|
ISU 16 : KEMUNCULAN
HADIS PALSU
Soalan 16:
Bagaimana munculnya hadis-hadis palsu?
Jawapan:
Hadis palsu adalah kata-kata yang direka dan
dianggap atau dilabelkan sebagai hadis. Terdapat juga
kata-kata hikmah daripada para sahabat, tabiin atau ulama
yang disalah anggap sebagai hadis. Kesemua ini dikatakan
sebagai hadis maudhu’ atau hadis palsu. Persoalan
tersebarnya hadis-hadis palsu adalah satu perkara yang
serius dan perlu sama-sama ditangani oleh kita semua
terutamanya golongan yang diberikan ilmu agama.
Terdapat banyak buku yang menceritakan dengan
panjang lebar tentang sejarah kemunculan hadis-hadis palsu.
Buku ini dikarang oleh para ulama sejak dahulu hingga kini.
Namun saya ingin mencadangkan kepada para pembaca untuk
meneliti sebuah buku yang ditulis oleh Abd. Fattah Abu
Ghuddah yang bertajuk Lamahat Fi Tarikh al Sunnah Wa Ulum
al Hadith. Sebahagian besar maklumat yang saya akan
sebutkan seterusnya di sini diambil daripada buku ini.
Rasulullah Saw Telah Memberikan Isyarat Kemunculan Hadis
Palsu
Jika kita membaca buku-buku hadis, kita akan
bertemu dengan beberapa amaran daripada Rasulullah SAW
tentang dosa mencipta hadis palsu dan bahaya menyebarkan
kata-kata yang bukan daripada diri Baginda SAW. Ini adalah
merupakan satu tanda jelas bahawa pemalsuan hadis akan
berlaku selepas Baginda SAW wafat. Di antara hadis yang
jelas menyebutkan bahawa akan berlaku penipuan terhadap
hadis-hadis Baginda SAW ialah sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh Muslim di dalam Sahih Muslim:
Maksudnya:
Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat
seperti dajjal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang
hadis yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak
pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka
mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka.
Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke
dalam fitnah.
Bilakah Bermulanya Pemalsuan Hadis?
Menurut Abd. Fattah Abu Ghuddah di dalam bukunya
Lamahat Min Tarikh al Sunnah, permulaan jenayah
pemalsuan hadis adalah pada sekitar tahun 40 Hijrah. Sebab
utama yang memulakan jenayah ini ialah pertelingkahan dan
perselisihan yang bermula sejak Khalifah Uthman Bin Affan
gugur syahid dibunuh oleh golongan pemberontak.
Sebab-Sebab Hadis Palsu Dicipta
Terdapat banyak sebab yang menjadikan sebahagian
manusia tergamak melakukan kesalahan yang amat besar ini
iaitu memalsukan hadis. Sebab-sebab ini dapat dilihat dalam
bentuk golongan yang menyebut hadis palsu. Secara ringkasnya
saya sebutkan di sini beberapa golongan yang menyebut
hadis-hadis palsu bersumberkan daripada tulisan Ali al Qari
(1014H) dalam bukunya al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadis al
Maudhu’.
Ianya adalah seperti berikut :
1- Golongan
yang terlalu tenggelam dalam zuhud tanpa ilmu sehingga daya
ingatan mereka menjadi kurang dan tidak dapat membezakan di
antara hadis atau kata-kata orang lain. Mereka tersilap lalu
menyebut sesuatu sebagai hadis sedangkan yang sebenarnya
bukan hadis.
2- Golongan
ahli periwayat hadis yang tidak menghafaz hadis-hadis mereka.
Maka apabila sesuatu berlaku kepada buku mereka, mereka
tidak dapat mengingat dengan tepat apakah hadis yang telah
mereka catatkan.
3- Golongan
yang soleh tetapi disebabkan terlalu tua, mereka terkena
penyakit nyanyuk lalu tersalah dalam menyebut hadis-hadis
palsu.
4- Terdapat
juga golongan yang tersalah meriwayatkan hadis-hadis palsu,
tetapi setelah ditegur, mereka sombong dan enggan menarik
balik kata-kata mereka.
5- Golongan
zindiq yang jahat. Mereka mencipta hadis-hadis palsu
bertujuan menyesatkan umat Islam.
6- Golongan
yang taksub dengan mazhab masing-masing dan mencipta
hadis-hadis palsu untuk menguatkan dan memenangkan mazhab
mereka.
7-
Golongan jahil yang mencipta hadis-hadis palsu kononnya
untuk menggalakkan manusia melakukan ketaatan atau
menggerunkan mereka daripada melakukan perkara maksiat.
8- Golongan
yang menyatakan bahawa tidak mengapa meletakkan sanad palsu
kepada kata-kata yang indah.
9- Golongan
pengampu yang mencipta hadis-hadis agar mereka disayangi
oleh pemerintah.
10-Golongan
penceramah dan tukang cerita yang berceramah di
masjid-masjid. Mereka mencipta atau meriwayatkan hadis palsu
semata-mata untuk menarik minat masyarakat awam agar mereka
mendapat banyak habuan kebendaan dan menjadi masyhur.
Sepuluh golongan ini ialah mereka yang dinyatakan oleh Ali
al Qari sebagai golongan yang menjadi sumber datangnya
hadis-hadis palsu. Kita dapat lihat dengan jelas bahawa ada
di antara golongan yang disebutkan oleh Ali al Qari yang
sememangnya jahat dan ada juga yang jahil atau tersilap.

|