Soalan:

Adakah benar makanan yang tidak halal (seperti ayam yang tidak disembelih mengikut syariat) boleh membuatkan hati kita gelap. Adakah kita sebagai pengguna, walau pun tanpa pengetahuan, turut sama berdosa kerana tidak tahu?

Maryam, Sepang, Selangor.

 

Jawapan:

Makanan yang tidak halal terbahagi kepada tiga kategori. Pertama: Apa yang kita ketahui secara zahir adalah halal, seperti makanan yang dijual oleh restoran Muslim. Kita tidak dituntut untuk menyemak status para pembekal kepada restoran itu sama ada mereka menepati syarat-syarat halal atau tidak. 

Dalam kategori ini, seandainya ada makanan yang tidak halal dalam restoran itu, kita sebagai pengguna tidak berdosa kerana ia bukan sesuatu yang disengajakan. Allah berfirman: Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]

Kedua: Apa yang diketahui sebagai tidak halal secara jelas, namun pada saat itu kita berada dalam keadaan darurat sehingga terpaksa memakannya. Maksud darurat ialah suasana yang mengancam nyawa dan anggota (life and death situation). 

Dalam kategori ini, kita sebagai pengguna tidak berdosa untuk memakan sekadar yang perlu kerana suasana darurat tersebut menghalalkan apa yang haram. Allah berfirman: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Baqarah 2:173]

Ketiga: Apa yang diketahui secara jelas adalah tidak halal, namun ia tetap sengaja dimakan. Sengaja memakan apa yang tidak halal adalah perbuatan dosa dan semua perbuatan dosa – tanpa terhad kepada makanan tidak halal – akan menggelapkan hati seseorang. Semakin kerap seseorang itu sengaja melakukan dosa, semakin gelaplah hatinya. Semakin gelap hati seseorang, semakin dia terhijab dari Islam yang sebenar. Semakin jauh dari Islam yang sebenar, semakin rosaklah akhlak orang tersebut.

Rasulullah bersabda berkenaan dosa dan hati: Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya. Jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih. Namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang di sebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”(al-Mutaffifin 83:14) [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 4244]