Soalan: 

Apakah boleh dipercayai bahawa manusia memiliki indera keenam atau sixth sense?

Agustina, Puchong, Selangor.

 

Jawapan:

Sixth sense adalah kemampuan untuk mengesan atau mengetahui sesuatu perkara yang tidak dapat dikesan oleh indera penglihatan, pendengaran, bau, rasa (lidah) dan sentuhan. Dalam Islam, sixth sense ini disebut sebagai firasat. Dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa: Takutlah pada firasat orang mu`min karena sesungguhnya ia melihat dengan cahaya Allah. [Sunan al-Tirmizi, no: 3052]

Riwayat hadis di atas sekali pun lemah, maksudnya adalah benar. Ini kerana Allah boleh saja memberikan firasat kepada mana-mana hamba-Nya yang terpilih, khususnya mereka yang berilmu dan mempraktikkan ilmunya. Dalam erti kata lain, jika seseorang itu memiliki firasat maka itu adalah anugerah Allah dan bukannya atas kehebatan dirinya sendiri.

Firasat ini Allah berikan dengan memasukkan terus ke dalam hati seseorang dan ini disebut sebagai ilham dan kasyaf. Boleh juga melalui lintasan hati yang dibisikkan oleh malaikat. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (yakni manusia) ada sentuhan syaitan dan sentuhan malaikat. Ada pun sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran. 

Maka sesiapa yang merasai sentuhan kebaikan, ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah (melalui perantaraan malaikat) dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah). Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada syaitan (dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan). [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2988]

Boleh juga melalui mimpi sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah: Mimpi itu ada tiga macam: (1) Mimpi yang baik sebagai kabar gembira dari Allah. (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan, datangnya dari syetan. (3) dan mimpi yang timbul karena ilusi angan-angan, atau khayal seseorang. [Shahih Muslim, no: 4200]

Apa yang penting adalah, apabila seseorang itu merasakan dirinya memiliki firasat, hendaklah dia mengukurnya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini kerana kerap kali yang diperolehi oleh seseorang muslim bukanlah ilham, kasyaf, bisikan dan mimpi daripada Allah tetapi daripada syaitan. Justeru sebagai contoh, jika seseorang itu berfirasat bahawa si fulan adalah pencuri, hendaklah dia membuktikannya dengan persaksian orang-orang yang jujur. Jika tiada saksi, hendaklah dia mengabaikannya dan tidak berburuk sangka bahawa si fulan adalah pencuri.