Dalam Ayatul Kursi yang lazim kita baca, terdapat sepotong ayat yang bermaksud …dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Potongan ayat yang pendek ini memiliki pengajaran yang sangat besar dan inilah yang ingin saya tarik perhatian para pembaca sekalian pada bulan ini. 

degree_scroll.jpeg

Dewasa ini, ilmu pengetahuan manusia sangat berkembang luas lagi maju. Pelbagai teknologi canggih dalam bidang perubatan, kejuruteraan, pengangkutan, ketenteraan dan komunikasi tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan sesuatu yang baru. Ambil saja contoh bidang komunikasi, banyak cara untuk kita berkomunikasi sekarang ini sehingga adakalanya kita menjadi keliru cara apakah yang hendak digunakan.

 

Dalam keghairahan kita berinteraksi dengan ilmu-ilmu ini, kita sering lupa dari manakah asalnya ilmu tersebut dan siapakah yang memberinya. Malah bukan sahaja dalam ilmu keduniaan, ilmu agama juga termasuk dalam kategori ini. Dalam kesungguhan kita menuntut ilmu agama, mendapatkan kelulusan tinggi ke tahap kedoktoran (PhD) dan menyampaikannya, kita juga adakalanya lupa sumber ilmu tersebut dan siapakah yang mengurniakannya.

 

Beberapa Contoh Para Anbiya’.

Apabila kita merenung kisah-kisah para Nabi dan Rasul di dalam al-Qur’an, akan ditemui beberapa contoh di mana mereka memiliki ilmu yang tinggi lagi khusus. Namun ciri istimewa para anbiya’ ini adalah, mereka sedar dari manakah ilmu itu bersumber dan siapakah yang sebenarnya menganugerahkannya kepada mereka.

 

Perhatikan Nabi Yusuf yang pandai mentakwil atau mentafsirkan mimpi, terhadap ilmu ini beliau berkata: Yang demikian itu adalah sebagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. [Yusuf 12:37] Perhatikan juga pengakuan Nabi Sulaiman yang pandai memahami komunikasi di antara burung-burung, beliau berkata: Wahai manusia, kami telah diberi ilmu tentang komunikasi burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurniaan yang nyata (daripada Allah). [al-Naml 27:16]

 

Dalam dua contoh di atas, Nabi Yusuf dan Nabi Sulaiman menyandarkan kepandaian dan ilmu yang mereka miliki dalam bidang masing-masing kepada Allah. Mereka mengetahui bahawa ilmu tersebut adalah daripada Allah dan Allah memberikannya kepada sesiapa yang dipilih-Nya. Mereka benar-benar beriman bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.

 

 

Beberapa Contoh Lain.

Dalam surah al-Rahman yang biasa kita baca, Allah berfirman yang bermaksud: Al-Rahman, Yang telah mengajarkan Al Qur'an. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara. [al-Rahman 55:1-4] Ya, hari-hari kita berbicara dan berkomunikasi sama ada melalui lisan atau selainnya, namun berapa ramai di antara kita yang sedar serta ingat bahawa ia adalah salah satu ilmu Allah yang Allah ajarkan kepada kita.

 

Ilmu yang Allah kurniakan kepada kita, yang Allah ajarkan kepada kita, tidak terhad kepada komunikasi saja tetapi meluas kepada pelbagai bidang yang lain seperti agama, perubatan, kejuruteraan, pengangkutan dan ketenteraan. Pelbagai ilmu pengetahuan dan teknologi yang kita ada pada masa kini, satu masa yang lalu kita tidak memilikinya dan tidak mengetahui tentangnya. Namun Allah mengajarkan kita apa yang pada mulanya kita tidak tahu. Inilah yang Allah nyatakan dalam wahyu-Nya yang terawal kepada Rasulullah: Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. [al-‘Alaq 96:05]

 

 

Allah al-‘Alim

Salah satu nama Allah ialah al-‘Alim – yang Maha Mengetahui. Berdasarkan nama al-‘Alim ini, kita beriman bahawa ilmu Allah meliputi segala sesuatu, yang sudah berlaku dan akan berlaku, yang nyata dan tersembunyi. Berdasarkan nama ini juga, kita beriman bahawa segala ilmu adalah milik Allah dan Allah memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagaimana firman-Nya: dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.

 

Di sini terdapat beberapa pengajaran penting.

 

Pertama: Sesiapa yang inginkan ilmu, hendaklah dia memintanya daripada Allah. Membaca buku, menghadiri kuliah, menduduki peperiksaan dan membuat latihan praktikal hanyalah sarana dan sebab sementara hasilnya terserah kepada Allah. Allah memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, menahannya daripada sesiapa yang dikehendakinya. Perhatikan bagaimana dua orang yang menduduki kursus yang sama di pusat pengajian yang sama bersama pensyarah yang sama, namun menghasilkan tahap kejayaan yang berbeza. 

Oleh itu dalam rangka kita menuntut ilmu dan ingin menjadi orang yang bijak, baik dalam bidang agama atau selainnya, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah, berharap kepada-Nya dan bertawakkal kepada-Nya.  Nescaya Allah tidak akan mengecewakan kita.

 

Kedua: Apabila kita sudah mencapai sesuatu ilmu, seperti melalui sijil pengajian atau mendapat gelaran tokoh ilmu, jangan pula kita merasa bangga, angkuh dan merasakan ia adalah dari jerih payah diri sendiri, kehandalan diri sendiri. Sebaliknya segeralah menyandarkannya kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya. Menyandarkannya kepada Allah membuktikan kebenaran aqidah bahawa ilmu hanyalah daripada Allah sementara mensyukurinya membuka jalan penambahan ilmu daripada Allah.