“Lagha! Sia-sia! Melekakan umat dari dalil, hujah dan ajaran agama yang sebenar.”

          Effendi berhujah dengan dirinya sendiri dengan penuh rasa geram. Semangat. Dia memang tidak bersetuju dengan pensyarahnya, Dr. Najwa yang ketika itu sedang menganjurkan para pelajar untuk memanfaatkan cuti semester untuk menulis cerpen.

          “Jika semua pendukung sunnah terjun ke bidang cerpen dan novel, nescaya berlakulah fitnah ke atas dakwah sunnah. Bumi Malaysia akan kembali ke arah agama yang kurafat, tahayul, super mazhab, mega tareqat dan hizbiyah.” Dia berhujah lagi kepada dirinya, sambil mengangguk-angguk.

           “Woi Hisyam! Anta termenung apa tu?” bisik Effendi kepada rakan yang duduk di sebelahnya.

          “Ustazah Najwa tu….ana rasa kalau dia pakai contact lens tentu lagi comel. Dia pakai cermin mata tu…entahlah…nampak macam nerd. Macam prof lughatul ‘arabiyah kita yang dah senja tu” balas Hisyam yang sejak awal khusyuk memandang Dr. Najwa. Bukan sejak awal kuliah, tetapi sejak awal semester apabila Dr. Najwa ditugaskan mengajar subjek Usuluddin kepada pelajar tahun dua itu.

          “Isyy anta ni! Takde kerja lain ke?”

          “Kerja apa? Nak tulis cerpen memang tak minat. Nak belajar usuluddin ana sedang cari minat. Kalau dengan…” belum sempat habis Effendi sudah menyikunya.

          Sekalipun sahabat baik lagi berkongsi bilik asrama, mereka berdua memiliki perwatakan yang berbeza. Effendi syadid manakala Hisyam pula lebih kurang. Yang pertama bersungguh-sungguh berpegang kepada manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah manakala yang kedua berpegang kepada keseronokan hidup di alam pelajar. Yang pertama berusaha keras menyebarkan manhaj Ahlus Sunnnah manakala yang kedua berusaha keras berbalas SMS dengan sekian banyak rakan di universiti itu. Effendi tak tergamak nak tanya, rakan-rakan itu muslimin atau muslimat? Berminat Tetapi……

          “Jadi macam mana, bolehkah ana beri tugasan kepada antum semua sempena cuti perayaan selama seminggu ini untuk menulis cerpen? Setiap orang satu cerpen?” Dr. Najwa bertanya penuh harapan setelah memberi semangat kepada para pelajarnya menjadikan cerpen sebagai salah satu sarana dakwah dan islah.

          “Hampir setiap media cetak menyediakan ruangan cerpen. Jangan kita biarkannya diisi dengan cerpen yang tidak mengandungi mesej agama. Atau cerpen yang amat rumit lagi complicated sehingga kita tidak faham apa mesej yang cuba disampaikan penulisnya.”

          “Jangan bataskan usaha menyeru orang ramai kepada Islam dan memperbaiki tahap agama umat dengan interaksi secara berhadapan, kuliah, buku dan artikel. Gunakan medium cerpen, novel, puisi dan sajak. Pelbagaikan sarana selagi mana ia halal demi mencapai matlamat yang satu” lanjut Dr. Najwa tidak berputus asa.

          Beliau memang bersemangat tinggi, bersikap positif lagi bermotivasi. Bijak lagi tajam, beliau menamatkan pengajian master dalam masa dua tahun manakala untuk meraih gelaran doktor, beliau menamatkan pengajian PhD dalam masa dua tahun lebih sedikit. Dalam tempoh itu pula, tiga novel siap diterbitkan manakala cerpen-cerpennya di pelbagai media cetak sedang dihimpunnya menjadi buku keempat. Dalam rangka umur lewat dua puluhan, beliau sudah menjadi pensyarah yang diminati oleh para pelajar. Pengetahuan yang luas tentang apa yang diajar, kepelbagaian cara mengajar, motivasi diri yang memberi tenaga kepada pelajar lain dan kejujurannya untuk berkata “Ana tidak tahu, nanti balik ana semak” bila ditanya soalan yang tidak diketahuinya, cepat menjadikan dirinya pusat sumber para pelajar. Namun cepat juga melahirkan perasaan dengki di kalangan para pensyarah yang lain.

          “Tetapi ustazah, kalau nak tulis cerpen…takkan terus-terus tulis. Perlu ada panduan, perlu ada kursus, perlu ada mentor, perlu ada guru” tanya Nadirah yang duduk di baris hadapan sekali.

          “Ya lah. Ustazah dulu ada hadiri mana-mana bengkel penulisan sebelum menceburi bidang ini?” sambut Azlin di sebelah Nadirah tertanya-tanya.

