Soalan:

Dalam surah al-Waqi’ah, ayat 17 dinyatakan berkenaan ahli-ahli syurga: Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda. Siapakah yang dimaksudkan dengan anak-anak muda tersebut? Adakah mereka anak kepada kaum Muslimin yang meninggal dunia pada usia muda?

Hafizah Hassan, Gopeng, Perak.

 

Jawapan:

Maksud anak-anak muda tersebut ialah para pelayan di syurga yang sentiasa muda, mereka tidak mengalami umur tua atau meninggal dunia. Rasulullah sebagai penjelas al-Qur’an tidak menjelaskan asal usul anak-anak muda tersebut. 

Di kalangan para sahabat Rasulullah, ada yang mengatakan mereka ialah anak-anak kaum Muslimin yang meninggal dunia pada usia kanak-kanak. Ada juga yang mengatakan mereka ialah anak-anak orang musyrik yang meninggal dunia pada usia kanak-kanak. [Tafsir al-Qurtubi, jld. 17, ms. 627] Namun tidak ada pengesahan yang muktamad berkenaan pendapat-pendapat ini. Para imam tafsir membiarkan persoalan ini terbuka kerana yang penting ialah melayakkan diri memasuki syurga dan bukannya bertanya asal-usul pelayan syurga.