Soalan: 

Saya terfikir, jika seorang isteri menghadapi masalah dengan suaminya, apakah langkah-langkah yang perlu diambilnya untuk meminta cerai? Saya faham kuasa talak di tangan suami, lalu apakah jalan keluar yang diberikan oleh Islam kepada isteri? Terima kasih.

 

Jawapan:

Ini soalan yang baik, yang patut diketahui oleh semua pihak khususnya suami dan isteri. Para isteri perlu melalui dua langkah sebelum membuat keputusan untuk meminta cerai daripada suami. Langkah Pertama adalah seperti mana ayat berikut:

Dan jika seorang perempuan (isteri) bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka mengalah atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. [al-Nisa’ 4:128]

Ayat ini ditujukan kepada para isteri yang menghadapi “masalah” dengan suami mereka. Lebih tepat, suami yang bermasalah disebut sebagai suami yang Nusyuz. Nusyuz secara bahasa bererti tinggi. Dalam konteks ayat ini, ia bererti suami yang tinggi diri, ego, sombong dan bersikap ala diktator. Ayat ini juga mmerujuk kepada suami yang tidak melayani isteri, bererti tidak memberi nafkah batin kepada isteri seperti belaian kasih sayang, santapan rohani, pelukan dan hubungan seks. 

Apabila berhadapan dengan suami yang bermasalah seperti di atas, ayat ini – sebagai langkah pertama – menyarankan agar isteri mengusahakan perdamaian dengan suaminya. Allah Subhanahu waTa'ala melalui ayat ini mengingatkan bahawa perdamaian itu sebenarnya lebih baik daripada perceraian. Peringatan ini diberikan agar pihak isteri tidak terlalu cepat meminta perceraian, menyangkakan ia satu solusi yang terbaik. 

Seterusnya Allah mengingatkan diri isteri dan suami daripada sikap kedekut, kerana sikap kedekut ini menyebabkan masing-masing pasangan enggan mengalah dan meminta maaf. Kupasan yang lebih mendalam bagi ayat ini boleh dirujuk dalam ruangan Soal Jawab Munakahat majalah Pengantin edisi Disember 2012.

Jika langkah pertama ini telah diusahakan bersungguh-sungguh dan perceraian masih menjadi pilihan, maka Langkah Kedua adalah sepertimana ayat berikut:

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah seorang hakaman (orang tengah untuk memperbaiki mereka, iaitu), seorang dari keluarga suami dan seorang dari keluarga isteri. Jika kedua-dua hakaman itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak memperbaiki (mereka suami isteri), nescaya Allah akan memberi taufiq kepada mereka berdua (suami isteri itu). Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya. [al-Nisa’ 4:35]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu waTa'ala menerangkan jika dibimbangi akan berlaku perpecahan atau perceraian di antara suami isteri, hendaklah dilantik seorang hakaman. Secara lebih mendalam, hakaman ini hendaklah terdiri daripada:

  1. Ahli keluarga, yakni daripada kalangan ahli keluarga pihak suami dan ahli keluarga pihak isteri.
  2. Seorang saja bagi pihak suami dan seorang saja bagi pihak isteri. Jumlah seorang adalah terbaik kerana bilangan hakaman yang ramai hanya akan meriuh-rendahkan suasana dan meninggikan kemungkinan aib-aib suami isteri yang sedang bertelingkah itu tersebar.
  3. Merupakan seorang yang berilmu, matang dan adil, seumpama seorang hakim mahkamah. Sebab itulah beliau digelar sebagai hakaman yang bererti “seorang hakim”.
  4. Benar-benar ingin memperbaiki masalah yang dihadapi oleh suami isteri, agar mereka dapat meneruskan kehidupan bersama. Seorang hakaman tidak boleh bersikap “batu api”, melaga-lagakan antara suami isteri tersebut, memprovokasi atau berat sebelah sehingga hanya membela ahli keluarganya.
  5. Tidak menyebarkan aib-aib suami isteri yang sedang bertelingkah. Para hakaman tentunya akan bertanya dan mendengar aib, kelemahan dan kesalahan masing-masing suami dan isteri, seterusnya memberi nasihat, teguran dan saranan pembaikan. Amat penting bagi para hakaman untuk merahsiakan aib, kelemahan dan kesalahan tersebut. Menyebar-nyebarkannya hanya akan menyukarkan proses pembaikan suami isteri tersebut.

Jika seorang hakaman memiliki ciri dan tujuan seperti mana di atas, nescaya Allah akan memberi taufiq kepada mereka berdua (suami isteri itu) ke arah kehidupan bersama yang lebih baik berbanding sebelum itu.

Seandainya langkah kedua di atas juga tidak berjaya, barulah pihak isteri mula berjumpa dengan peguam untuk membicarakan proses memohon cerai. Di sini ingin saya tekankan bahawa sebahagian isteri ada yang terus berjumpa dengan peguam tanpa terlebih dahulu melalui langkah pertama dan kedua. Peguam pula – maaf kata – ada sebahagian yang memandang suasana ini sebagai peluang keemasan bagi meningkatkan sumber pendapatan dirinya, nama baik syarikat guamannya dan rekod kecemerlangan peribadinya. 

Sebahagian isteri ada yang meminta bantuan ahli keluarganya untuk bertindak sebagai hakaman, namun sayang sekali ahli keluarga tersebut pula yang terlalu beremosi, memprovokasi, berat sebelah atau tidak tahu apa peranannya sebagai hakaman. Oleh kerana itulah di permulaan jawapan ini, saya menyatakan perkara ini adalah baik untuk diketahui oleh semua pihak. Ini kerana tiada siapa tahu bahawa pada satu hari nanti anda akan diminta menjadi hakaman kepada salah seorang ahli keluarga anda yang berada di ambang perceraian.

Penting untuk diperhatikan bahawa ayat 35 surah al-Nisa’ ditujukan umum kepada suami dan isteri, tidak terhad kepada isteri sahaja. Oleh itu jika ada suami yang menghadapi masalah dengan isterinya, hendaklah dia sebagai Langkah Pertama memerhatikan tahap-tahap pembaikan yang digariskan oleh Allah terhadap isteri yang nusyuz (al-Nisa’ 4:34). Jika tetap tidak berjaya, maka beralih ke Langkah Kedua iaitu melantik sesorang hakaman dan meminta isterinya juga melantik seorang hakaman demi kebaikan mereka berdua (al-Nisa’ 4:35). Seorang suami janganlah terburu-buru menjatuhkan talak kepada isterinya tanpa sungguh-sungguh melalui langkah pertama dan kedua tersebut.