          “Bagus! Minat sudah ada tetapi keyakinan diri masih rendah.”

          “Macam mana nak tingkatkan keyakinan diri?”

          “Mudah saja. Ana akan kongsikan tips-tips menulis cerpen. Alahai! Waktu sudah hendak berakhir” keluh Dr. Najwa sambil memandang jam tangan Seikonya.

          “Lepas ini ada kuliah…program lain, atau boleh kita lanjutkan lima belas minat untuk tips-tips penulisan cerpen?”

          “Takde, tapi jom balik, jom balik” bisik Effendi kepada dirinya. Akan tetapi bisikan itu hampir-hampir tidak didengari oleh telinganya sendiri kerana suara jumhur di bilik kuliah menyahut kuat: “Boleehh!”

M

Tips Menulis Cerpen.

          “Alhamdulillaah” sebut Dr. Najwa sambil terus ke white board, tangannya mencapai white board marker berwarna merah.

          “Ada lima tips asas yang perlu diketahui.”

          “Pertama….”

          Bunyi kertas bergeseran mula kedengaran. Para pelajar bergegas menyediakan kertas untuk menyalin apa yang bakal ditulis oleh Dr. Najwa. Effendi menjeling ke kiri ke kanan. Menyampah.

          “Pertama: Mesej.” Sambil beralih memandang kepada para pelajarnya, Dr. Najwa menjelaskan:

          “Fikirkan, pastikan apa mesej agama yang ingin disampaikan. Banyak mesej yang boleh disampaikan, tauhid, aqidah, akhlak, fiqh dan pelbagai lagi. Semuanya disampaikan dalam bentuk cerita dan drama yang bagi sesetengah pembaca ia lebih memberi kesan berbanding artikel atau buku ilmiah. Satu cerpen satu mesej. Biar satu, biar sikit, asalkan mesej sampai.”

          “Boleh buat cerpen berkenaan kesalahan memakai tangkal, membetulkan salah faham pelaksanaan solat hajat berjamaah, sifat syukur, budaya tawakkal dan sebagainya. Mesej-mesej cerpen yang boleh disampaikan adalah sebanyak bab yang ada dalam Islam. Tak boleh memberi alasan tidak ada mesej yang hendak dicerpenkan.” Melihat kebanyakan pelajarnya mengangguk-angguk, Dr. Najwa mengambil white board marker berwarna biru dan menulis:

          “Kedua: Pelakon dengan watak masing-masing”.

          “Iaitu fikirkan siapakah yang akan menjadi pelakon dalam cerpen antum serta apakah watak yang bakal dimainkan. Guru, ustaz, pelajar, ibubapa, ayah saudara, sepupu dan seterusnya. Setiap mereka memiliki watak tersendiri….panas baran, malas, tegas, pembimbing dan sebagainya.”

          “Apabila membuat cerpen, sebaik-baik ada antara tiga hingga lima pelakon. Jangan ramai-ramai kerana ia akan mengelirukan pembaca. Ingat! Kita ingin jadikan cerpen sebagai sarana dakwah dan islah di mana asas terpenting dalam usaha ini ialah permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.” Sekali lagi penjelasan Dr. Najwa disambut oleh anggukan para pelajarnya.

          “Asas dakwah dan islah itu berdasarkan hadis riwayat siapa?” “Tak pastilah ustazah, biasa dengar sebelum ini…” jawab Azlin yang juga duduk di kerusi paling hadapan. Dr. Najwa mengarahkan pandangannya tepat kepada Effendi. Minat Effendi dalam bidang hadis serta ketekunannya membicarakan hadis diketahui ramai, termasuk oleh Dr. Najwa. Ia adalah salah satu kelebihan Effendi dalam suasana silibus pembelajaran yang tidak sebegitu mementingkan sumber dan darjat hadis.

          “Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya.”

          “Alhamdulillah! Syukran jazilan Effendi. Penulisan cerpen tidak semestinya kering daripada dalil dan hujah. Boleh, bahkan bagus jika ia disertakan, hanya jadikannya dalam bentuk cerita” tambah Dr. Najwa.

