Soalan:

Dalam surah al-Waqi’ah ayat 17, dinyatakan bahawa anak-anak kekal muda di dalam syurga. Adakah ia bermaksud kanak-kanak yang dikekalkan itu adalah anak kepada kaum Muslimin yang meninggal dunia pada usia muda?

Zaharah Zain, Tanjung Karang. Selangor.

 

Jawapan:

Anak-anak muda yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah bidadara syurga. Antara anugerah syurga ialah kehadiran bidadara dan bidadari yang memberikan layanan terbaik kepada warga syurga. Mereka ini berada pada umur yang muda, tidak seperti kanak-kanak dan tidak seperti orang tua. Firman Allah berkenaan ayat 17-18 surah al-Waqi’ah: 

Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

Ada pun anak-anak yang meninggal dunia pada usia muda, saya tidak mengetahui adanya ayat al-Qur’an atau hadis yang menerangkan berkenaan umur mereka di akhirat kelak. Apa yang jelas, tidak ada warga syurga yang berumur tua ketika dalam syurga. Semuanya berumur muda sebagaimana jelas Rasulullah (Mukhtasar al-Syamail al-Muhammadiyyah, hadis no: 205).