1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

ISU 7 : PENDAPAT ULAMAK

     ISU 9 : KESAHIHAN SUNAN?

ISU 8 : RUJUKAN HADIS SAHIH

 

 

Soalan  8:

 

Apakah buku-buku yang patut dirujuk untuk mengenal hadis-hadis sahih?

 

 

Jawapan:

Berikut adalah beberapa rujukan yang saya cadangkan:

 

1-  Bagi yang mampu membaca tulisan di dalam Bahasa Arab, saya mencadangkan supaya mereka membaca buku Sahih al Huffaz karya Awwad al Khalaf. Buku ini mengumpulkan hadis-hadis yang diriwayatkan secara bersama oleh enam orang imam hadis yang terkemuka iaitu al Bukhari, Muslim, al Nasaai, al Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Jumlahnya ialah 408 hadis.

 

2-  Membaca buku al Luíluí wa al Marjan Fi Ma Ittafaqa ĎAlaihi al Syaikhan yang mengumpulkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim. Ia disusun oleh Muhammad Fuad bin Abd. Baqi.  Buku ini mengandungi hadis-hadis yang sama dari segi maksud dan lafaz yang diriwayatkan oleh kedua-dua imam ini melalui sahabat yang sama. Hadis ini adalah kategori hadis sahih yang paling tinggi kedudukannya di sisi ulama hadis. Jumlahnya ialah 1096 hadis. Buku ini ada dijual di dalam bahasa arab (1 jilid) dan juga dijual dalam bentuk terjemahan dalam bahasa Indonesia (3 jilid). Kita bolehlah mengasingkan hadis-hadis yang telah dibaca dalam langkah pertama tadi.

 

3-  Membaca buku Mukhtasor Sahih al Bukhari atau ringkasan Sahih al Bukhari karya al Zubaidi. Buku ini ada dijual dalam bahasa arab (1 jilid) dan telah diterjemahkan  ke dalam bahasa Indonesia. Tumpukan kepada hadis-hadis yang hanya diriwayatkan oleh al Bukhari iaitu yang tidak ada dalam buku-buku di atas tadi.

 

4-  Membaca buku Mukhtasor Sahih Muslim atau ringkasan Sahih Muslim karya Abd Azim al Munziri (656H). Ia ada dijual di dalam bahasa arab (1 jilid) dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia (1 jilid). Tumpukan kepada hadis-hadis yang hanya diriwayatkan oleh Muslim iaitu yang tidak ada di dalam buku-buku di atas tadi.

 

Banyak faedah dan manfaat yang akan kita dapati jika membaca hadis-hadis Nabi SAW. Apa yang penting, kita tidak terburu-buru menghabiskannya kerana itu biasanya menjadikan kita akan berhenti daripada membacanya. Terburu-buru juga mungkin menjadikan kita kurang mengingati hadis-hadis yang pernah dibaca. Mohonlah pertolongan ALLAH berserta usaha yang terbaik.

 

            Kita mestilah menumpukan perhatian utama ke arah mengkaji dan mengamalkan hadis-hadis sahih yang terdapat dalam dua buah buku yang terkenal iaitu Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim. Kedua-dua buah buku ini telah diiktiraf sebagai yang terbaik dalam mengumpulkan hadis-hadis sahih. Kedua-dua buah buku ini sepatutnya menjadi rujukan bagi semua masyarakat sama ada golongan agama atau masyarakat awam. Saya menasihati diri saya dan para pembaca untuk membaca kedua-dua buku ini. Kita juga mestilah membaca huraian para ulama tentang maksud hadis Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim dalam buku-buku seperti Fathu al Bari (huraian Sahih al Bukhari) karya Ibnu Hajar al Asqalani (852H) dan al Minhaj (huraian Sahih Muslim, juga dikenali sebagai Syarh Sahih Muslim) karya al Nawawi (676H).

 

 


 

www.al-firdaus.com