Kali ini saya ingin menyentuh tentang poligami. Bukan hukumnya mahupun suka-duka poligami, akan tetapi tentang sebuah hadis yang kerap digunakan sebagai hujah untuk menolak poligami. Hadis yang saya maksudkan merujuk kepada tindakan Ali bin Abi Thalib – semoga Allah meredahinya – yang melamar puteri Abu Jahal sebagai isteri keduanya, dengan memadukan Fathimah binti Muhammad, semoga Allah meredhainya juga.

Apabila hajat Ali untuk berpoligami ini sampai kepada Rasulullah, baginda melarangnya. Ini boleh dilihat dalam hadis berikut:

al-Miswar bin Makhramah berkata: Sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadukan Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah baligh. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku. Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3110 (Kitab Fard al-Khumus, Bab berkenaan baju besi Nabi, tongkat, pedang…)]

poligami_cartoon.jpg 

Hadis ini diriwayatkan juga dalam beberapa lafaz yang lain, semuanya memberi pengertian bahawa Rasulullah melarang Ali bin Abi Thalib daripada berpoligami.

 

Hujah Menolak Poligami

Hadis di atas menjadi hujah yang masyhur di kalangan mereka yang menolak poligami dari syari’at Islam. Antaranya, memandangkan peristiwa yang dirujuk dalam hadis tersebut berlaku pada penghujung hayat Rasulullah, maka mereka berhujah bahawa poligami hanya dibolehkan pada zaman awal Islam. Lebih lanjut, mereka berhujah bahawa poligami adalah sesuatu yang berlaku secara bebas pada zaman sebelum Islam. Lalu Islam datang untuk membataskannya kepada empat isteri dan mensyaratkan keadilan. Kemudian berdasarkan hadis di atas, Islam melarang poligami. Justeru poligami dilarang secara bertahap-tahap dan hukumnya yang muktamad ialah ia dilarang.

Hujah lain, mereka mengatakan kebolehan suami berpoligami bergantung kepada kesediaan isteri pertama untuk dimadu. Mereka berdalilkan hadis di atas, konon Fathimah menghadapi kecemburuan amat berat sehingga boleh menjadi fitnah ke atas agamanya. Lalu Rasulullah melarang Ali dari berpoligami.

 

Kisah Yang Sebenar.

Mereka yang berhujah seumpama di atas, tidak ubah seperti orang yang enggan solat yang apabila ditanya: “Kenapa enggan solat?”, mereka berhujah: “Dalil saya ialah ayat al-Qur’an – ‘Maka celakalah orang-orang yang solat’ [al-Maun 107:04]” Mereka berhujah dengan sebahagian ayat dan menyembunyikan sebahagian yang lain. Mereka berhujah dengan sebahagian hadis dan menyembunyikan sebahagian yang lain.

Kembali kepada hadis di atas, jika dirujuk kepada keseluruhan hadis akan ditemui pada penghujungnya bahawa Rasulullah bersabda: 

Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya. [Shahih al-Bukhari, no: 3110 (Kitab Fard al-Khumus, Bab berkenaan baju besi Nabi, tongkat, pedang…)]

Berdasarkan penghujung hadis ini dapat dirumuskan tiga hujah penting:

 

Pertama, larangan Rasulullah ke atas Ali bin Abi Thalib tidak bererti mengharamkan poligami. Ini berdasarkan sabda baginda: Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram. Justeru hukum poligami yang muktamad ialah ia tetap halal bagi mereka yang layak dan hukum ini kekal berterusan sehingga Hari Kiamat.

 

Kedua, larangan Rasulullah tidak ada kaitan dengan kecemburuan Fathimah. Kecemburuan ialah naluri fitrah seorang isteri dan ini sudah sedia diambil kira oleh Allah yang mencipta wanita dan yang mensyari’atkan poligami. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah – penghulu segala wanita – cemburu sebegitu berat sampai-sampai terfitnah agamanya jika dimadu. 

Selain itu, Rasulullah sendiri berpoligami dan wujud kecemburuan di antara isteri-isteri baginda. Namun baginda tidak menjadikannya hujah untuk tidak berpoligami. Maka merupakan satu double standard yang buruk apabila dianggap Rasulullah melarang anaknya berpoligami kerana kecemburuan sementara baginda sendiri berpoligami dan membiarkan kecemburuan di antara isteri-isterinya. Melainkan, kecemburuan bukanlah hujah untuk melarang poligami.

 

Ketiga, larangan Rasulullah tidak ada kaitan dengan poligami, tetapi berkaitan dengan puteri Rasul Allah bersatu dengan puteri musuh Allah. Ini jelas berdasarkan sumpah baginda: Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya. 

 

Jangan Mengubah Hukum Agama

Bagi mereka yang sujud kepada pemikiran Liberal, hendaklah kalian beralih dan sujud kepada Allah yang mencipta manusia dan yang mensyari’atkan apa yang terbaik bagi manusia. Bagi mereka yang berat untuk dimadu, katakan saja “Saya belum mampu menerima poligami”. Usah mengubah hukum Allah dan mencari-cari dalil yang kelihatan selari dengan kehendak diri sendiri.