Mutiara Doa

 

Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat 
dan peliharalah kami dari azab Neraka.

 

 

Beberapa pengajaran doa:

  • Ketika melaksanakan ibadah Haji, ada di antara umat Islam yang hanya mendoakan kebaikan urusan dunia mereka sahaja. Selain itu ada yang berdoa dengan doa di atas, lalu doa inilah yang dinyatakan betul lagi baik oleh Allah. Allah berfirman kepada mereka yang berdoa dengan doa di atas: Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitungan-Nya. [al-Baqarah 2:202]
  • Kerap kali apabila berdoa, kita hanya meminta apa yang berkaitan dengan dunia seperti lulus peperiksaan, mendapat kerja yang baik, mendapat pasangan hidup (suami) yang shalih dan cepat kaya. Amat sedikit yang berdoa tentang kebaikan di Hari Akhirat.
  • Pada waktu yang sama, ada juga yang hanya meminta apa yang berkaitan dengan Akhirat seperti pahala dan syurga sambil mengabai atau memandang remeh kehidupan di dunia.
  • Doa ini mengajar kita bahawa sikap yang benar ialah mendoakan kebaikan kedua-dua dunia dan akhirat.
  • Doa yang umum tetapi ringkas ini sesuai dibaca pada bila-bila masa dan ia merupakan sebaik-baik doa apabila kita sendiri kadang-kala tidak tahu apa hendak berdoa kepada Allah.