hantaran.jpeg

Agak kerap kita mendengar rungutan daripada anak-anak muda bahawa mereka ingin berkahwin tetapi dilarang oleh ibubapa. Larangan ini kemudiannya mengundang pelbagai masalah lain dalam keluarga tersebut seperti pergaduhan, kahwin lari, anak luar nikah dan permusuhan jangka panjang antara anak dan ibubapa. Semua ini akhirnya menyebabkan ibubapa menanggung malu dan kesedihan sementara anak-anak hidup dalam suasana tertekan dan kurang harmonis.

Wahai ibubapa sekalian, sedarilah bahawa perkahwinan bukan sekadar kehendak dan pilihan anak-anak, akan tetapi merupakan sebahagian daripda tanggungjawab kalian sebagai ibubapa. Ini sebagaimana yang telah dikupas sebelum ini, berdasarkan firman Allah kepada ibubapa sekalian: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu. [al-Nur 24:32]

Saya sendiri sebagai seorang bapa faham pertimbangan di fikiran ibubapa yang lain dalam bab perkahwinan anak-anak. Ia turut bermain di fikiran saya juga. Berikut saya kemukakan beberapa pertimbangan yang lazim bermain di fikiran ibubapa (termasuk saya) dan nasihat saya mengenainya.

 

Pertimbangan Akhlak:

Kami (ibubapa) tidak suka dengan akhlak calon pasangan yang diperkenalkan oleh anak kami. Kami tidak mahu mendapat menantu seperti itu.

Nasihat saya, Pertimbangan akhlak memang sesuatu yang penting, namun mengharapkan akhlak yang mulia lagi sempurna daripada bakal menantu adalah sesuatu yang sukar pada masa kini. Ini kerana kebanyakan ibubapa – bahkan mungkin termasuk diri kita sendiri – yang mengabaikan pendidikan dan contoh akhlak yang baik kepada anak-anak.  

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa ialah memberi nasihat dan teguran kepada bakal menantu agar dia mengetahui apa dan di mana salah silap akhlaknya. Ukuran akhlak yang baik juga adalah berdasarkan tunjuk ajar Islam, yakni daripada Rasulullah. Ini kerana Allah telah berfirman: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). [al-Ahzaab 33:21]

Oleh itu sebagai contoh, akhlak masyarakat Barat mungkin mengajar untuk makan dengan tangan kiri, namun akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah ialah makan dengan tangan kanan, meskipun makan dengan menggunakan garpu dan pisau.

 

Pertimbangan Agama:

Kami tidak seberapa gemar dengan bakal menantu yang terlalu “beragama”. Kami inginkan menantu yang moden lagi selari dengan zaman terkini.

Nasihat saya, Agama Islam bukan sekadar agama ritual ibadah, akan tetapi ia adalah agama yang menyusun kehidupan seseorang itu. Mendapatkan calon menantu yang bagus agamanya adalah penting kerana ia salah satu cara bagi menjamin anak kita hidup dalam keadaan yang terpelihara. Lebih dari itu, hendaklah disedari bahawa bahagia atau tidak, harmonis atau tidak sesebuah rumahtangga bergantung kepada Allah. Allah akan menaburi Rahmat-Nya (kasih sayang), Hidayah-Nya dan Rezeki-Nya kepada pasangan suami isteri yang sejak awal menghayati agama-Nya.

 Oleh kerana itulah Rasulullah pernah berpesan: “Jika seseorang datang melamar (anak perempuan) kalian, sedang kalian redha pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak kalian lakukan, niscaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan.” Para shahabat bertanya: “Meskipun dia tidak kaya?”  Baginda menjawab dengan bersabda: “Jika seseorang datang melamar (anak perempuan) kalian, sedangkan kalian ridha pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia.” Baginda mengulanginya tiga kali. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1085]

Ketika para sahabat bertanya kepada Rasulullah berkenaan harta yang boleh diambil dan dimiliki, baginda tidak menjawab seperti yang kita sangkakan, iaitu emas dan perak. Namun baginda menjawab: Hendaknya salah seorang dari kalian menjadikan hati yang bersyukur, lisan yang berdzikir dan isteri beriman (mukminat) yang menolong salah seorang dari kalian dalam urusan akhiratnya. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 1505]

Oleh itu sebagai ibubapa, kadar penghayatan agama bakal menantu adalah satu faktor pertimbangan yang penting. Agama yang dimaksudkan di sini bukan sekadar solat dan puasa, tetapi ilmunya, kefahamannya, aqidahnya, akhlaknya dan keprihatinannya kepada isu-isu umat Islam.

