah menyamak kaki saya, perlukah juga saya samak stokin, pakaian dan lain-lain?

Zarita, Gombak, Selangor.


Jawapan:
Kita umat Islam dilarang menjadikan khinzir sebagai satu sumber pemakanan. Allah s.w.t. berfirman: Katakanlah: “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging khinzir - kerana sesungguhnya ia adalah najis.” [Surah al-An’aam, ayat 145]

Adapun menggunakan produk khinzir atas tujuan selain pemakanan seperti kulitnya, maka hukumnya adalah harus setelah ia diproses terlebih dahulu. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kulit apa saja yang diproses maka ia suci” [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 2711] Maksud proses di sini ialah beberapa langkah pembersihan yang lazim dilakukan ke atas kulit haiwan sebelum ia digunakan oleh manusia. Ini termasuklah kulit khinzir. Maka tidak perlu menyamak jika terpakai atau tersentuh sesuatu produk kulit khinzir.