Soalan: 

Saya ingin bertanya, apakah hukum menonton wayang, sebab ada yang berkata ia haram. Jika sudah haram, bolehkah kita menonton melalui VCD/DVD cetak rompak?

Norliza, Kuala Terangganu.

 

Jawapan:

Ada dua perkara yang perlu dibezakan di sini. Pertama ialah hukum menonton wayang (movie), di mana ia sebenarnya adalah harus selagi mana tidak mengandungi aksi-aksi lucah. Apabila hendak menonton wayang melalui VCD/DVD, hendaklah membeli yang tulen kerana edisi cetak rompak merupakan satu bentuk pencurian. 

Perlu diketahui bahawa pihak pembuat wayang (movie) tersebut telah membelanjakan kos yang tinggi disertakan usaha yang banyak untuk menghasilkannya dan mereka seterusnya menjual hasil tersebut kepada orang yang ingin menontonnya. Apabila seseorang itu membeli versi cetak rompak, dia sebenarnya mencuri hasil tersebut dan semua bentuk pencurian akan dipersoalkan oleh Allah pada Hari Akhirat kelak. Justeru hendaklah membeli yang tulen sekalipun untuk wayang (movie) yang dihasilkan oleh pihak bukan Islam kerana Islam melarang kita mencuri dalam apa jua bentuk daripada sesiapa jua, tanpa membezakan agamanya.

Kedua ialah lokasi menonton wayang. Tidak dianjurkan menonton wayang dalam panggung wayang kerana di dalamnya berlaku banyak kemungkaran. Dalam suasana gelap itu ada sebahagian penonton yang berpelukan, bersentuhan dan berciuman padahal mereka bukanlah suami isteri yang sah. Sikap kita terhadap kemungkaran ialah cuba mengubahnya atau paling kurang, membencinya. Rasulullah bersabda:

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya (memberi teguran). Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman. [Shahih Muslim, no: 49] 

Antara tanda kita membenci kemungkaran ialah tidak hadir di dalam tempat yang diketahui berlakunya kemungkaran. Justeru jika hendak menonton wayang, tontonlah di lokasi yang selamat dari kemungkaran seperti di rumah atau bilik asrama melalui TV atau komputer.