Soalan: 

Bolehkah kita berjumpa bomoh untuk kebaikan, seperti untuk mengubah sikap seseorang itu dari jahat kepada baik.

Farhana, Taiping, Perak.


Jawapan:

Apabila bomoh melaksanakan prosedur-prosedurnya, kita tidak tahu secara jelas apa yang dia lakukan. Kita tidak dapat mendengar secara teliti apa jampi yang dia baca dan apa kalimah yang dia do'akan. Kita juga tidak tahu apa prosedur lanjutan yang dia lakukan selepas kita balik dari berkunjung kepadanua. Justeru bagi menjaga keselamatan aqidah kita, langkah yang terbaik ialah tidak berjumpa dengan bomoh untuk apa jua tujuan kecuali untuk menasihati bomoh agar meninggalkan kerjayanya itu.

Adapun hajat mulia untuk mengubah sikap seseorang, ia dapat dilaksanakan dengan anda sendiri yang berdo'a kepada Allah agar diubah sikapnya ke arah kebaikan. Do'a tersebut seterusnya diterjemahkan dengan tindakan anda sendiri yang menjadi rakan karibnya, sentiasa menasihati dan menegurnya secara ikhlas, hikmah dan bertahap-tahap. Ini dilakukan sekalipun orang itu melakukan pelbagai kejahatan kepada anda, sebagaimana firman Allah:

"Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." [Surah al-Fussilat, ayat 34].