Soalan 1: Menghentikan Kehamilan.

          Saya seorang doktor pesakit wanita dan kaunselor perancangan keluarga. Baru-baru ini saya terbaca bahawa hukum memandulkan seseorang adalah haram sementara hukum merancang keluarga (family planning) memiliki beberapa pertimbangan hukum di dalamnya. Bagaimanakah keadaan saya yang sebelum ini pernah menasihati seseorang itu bahawa dia boleh menjalani prosedur memandulkan?

Nazrah.

Jawapan:

          Terdapat beberapa persoalan hukum di sini. Pertama: Hukum melaksanakan perancangan keluarga, maka ia dibolehkan dengan syarat-syaratnya sebagaimana yang telah saya jelaskan sebelum ini. Jemput merujuk ke www.hafizfirdaus.com, ruangan kolum bulanan Pa & Ma, Jan 2010.

          Kedua: Hukum memandulkan seseorang. Jika perancangan keluarga bererti menangguhkan zuriat untuk sementara waktu, memandulkan bererti menghentikan secara kekal kemampuan suami dan/atau isteri untuk menghasilkan zuriat. Hukum memandulkan seseorang dengan apa jua cara disepakati haram hukumnya oleh para ahli fiqh dalam beberapa persidangan mereka pada peringkat dunia. Namun terdapat pengecualian, iaitu apabila prosedur memandulkan terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih berat ke atas ibu dan/atau anak-anaknya.

      Di dalam Islam terdapat kaedah bahawa apabila bertembung antara mudarat kecil (memandulkan) dengan mudarat besar (ibu meninggal dunia kerana kehamilan), maka hendaklah diberi keutamaan pada mengelakkan mudarat yang besar. Apabila bertembung kemasalahatan satu individu (lahirnya seorang bayi) dan kemaslahatan beberapa individu (kehadiran ibu kandung menjaga anak-anaknya), maka hendaklah diutamakan kemaslahatan beberapa individu. Justeru apabila para doktor – seperti yang bertanya di sini – pada kepakaran mereka menjangkakan kemudaratan kepada ibu jika dia terus hamil dan melahirkan, maka dibolehkan untuk melakukan prosedur memandulkan. Ini hukumnya tidak haram, bahkan boleh jadi wajib kerana Islam mewajibkan kita memelihara manusia yang sudah bernyawa.

          Ketiga: Jika seseorang itu pernah menasihati orang lain untuk melakukan persedur memandulkan tanpa kewujudan apa-apa faktor kemudaratan di sebaliknya, maka ia merupakan satu kesalahan. Namun jika kesalahan itu dilakukan dalam suasana tidak tahu dan tidak sengaja, maka Allah adalah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Allah berfirman: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Ahzab 33:05]

          Namun di sini terdapat sesuatu yang dapat diambil iktibar, iaitu hendaklah kita memberi perhatian kepada ilmu-ilmu agama sebagaimana kita memberi perhatian kepada ilmu-ilmu lain. Agak sukar mengharap keampunan dan rahmat Allah jika kita sengaja mengabaikan ilmu-ilmu agama.

 

 

Soalan 2: Antara Ayah dan Suami.

          Ayah saya mahukan saya dan anak-anak tinggal bersamanya disebabkan oleh keadaan ekonomi rumahtangga kami yang kurang baik. Sementara itu suami mahukan saya dan anak-anak tinggal bersamanya untuk sama-sama membantunya meningkatkan ekonomi rumahtangga kami. Saya keliru antara menjaga hati ayah atau hati suami.

Maisarah.

Jawapan:

          Menjaga hati ibubapa dituntut oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1899] Pada waktu yang sama taat kepada suami juga dituntut oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah: “Apabila seorang isteri melaksanakan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu inginkan.” [Musnad Ahmad, no: 1661 dengan sanad hasan]

          Berdasarkan kedua-dua hadis ini dan banyak yang lain, seorang anak yang sudah berkahwin perlu bijak membahagikan perhatian di antara ibubapa dan rumahtangganya. Jika ibubapanya dalam keadaan susah, sakit atau miskin, hendaklah diberikan perhatian yang lebih kepada mereka sementara jika rumahtangga pula yang dalam keadaan seumpama, hendaklah diberi perhatian yang lebih kepadanya.

          Dalam kes di atas, ayah tidak di dalam keadaan yang memerlukan perhatian daripada anaknya, maka perhatian anak hendaklah kepada membantu ekonomi suami dan rumahtangga. Namun perasaan ayah tetap dijaga dengan cara memberikan penjelasan bahawa anda ingin susah sama susah, senang sama senang bersama suami. Jelaskan juga bahawa sikap seorang isteri yang shalihah tidak akan meninggalkan suami apabila dalam keadaan susah dan hanya bersamanya dalam keadaan senang. Saya yakin dengan penjelasan empat mata (face to face) yang menggunakan perkataan yang tepat lagi berhikmah akan dapat memberikan kefahaman kepada ayah. Malah lebih baik jika ayah dapat membantu dengan cara mendoakan agar Allah melapangkan rezeki rumahtangga anda.

 

 

Soalan 3: Suami Culas Solat.

          Saya sudah buntu memikirkan cara terbaik untuk mengajak suami mendirikan solat lima kali sehari. Adakah apa-apa tips yang dapat diberikan dan apakah hukumnya ke atas seorang isteri yang suaminya culas solat?

Jawapan:

          Tidak ada rumahtangga yang sempurna. Setiap satu pasti ada beberapa kekurangan sama ada pada pihak suami atau pada pihak isteri. Solusi yang terbaik ialah setiap pihak memainkan peranan untuk memperbaiki kekurangan tanpa putus asa mahupun merungut kebuntuan.

          Oleh itu tips yang dapat saya berikan ialah (1) berhenti merungut, (2) dirikan solat di mana suami dapat melihat anda, (3) sengaja biarkan buku atau video berkenaan solat di ruang terbuka di rumah, (4) jangan menyuruh tetapi mengajak suami solat, (5) jangan paksa suami menjadi imam ketika solat di rumah dan (6) berdoa kepada Allah agar diberikan kepada anda kekuatan, kesabaran dan hikmah untuk terus mengajak suami mendirikan solat lima kali sehari.