Manusia ialah makhluk yang berkomunikasi. Bahkan jika tanpa komunikasi manusia akan kerap terasa sunyi lagi bosan. Oleh itulah sejak awal manusia telah membuat pelbagai cara komunikasi, dengan masing-masing tamadun memiliki abjad dan bahasa tersendiri. Malah jauh sebelum itu dalam suasana ketiadaan abjad dan kaedah penulisan tertentu, manusia melukis di dinding-dinding gua dan mengukir di atas batu simbol-simbol yang memiliki maksud tertentu (Petroglyphs), semuanya atas sebab untuk berkomunikasi.

          Manusia tidak berasa puas untuk berkomunikasi sesama mereka yang hadir di satu tempat tetapi inginsign_lang.jpg meluaskannya, memanjangkannya kepada rakan, saudara dan kumpulan manusia yang lain. Maka manusia memikirkan cara komunikasi jarak jauh, antara yang masyhur ialah menggunakan burung. Secebis nota diikat di kaki burung merpati dan burung itu kemudiannya “disuruh” terbang kepada orang yang hendak disampaikan nota tersebut.

          Ada juga yang menggunakan api dan asap. Penduduk peribumi Indian benua Amerika Utara misalnya, mereka berkomunikasi dengan asap. Satu kelompok Indian berkomunikasi dengan menyalakan api agar asapnya dapat dilihat oleh kelompok Indian yang lain. Jika api dinyalakan di pertengahan lereng bukit, ertinya semua baik di kelompok itu. Namun jika api dinyalakan di puncak bukit, ertinya ada sesuatu yang tidak baik dan memerlukan perhatian.

          Pada masa kini – alhamdulillah – kita tidak mengukir di dinding atau menyalakan api. Kita memiliki pelbagai sarana komunikasi yang canggih, bahkan terlalu pelbagai sehingga adakalanya seseorang itu terfikir-fikir cara apakah yang hendak dipilihnya. Adakah dengan panggilan talifon, pesanan ringkas (SMS), emel, chat atau rangkaian sosial?

 

Komunikasi Suami-Isteri.

          Sekalipun dengan kepelbagaian sarana komunikasi yang ada pada zaman kita kini, di antara manusia ada yang enggan atau sukar untuk berkomunikasi. Fokus saya terhadap kenyataan ini ditujukan kepada pasangan suami isteri. Sebelum bernikah, komunikasi begitu rancak lagi kerap. Semua sarana komunikasi digunakan, bahkan adakalanya satu mesej yang sama disampaikan melalui dua atau lebih cara komunikasi.

          Akan tetapi sayang sekali, selepas bernikah kadar komunikasi semakin menurun lagi merudum. Padahal sepatutnya selepas bernikah – iaitu apabila hubungan lelaki dan wanita telah dihalalkan oleh agama – komunikasi sepatutnya bersifat rancak lagi kerap. Apatah lagi jika ia melibatkan sesuatu perkara yang tidak disenangi oleh suami mahupun isteri, penting untuk disampaikan apa yang tidak disenangi itu dan berbincang cara mengatasinya. Jangan mendiamkannya kerana lambat-laun ia akan “meletup” menjadi satu pergaduhan. Usah sekadar memaafkannya kerana ia akan terus berulang sehingga kemaafan beralih menjadi persengketaan.

          Di sini suka saya berkongsi sebuah hadis sahih berkenaan komunikasi di antara Rasulullah dan isterinya A’isyah. A’isyah menerangkan pada satu malam baginda keluar dari rumahnya dan ini menyebabkan dia merasa cemburu. Kemudian Rasulullah kembali ke rumah dan mendapati dia sedang dalam keadaan yang cemburu. Lalu baginda bertanya:
          “Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?”

          “Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang sepertimu?”

          Kemudian Rasulullah melanjutkan: “Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”

          “Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?”

          “Ya.”

          “Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?”

          “Ya.”

          (Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?”

          “Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya sehingga aku selamat dari gangguannya.” [Shahih Muslim, no: 2815]

             Dalam kisah di atas, A’isyah tidak menyenangi tindakan Rasulullah keluar pada malam hari. Bahkan A’isyah merasa cemburu kalau-kalau Rasulullah keluar untuk pergi ke rumah isteri baginda yang lain. Sekembalinya ke rumah, Rasulullah dapat mengesan keadaan A’isyah lalu terus berkomunikasi tanpa lengah. A’isyah juga menyambut komunikasi suaminya itu tanpa lengah juga. Melalui saling berkomunikasi tersebut, A’isyah dapat belajar bahawa setiap manusia memiliki syaitan yang mengikutinya dan syaitan inilah yang menyucuk sifat-sifat buruk ke dalam diri seseorang, termasuklah sifat cemburu dan berburuk sangka kepada suami.

          Bayangkan jika Rasulullah dan A’isyah tidak berkomunikasi segera dalam kes di atas. Bayangkan jika sekembalinya ke rumah, Rasulullah meneruskan urusan peribadinya tanpa memberi perhatian kepada air muka dan body languange A’isyah yang sedang cemburu saat itu. Bayangkan jika A’isyah pula yang merajuk seribu bahasa atau cuba memendam perasaan cemburu kepada tindakan Rasulullah. Syaitan akan terus menyucuk A’isyah dengan sifat cemburu dan buruk sangka sehingga akhirnya berlaku pergaduhan di antara beliau dan Rasulullah.

          Oleh itu hadis di atas, selain menerangkan kehadiran dan peranan syaitan bagi setiap manusia, juga menerangkan kepentingan untuk segera berkomunikasi apabila timbul sesuatu yang tidak menyenangkan pada diri suami mahupun isteri.

 

Di Sebalik Kecanggihan Komunikasi Masa Kini.

          Seperti yang saya nyatakan di atas, kita pada zaman ini memiliki pelbagai cara atau sarana komunikasi. Para ahli komunikasi juga telah menulis buku-buku yang mengajar kita cara mengesan komunikasi melalui air muka dan gerak badan (body language). Semua ini dapat membantu kita berkomunikasi dengan syarat kita sendiri ingin berkomunikasi.

          Ketahuilah di sebalik semua kecanggihan dan ilmu ini, ia masih tidak dapat mengeluarkan apa yang terdapat di dalam hati dan fikiran manusia. Manusialah yang perlu mengambil inisiatif untuk menyampaikan – yakni berkomunikasi – apa yang di dalam hati dan fikiran kepada pasangannya. Pada waktu yang sama pasangan perlu memberi perhatian kepada apa yang cuba disampaikan, bahkan lebih baik jika dia mengorak langkah untuk terlebih dahulu berkomunikasi apabila mengesan sesuatu yang tidak kena dengan body languagenya.

          Kesimpulannya, sesama suami-isteri hendaklah belajar berkomunikasi, berani berkomunikasi dan segera berkomunikasi. Jika salah seorang ingin berkomunikasi namun tidak mendapat perhatian daripada pasangannya, maka nyalakanlah asap di tempat yang tinggi. Cara berkomunikasi dengan asap tidak terhad kepada kaum Indian Amerika Utara zaman dahulu sahaja.