 

Pertimbangan Kematangan:

Anak kami dan pasangan pilihannya masih belajar di Pusat Pengajian Tinggi. Biarlah mereka habis belajar terlebih dahulu dan memperoleh kematangan yang lebih sebelum berkahwin.

Nasihat saya, Belajar ialah satu proses yang berterusan. Tidak ada istilah “habis belajar” bagi orang-orang yang mengejar kecemerlangan dunia dan akhirat. Adapun kematangan, seseorang itu tidak akan memperoleh kematangan sehinggalah dia menceburi dan meniti cabaran-cabaran kehidupan. 

Oleh itu boleh saja berkahwin ketika sedang belajar, bahkan mungkin saja perkahwinan itu dapat membantu pembelajaran mereka. Kematangan pula diperolehi apabila meniti cabaran-cabaran kehidupan rumahtangga, tentu saja dengan sokongan, nasihat dan kefahaman ibubapa yang dicintai.

 

Pertimbangan Kewangan:

Kami syaratkan menantu lelaki sudah bekerja, memiliki rumah, kereta dan memberikan wang hantaran kahwin sebanyak RM30,000.

Nasihat saya, Ya, boleh berikan syarat-syarat tersebut. Bahkan boleh menambah lebih dari itu. Akan tetapi semua ini dengan syarat, ibubapa yang menyediakannya. Ya, ibubapalah yang menyediakan kerjaya, rumah, kereta dan belanja perkahwinan sebanyak RM30,000.

Ini kerana perkahwinan anak-anak merupakan tanggungjawab ibubapa berdasarkan perintah Allah dalam ayat 32 surah al-Nisa’ yang saya kemukakan di awal kolum ini. (Rujuk juga kolum lepas berjudul “Wahai Ibubapa…”). Justeru apa-apa syarat yang menjadi penghantar (sarana) kepada perkahwinan tersebut, maka ia berada di atas tanggungjawab ibubapa juga. Jika ibubapa sendiri tidak mampu atau tidak sanggup melakukan sedemikian, maka kenapa pula dibebankan syarat-syarat tersebut ke atas bakal menantu?

Kepada semua ibubapa sekalian, nasihat saya ialah, jangan menjual anak dengan mensyaratkan sekian-sekian wang hantaran kahwin dan lain-lain beban kewangan. Nikahkanlah anak-anak kalian berdasarkan kadar kemampuan masing-masing. Anda sendiri, sebagai ibubapa, yang mengeluarkan belanja perkahwinan tanpa meminta apa-apa daripada pihak bakal menantu. 

Rasulullah menasihatkan: Sesungguhnya di antara kebaikan wanita ialah mudah untuk meminangnya, mudah sedekahnya (mahar dan lain-lain belanja perkahwinan) dan mudah rahimnya (mudah untuk melahirkan anak demi anak). [Musnad Ahmad, no: 24478 dengan sanad hasan] Dalam sebuah hadis yang lain baginda menasihati: Sebak-baik pernikahan ialah yang paling mudah. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2117]

Justeru permudahkan urusan pernikahan anak-anak, khasnya dalam bab kewangan. Seandainya anak-anak ada sedikit kemampuan kewangan, maka biarlah mereka menggunakannya untuk membina kehidupan rumahtangga kelak. Ini kerana Allah telah berjanji: Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. [al-Nur 24:32]

 

Pertimbangan “Apa Kata Orang?”

Kami bimbang apa pula kata orang lain apabila anak kami bernikah dalam suasana majlis yang serba minimum?

Nasihat saya, Perkahwinan ialah satu ibadah yang besar kepada Allah. Perhatikan saja betapa banyak tunjuk ajar, perintah larangan dan adab-adab perkahwinan daripada lamaran sehinggalah kepada kehidupan selepas pernikahan. Bahkan majlis perkahwinan itu sendiri adalah satu ibadah sehinggakan orang-orang yang telah dijemput wajib menghadirinya.

Justeru jangan mencemari ibadah ini dengan “Apa kata orang lain?” Jadikanlah ibadah ini ikhlas kepada Allah dengan mengambil kira apa kata Allah dan apa kata Rasulullah.