          Walaupun bercakap secara umum, dalam hatinya ia ditujukan kepada Effendi. Muhammad Effendi bin Muhammad Shalih lahir dari kalangan keluarga beragama. Akan tetapi agama yang lebih menjurus ke arah tareqat kesufian. Ayah Effendi bersolat sambil menghadap gambar tok guru, kerap membaca zikir yang beralun-alun dan sering menjadikan mimpinya sebagai hujah ke atas ahli keluarga. Sejak dini Effendi kurang selesa dengan pengamalan ayahnya. Namun sekadar kurang selesa. Hatinya meronta tidak setuju tetapi lidahnya diam. Dia tidak mampu menerangkan apa yang salah, apa yang menyeleweng, sebab dirinya tidak memiliki ilmu yang cukup. Kehadiran Effendi di sekolah agama kurang membantu, sehinggalah dia menjejak kaki ke universiti yang didudukinya sekarang. Perpustakaan yang serba lengkap menjadi tempat Effendi beriktikaf apabila sahaja dia memiliki masa lapang. Banyak buku yang dibacanya, banyak dalil yang dihafalnya, banyak hujah yang digarapnya. Walaubagaimanapun tuntutan Islam agar anak menghormati ibubapa menyebabkan Effendi masih tercari-cari ruang yang sesuai untuk menegur ayahnya. Dalam suasana pulang sekali sekala ke kampung, masa yang ada lebih digunakan untuk mengislahkan ibu dan adik-adiknya seramai enam orang. Agaknya faktor kegagalan menegur ayahnya memberi kesan kepada Effendi sehingga dia meluahkannya – dalam bentuk ketegasan – kepada rakan-rakan sekuliah dan seasramanya.

          “Ehh! Menarik juga penulisan cerpen ni ya?” tiba-tiba Hisyam menyapa sambil menegakkan posisi duduknya yang sebelum itu mengesot ke bawah.

          “Ana dah fikirkan dua pelakon dalam cerpen ana. Haa…ana dan Dr. Najwa. Khairul Hisyam dan Dr. Najwa binti Kamaruddin. Mesti best. Hmm…mesejnya…mesejnya…anta ada cadangan?”

          “Ada. Orang yang sakit jiwa boleh dijadikan bahan kajian demi kemaslahatan ilmu perubatan. Dalam cerpen itu Dr. Najwa membawa anta ke fakulti perubatan untuk dijadikan bahan kajian. Macam tikus makmal” sahut Effendi sambil menunjukkan ke bangunan fakulti perubatan yang dapat dilihat dari bilik kuliah mereka.

          “Issy! Anta ni brutallah.…tetapi menarik juga cadangan anta tu” sambut Hisyam sambil bermain dagunya. Tips Ketiga Dan Seterusnya.

          “Ketiga: Suasana atau latarbelakang.”

          “Maksudnya suasana dan latarbelakang untuk kita menempatkan para pelakon dalam tips kedua tadi?” tanya Nadirah.

          “Tepat sekali.”

          “Suasananya satu atau lebih?”

          “Boleh satu atau lebih, tetapi jangan banyak sangat kerana ia akan menyukarkan kefahaman pembaca.”

          “Apa-apapun bolehlah ya ustazah…rumah, sekolah, pejabat, pasaraya, tepi jalan, tepi pantai, bilik kuliah?” tanya Azlin. Sekalipun sudah meraih gelaran doktor, Najwa lebih selesa dengan gelaran ustazah. Bimbang gelaran tertentu secara bawah sedar akan menaikkan ego sehingga menjadikan dirinya angkuh lagi sombong. Bahkan kalau boleh jangan dipanggil ustazah, panggil saja ukhti. Lebih akrab. Namun protokol universiti memestikan para pensyarah dihormati dengan gelaran tertentu.

          “Keempat: Jalan cerita” catat Dr. Najwa dengan white board marker berwarna hijau setelah sebelumnya berwarna hitam.

          “Jalan cerita terbahagi kepada tiga, iaitu permulaan, badan dan penutup. Pastikan permulaan cerpen, iaitu dua tiga perenggan yang pertama adalah menarik supaya ia dapat mengikat para pembaca untuk terus bersama cerpen antum hingga akhir. Jika dua tiga perenggan pertama membosankan atau mengelirukan, para pembaca akan terus menyelak ke mukasurat lain.”

          “Badan atau body merupakan tempat mesej yang difikirkan semasa tips pertama diterjemahkan ke dalam bentuk cerita. Penutup pula ialah kesimpulan dari mesej yang ingin antum sampaikan. Pastikan ia dapat memberi kesan kepada hati atau pemikiran para pembaca.”

          Sementara yang lain mengangguk-angguk, Nadirah mengangkat pen Pilotnya: “Macam mana kita nak capai pembuka yang menarik dan penutup yang memberi kesan?”

          “Petua yang paling berkesan ialah banyakkan membaca cerpen. Sambil membaca perhatikan bagaimana penulisnya menyusun pembuka, badan dan penutup. Selain itu sebelum memulakan penulisan, sediakan kerangka jalan cerita di atas sebuah kertas. Malah catat juga di atas kertas itu mesej, para pelakon, watak dan suasana serta latar belakang. Ini penting supaya ketika menulis, mesej tidak tersasar dan pelakon tidak bertindih watak. Apabila semuanya telah di rangka dengan baik, barulah mulakan penulisan di atas komputer.”

