Soalan: 

Pada Hari Raya dan hari-hari selepasnya, kita biasa bersalaman dengan mengucapkan “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin”. Saya ingin bertanya, apakah hukum meminta maaf ini?

 

 

Jawapan:

Boleh saja memberikan ucapan sedemikian kerana Islam tidak melarang apa-apa adat kebiasaan masyarakat setempat yang baik. Hanya ada dua perkara yang ingin saya tekankan. Pertama, Islam lebih mengutamakan sifat pemaaf berbanding meminta maaf. Jika dikaji di dalam al-Qur’an, ayat-ayat berkaitan maaf bermaafan semuanya berbentuk “memaafkan”, umpama: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. [al-A’raaf 7:199]

Kedua, seandainya anda melakukan kesalahan pada seseorang, hendaklah meminta maaf sesegera yang boleh. Usah ditunggu pada musim Hari Raya untuk meminta maaf. Cara seperti ini lebih memberi kesan memelihara silaturahim kerana ucapan pada musim Hari Raya kerap kali hanya sekadar ucapan di mulut tanpa kesungguhan di hati.