Soalan 1: Gangguan Makhluk Halus

Saya ada menjalani perubatan secara Islam dan menurut perawat, penyakit saya disebabkan ada gangguan makhluk halus. Surah-surah tertentu diberi untuk diamalkan sebagai merawat sakit dan menghalau gangguan tersebut. Persoalannya, adakah saya berdosa sekiranya percaya dengan kata-kata perawat itu kerana apa yang saya fahami tiada sesiapa di dunia ini boleh mengetahui perkara ghaib kecuali Allah.

 

Jawapan:

Terdapat beberapa jenis penyakit dan faktor penyebabnya. Pertama, ia adalah penyakit fizikal yang disebabkan oleh organ badan yang tidak berfungsi dengan betul, kecederaan atau serangan virus/bakteria dari luar. Kedua, ia adalah penyakit rohani yang disebabkan oleh tekanan hidup (stress) sehingga ia memberi kesan fizikal, lalu menyebabkan penyakit fizikal. Ketiga, ia adalah penyakit yang disebabkan oleh gangguan makhlus halus. Keempat, ia adalah penyakit yang disebabkan oleh faktor pertama dan kedua di atas. Namun apabila pesakit asyik merungut dan lupa kepada Allah dalam keadaan sakit tersebut, maka makhluk halus mengambil kesempatan untuk mengganggunya. 

Di antara empat jenis penyakit di atas dan faktor penyebabnya, jenis pertama, kedua dan keempat adalah yang paling kerap berlaku. Jenis ketiga boleh berlaku, namun ia tersangat jarang. Seorang perawat yang menjalani perubatan cara Islam akan terlebih dahulu menilai kemungkinan jenis pertama, kedua dan keempat. Beliau hanya akan beralih ke jenis ketiga jika telah dipastikan dan dipastikan sekali lagi bahawa ia bukan jenis pertama, kedua dan keempat.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak ada salahnya jika perawat tersebut telah memastikan anda tidak menghadapi penyakit jenis pertama, kedua dan keempat. Rawatan seperti ini tidak termasuk dalam urusan ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Hanya anda hendaklah berhati-hati kerana pada masa kini terdapat banyak perawat atau pengamal perubatan Islam yang tidak Islamik. Mereka dengan mudah akan mengatakan anda diganggu oleh makhluk halus (jenis ketiga) kerana sebab-sebab ekonomi diri mereka sendiri.

Ambillah iktibar daripada ayat berikut. Allah mengkhabarkan sikap pendita dan agamawan Ahli Kitab agar kita berhati-hati ia tidak berlaku kepada sesama umat Islam: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. [al-Taubah 9:34]

 

 

 


 Soalan 2: Melukis Di Muka.

Apakah hukum mengecat wajah anak-anak (face painting) dengan lukisan gambar haiwan atau karektor kartun? Saya lihat ia semakin menjadi trend dalam sambutan ulang tahun hari lahir dan sebagainya?

 

Jawapan:

Melukis makhluk hidup, sama ada manusia atau haiwan, sama ada penuh atau sebahagian, dilarang tegas oleh Islam. Rasulullah bersabda: Orang yang paling pedih siksaannya pada hari kiamat kelak adalah orang yang suka menggambar (sama ada melukis atau membuat patung).” [Shahih Muslim, no: 3944/2109]. 

Dalam sebuah hadis yang lain Abdullah ibn Abbas menerangkan, bahawa Rasulullah bersabda: Setiap orang yang suka menggambar (melukis atau membuuat patung) akan masuk neraka. Allah akan menjadikan baginya, dengan setiap gambar yang dibuat, sosok yang akan menyiksanya di neraka Jahanam kelak. Abdullah ibn Abbas melanjutkan: Jika kamu tetap perlu melakukannya, maka buatlah gambar pepohonan atau benda lain yang tak bernyawa. [Shahih Muslim, no: 3945/2110] 

Pun begitu, tidak mengapa jika lukisan tersebut adalah untuk mainan kanak-kanak. Ini merujuk kepada kes patung di mana Islam melarang membuat dan meyimpan patung makhluk hidup di dalam rumah. Namun pengecualian diberikan kepada patung mainan kanak-kanak. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 5665/6130, A’isyah menerangkan: Aku pernah bermain bersama anak-anak perempuanku (patung/dolls) dekat Nabi dan aku juga mempunyai teman-teman yang biasa bermain denganku. Apabila Rasulullah masuk, mereka bersembunyi daripada baginda, sehingga baginda memanggil mereka supaya kembali bermain bersamaku.

Oleh itu boleh mengecat wajah anak-anak (face painting) dengan lukisan gambar haiwan atau karektor kartun.

 

 


Soalan 3: Lewat Mengazankan Bayi.

Apakah hukum sekiranya tidak mengazan atau mengqamatkan pada hari pertama bayi dilahirkan, sebaliknya dilakukan pada hari kedua dan seterusnya?

 

Jawapan:

Pertama sekali hendaklah diketahui bahawa tidak ada hadis sahih dalam bab ini. Hadis masyhur yang menyebutkan bahawa: Aku melihat Rasulullah mengumandangkan adzan (sepertimana azan untuk solat) pada telinga Hasan bin Ali saat beliau dilahirkan oleh Fatimah adalah lemah [Dha’if Sunan al-Tirmizi, no: 1436/1514, Musnad Ahmad, no: 22749/23869].

Pun begitu, tidak mengapa jika hendak mengamalkan hadis ini. Akan tetapi perhatikan bahawa azan dan iqamat tersebut adalah pada saat bayi dilahirkan, bukan sehari dua kemudian. Jika tidak sempat untuk azan dan iqamat pada saat dilahirkan, maka tidaklah mengapa kerana amalan ini bukanlah sunnah yang sabit di sisi Rasulullah.