Setiap bidang memiliki orang yang menjadi pakar di dalamnya dan untuk bidang agama, para pakarnya disebut sebagai ulama’. Ulama’ ialah kata jamak (plural) dari kata tunggalnya (singular) – orang alim. Para ulama’ Islam dari dulu sehingga kini menjadi rujukan kita semua, bahkan dihormati dan dikasihi. Kitab-kitab mereka menjadi khazanah yang amat berharga dan menjadi koleksi istimewa di perpustakaan awam mahu pun peribadi.

Dalam rangka kita merujuk, menghormati dan mengasihi para ulama’, ada satu perkara yang ingin saya bawa ke perhatian para pembaca sekalian. Perkara itu ialah, sikap kita terhadap para ulama’ termasuk dalam urusan tauhid dan aqidah. Dalam erti kata lain, jika kita tidak memiliki sikap yang betul dalam berinteraksi dengan para ulama’, ia boleh membawa kepada syirik dan kerosakan aqidah. Ini akan dapat difahami dengan lebih mendalam melalui ayat al-Qur’an berikut ini dan hadis yang menyusulinya.

injil.jpeg 

Belajar Dari Kesalahan Ahli Kitab

Al-Qur’an seluruhnya adalah untuk kita umat Islam. Apabila di dalamnya Allah Subhanahu waTa'ala mengkhabarkan berkenaan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) dan golongan musyrik, ia bertujuan agar kita belajar dari kesalahan mereka dan tidak mengulanginya atau menjadikannya sebahagian daripada sikap kita. Antara kesalahan Ahli Kitab yang Allah tonjolkan di dalam al-Qur’an ialah pada ayat berikut: Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. [al-Taubah 9:31]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan kesalahan golongan Ahli Kitab yang menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. Bagaimanakah cara Ahli Kitab menjadikan orang alim dan rahib tersebut sebagai tuhan? Adakah dengan cara sujud kepada mereka? Adakah dengan cara berdoa kepada mereka? Adakah dengan cara bertawakkal kepada mereka?

Hadis berikut menjelaskan persoalan di atas. ‘Adiy bin Hatim berkata: Aku mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wa salam dan di leherku ada salib emas. Baginda bersabda: “Wahai ‘Adiy, buanglah patung ini darimu.” Lalu aku mendengar baginda membaca (sebuah ayat) dalam surat al-Bara’ah (nama lain bagi surah al-Taubah): “Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah.” 

Baginda bersabda: “Ingatlah, sesungguhnya mereka tidak menyembah orang-orang alim dan rahib-rahib tersebut. Akan tetapi mereka, apabila orang-orang alim dan rahib-rahib tersebut menghalalkan sesuatu mereka turut menghalalkannya dan apabila orang-orang alim dan rahib-rahib tersebut mengharamkan sesuatu mereka turut mengharamkannya.”

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3020/3095. Penjelasan lanjut berkenaan kedudukan hadis ini boleh dirujuk dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 3293.

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah kepada kita bentuk sembahan yang dilakukan oleh Ahli Kitab. Sikap mereka yang mengikuti secara buta tuli apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh para ulama’ mereka menyebabkan mereka dinyatakan oleh Allah sebagai menjadikan para ulama’ tersebut tuhan selain Allah. 

Meski pun ayat dan hadis di atas merujuk kitab sikap Ahli Kitab, pengajaran adalah untuk kita umat Islam. Oleh kerana itulah jika kita mengkaji perkara-perkara yang membatalkan tauhid, salah satu daripadanya ialah mengikuti para ulama’ secara membuta tuli dengan membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Jalan Pertengahan

Umat Islam dalam berinteraksi dengan para ulama’ terbahagi kepada tiga kelompok. Pertama ialah kelompok yang meremehkan para ulama’, mengabaikan pendapat-pendapat mereka dan bahkan menghina mereka. Kedua ialah kelompok yang mempertuhankan para ulama’ sehingga mengikuti apa saja pendapat atau hukum yang disampaikan oleh ulama’-ulama’ tersebut dengan membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah. 

Ketiga ialah kelompok yang di pertengahan. Mereka menjadikan para ulama’ sebagai penjelas kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka selalu mengkaji dan membanding antara petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, dan pendapat para ulama’. Jika ada pendapat atau hukum para ulama’ yang nampaknya tidak selari, maka yang dijadikan pegangan ialah al-Qur’an dan al-Sunnah sementara pendapat para ulama’ tersebut diketepikan. Ini dilakukan tanpa menghina atau meremehkan ulama’ tersebut.

 

Marilah kita sama-sama menjadi dari kelompok yang ketiga.