           “Sekali lagi ana tekankan, permudahkan. Jangan jadikan cerpen antum medan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan sastra masing-masing. Susun perkataan, ayat dan jalan cerita agar ia mudah difahami. Dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang hasan, A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. tidak berbicara cepat seperti kalian berbicara. Baginda berbicara dengan perbicaraan yang ada pemisah di antaranya sehingga orang yang mendengar akan dapat menghafalnya.

          “Haa…nampak dah. Syukran jazilan ustazah” jawab Nadirah. Kelihatan di antara semua pelajar, dialah yang paling bersemangat untuk meneroka sesuatu yang baru ini. Diikuti oleh Azlin. Demikianlah kebiasaan dalam satu kumpulan, yang terserlah hanya seorang dua. Sebutir dua berlian di antara butiran kaca yang banyak.

          “Bila nak menulis tu ada petua tertentu?  Seperti menghadap kiblat, ambil wudhu’, bab selawat sekian-sekian, makan kismis…?” giliran Azlin pula bertanya.

          “Setahu ustazah tidak ada anjuran sedemikian dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika tidak ada, ustazah tidak mengamalkannya dan tidak menggalakkan antum mengamalkannya.”

          “Syukran jazilan ustazah.”

          “Ada apa-apa soalan lain? Jika tidak, itulah empat tips penulisan cerpen.”

M

Assalamu’alaikum Ustazah.
          “Assalamu’alaikum ustazah!” tiba-tiba Effendi mengangkat tangannya, ingin bertanya sesuatu.

          Dia memulakannya dengan ucapan salam mengingatkan pesan Rasulullah s.a.w. yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah al-Shahihah, no: 816: “(Ucapkanlah) salam sebelum bertanya. Sesiapa yang bertanya kepada kamu (sesuatu) sebelum mengucapkan salam (terlebih dahulu) maka janganlah kamu menjawab (soalan itu).

          “Wa’alaikumussalam Effendi. Silakan...”

          “Awal tadi ustazah kata ada lima tips. Setakat ini di white board hanya ada empat tips. Apakah yang kelima?”

          “Syukran jazilan Effendi. Sengaja ana nak uji sama ada antum semua terjaga atau terlena, berminat atau bosan untuk mengetahuinya” jawab Dr. Najwa dengan jam Orient di dinding bilik kuliah sudah menunjukkan waktu empat petang.

          “Kelima: Taburkan sedikit garam.”

          “Haa?” beberapa nada tanya kedengaran.

          “Tanpa garam, masakan akan tawar, mendatar. Taburkan sedikit garam, ia menjadi lebih berperisa, lebih sedap. Namun jangan terlebih garam kerana ia akan menjadi masin, tak termakan. Bahkan boleh menyebabkan penyakit darah tinggi.”

          “Maka apabila menulis, tambahkan sedikit adegan sampingan untuk menjadikan cerpen antum lebih menarik. Jika tidak ia akan mendatar dan membosankan. Adegan sampingan itu tidak semestinya memiliki mesej di sebaliknya, ia sekadar mengindahkan apa yang cantik. Umpama garam kepada masakan yang istimewa.”

          “Apa dan bagaimana adegan sampingan itu, ana serahkan kepada daya kreatif antum sekalian.”

          “Syukran jazilan ustazah” balas Effendi. Benarlah kata pepatah arab yang bermaksud “Kejahilan adalah musuh seseorang”.

          Jahil tentang cerpen, Effendi pada awal memusuhinya. Namun setelah mendengar penjelasan Dr. Najwa, sekalipun dengan pendengaran yang bercampur bantahan, Effendi mula minat ke arahnya. Teringin untuk mencuba.

          “Hisyam! Malam ini ana pinjam laptop anta? Ana nak try menulis cerpenlah”

          “Mana boleh. Ana sendiripun dah gian nak menulis ni.”

          “Ana dululah menulis. Anta ingat tak ayah ana yang ana cuba nak tegur tetapi tak tertegur tu?”

          “Ya, ya…?”

          “Ana baru teringat yang dia juga suka membaca cerpen-cerpen di akhbar dan majalah. Ana rasa ada ruang di sini untuk ana menegurnya dalam bentuk penulisan cerpen. Ana tulis, kemudian buat-buat suruh dia semak dan beri komen. Secara tak langsung ana dapat menyampaikan teguran dan nasihat kepadanya.”

          “Anta memang bijak. OK, teruskan. Tetapi esok giliran ana ya!” sokong Hisyam kepada Effendi.