Soalan:

Apakah nikah mut’ah dan kenapakah ia dikaitkan dengan Syi’ah?

 

 

Jawapan:

 

Terima kasih atas soalan ini. Bagi lebih memahaminya, saya akan menerangkan secara ringkas berkenaan Syi’ah terlebih dahulu. Syi’ah dari sudut bahasa bererti kelompok atau parti. Dari sudut istilah ia bererti sekelompok orang yang menyandarkan diri mereka kepada Hussain bin Ali dengan memiliki aqidah dan hukum fiqh yang tersendiri.

 

Pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, Islam telah berkembang sehingga ke negara Parsi. Apabila kerajaan diraja Parsi berjaya ditumbangkan, sebahagian daripada rakyat Parsi memeluk Islam secara ikhlas sementara sebahagian lagi kekal di dalam agama asal mereka dan membuat perjanjian damai dengan kerajaan Islam. Namun sebahagian yang lain pura-pura memeluk Islam dengan rancangan jahat ingin merosakkan Islam dari dalam.

 

Di antara kerabat diraja Parsi yang ditumbangkan, terdapat seorang puteri yang bernama Syahr Banu. Dia kemudiannya dinikahi oleh Hussain bin Ali bin Abi Thalib (cucu Rasulullah). Orang-orang Parsi yang pura-pura memeluk Islam ingin menjadikan keturunan Hussain dan Puteri Syahr Banu sebagai pemimpin baru mereka. Maka mereka mengangkat keturunan Hussain yang dilahirkan oleh Puteri Syahr Banu sebagai imam-imam mereka, yakni pemimpin-pemimpin mereka. Ini mereka lalukan kerana di dalam keturunan tersebut masih terdapat “darah Parsi” daripada Puteri Syahr Banu.

 

Demikianlah secara ringkas sejarah kemunculan Mazhab Syi’ah. Para pembaca sekalian boleh mendapat maklumat yang lebih lanjut daripada buku saya sebanyak lima siri yang menjawab serta menerangkan kebatilan Mazhab Syi’ah (www.hafizfirdaus.com). Hanya pada kesempatan ini, saya ingin menekankan beberapa fakta penting:

 

  • Mazhab Syi’ah bukanlah seumpama Mazhab asy-Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi. Mazhab Syi’ah memiliki sumber rujukan yang berbeza, sekali gus dengan hukum-hukum agama yang berbeza. Sementara Mazhab asy-Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi memiliki rujukan yang sama yakni al-Qur’an dan al-Sunnah. Hanya mereka berbeza pendapat dalam memahaminya.
  • Mazhab Syi’ah disepakati kesesatannya daripada Islam dengan sebahagian daripada aliran-aliran yang terdapat di dalamnya mendekati hukum kafir.
  • Pasangan-pasangan hendaklah menyemak latarbelakang agama calon mereka, baik suami mahupun isteri. Jika dia dari Mazhab Syi’ah atau cenderung kepada Mazhab Syi’ah, hendaklah berpisah daripadanya. Usah memberi nasihat atau cuba berdialog kerana kerap kali pemberi nasihat yang akhirnya akan terpengaruh dengan dakyah Syi’ah.

 

 

Kembali kepada persoalan Nikah Mut’ah, ia merupakan salah satu ciri khusus perkahwinan dalam Mazhab Syi’ah. Nikah Mut’ah bererti seorang lelaki menikahi seorang wanita dengan perjanjian tempoh waktu tertentu umpama sebulan, setahun dan sebagainya. Apabila tempoh itu tiba, berlaku perceraian secara terus (automatic) tanpa pihak isteri mahupun anak-anak mendapat apa-apa nafkah mahu pun harta warisan. Dalam erti kata mudah, Nikah Mut’ah adalah Nikah Kontrak.

 

Pada zaman awal Islam, Rasulullah membenarkah Nikah Mut’ah kerana ia merupakan satu kebiasaan masyarakat ketika itu. Baginda merancang untuk mengharamkan Nikah Mut’ah ini secara berperingkat-peringkat, agar tidak menjadi satu kejutan budaya bagi umat Islam yang masih “muda” ketika itu. Dengan berlalunya masa, Nikah Mut’ah mula diharamkan kecuali apabila darurat, seperti pada saat peperangan. Akhirnya di penghujung hayat Rasulullah, baginda mengharamkan Nikah Mut’ah secara keseluruhan, baik dalam keadaan selamat mahupun darurat.

 

Justeru hukum muktamad Nikah Mut’ah adalah haram dan inilah yang menjadi pegangan para sahabat dan tokoh-tokoh ilmuan Islam dari semua Mazhab baik asy-Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi. 

 

Jika ditinjau dari sudut etika dan kemuliaan, Nikah Mut’ah adalah satu bentuk zina dan penghinaan ke atas kaum wanita. Sejak awal bernikah, suami telah menyatakan bahawa “Aku menikahi fulanah binti fulan selama tiga bulan”. Sepanjang tempoh tersebut, suami dan isteri hidup dalam keadaan tidak komited kepada masing-masing kerana mereka mengetahui ia hanya untuk sementara waktu. Apa yang dilakukan hanya berseronok-seronok berhubungan seks. Jika isteri hamil atau mendapat anak, semuanya itu adalah di atas urusan isteri sebaik sahaja kontrak perkahwinan mereka selesai.

 

Di sini dapat dilihat bahawa Nikah Mut’ah menyelisihi roh Islam secara umum mahupun objektif perkahwinan secara khusus. Ia juga tidak akan diterima oleh sesiapa yang berakal sihat lagi matang.