1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20
KATA-KATA ALUAN

ISU 1 : AL-QURAN SAHAJA?

PENDAHULUAN

 

الحمدلله نحمده ونستعينه ونستغفره , ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات أعمالنا,  من يهده الله فلا مضل له,  ومن يضلله فلا هادي له,

 أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

 

Syukur kepada ALLAH SWT kerana mengizinkan buku ini ditulis, disusun dan dicetak buat tatapan para pembaca. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam usaha menerbitkan buku ini. Diharap buku ini dapat mengisi khazanah buku-buku agama yang semakin banyak di pasaran.

 

            Buku ini adalah hasil penulisan ilmiah saya yang pertama dan sudah pasti setiap permulaan itu ada kekurangan dan perlu diperbaiki. Fokus buku ini ialah beberapa maklumat asas yang perlu diketahui oleh masyarakat Islam masa kini tentang hadis Rasulullah SAW. Setelah mengetahui perkara-perkara asas ini, maka mudahlah seorang muslim itu untuk memahami, seterusnya beramal, dengan apa yang terkandung di dalam hadis-hadis sahih. Persoalan-persoalan yang dijawab di dalam buku ini akan menjadikan pembacanya lebih berpeluang untuk menerokai bidang hadis yang begitu luas, insya ALLAH. Sudah pasti terdapat banyak lagi persoalan asas yang lain tentang hadis, tetapi anggaplah bahawa apa yang ada di dalam buku ini sebagai permulaan.

 

            Harapan saya agar mereka yang membaca buku ini akan dapat mengambil faedah, seterusnya menjadikan mereka lebih memberikan tumpuan kepada pengkajian ilmu yang agung ini dan menyebarkannya ke dalam masyarakat. Golongan agamawan boleh menjadikannya sebagai satu hasil kajian dari saya yang lemah ini. Sekiranya mereka terjumpa kesalahan di dalamnya, maka segeralah memaklumkannya kepada saya berserta bukti yang menunjukkan bahawa saya tersalah. Bagi golongan yang tidak pernah membaca atau mempelajari ilmu ini, maka buku ini diharap menjadi satu permulaan untuk mereka mengenali sedikit sebanyak tentang hadis Rasulullah SAW serta ilmu pengkajian hadis.

 

Beberapa Perkara Berkaitan Metodologi Penulisan Buku Ini

 

1-  Buku ini mengutamakan perbincangan tentang persoalan-persoalan asas berkaitan hadis dan bukanlah ingin menyentuh semua bidang atau semua bahagian mengenai hadis. Sudah pasti buku yang kecil ini tidak mencukupi untuk menyatakan semua perkara berkaitan ilmu hadis.

 

2-  Apabila saya menyebutkan sesuatu pendapat, saya cuba sedaya upaya untuk menyebut sumber pendapat tersebut.

 

3-  Apabila menyebutkan sesuatu hadis, maka saya berusaha menyebut siapa yang meriwayatkan hadis tersebut. Semua dibuat berdasarkan kemampuan saya yang lemah ini.

 

4-  Hadis-hadis yang ada di dalam Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim adalah sahih dan saya tidak sebutkan periwayat selain mereka kerana itu telah mencukupi.

 

5-  Bagi hadis-hadis yang tidak ada di dalam Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim, saya telah mencari hadis tersebut dari sumber-sumber lain dan menjelaskan kedudukannya sama ada sahih atau tidak berdasarkan komen para ulama hadis dahulu dan masa kini.

 

6-  Sebolehnya saya akan menyebut tarikh wafat bagi para ulama hadis sejak dahulu hingga kini dan diletakkan di dalam kurungan selepas nama mereka disebut kali pertama. Ini amat penting untuk kita melihat zaman mereka hidup dan membezakan di antara ulama yang terdahulu dan terkemudian.

 

 

Penghargaan

 

            Saya berterima kasih kepada mereka yang telah memberikan sumbangan dalam memperbaiki tulisan ini sejak dari awal hinggalah sampai ke tahap ia dibukukan. Antara mereka ialah abang saya, Hafiz Bin Abd. Aziz, Ustaz Anwaruddin Bin Abd. Wahab (pegawai bahagian Arab Service, BERNAMA.), Ustaz Muharman Bin Bachtiar (pensyarah di Kolej Jaiputra, Kota Bharu), Ustaz Anwar (pensyarah Pusat Matrikulasi UIAM, Petaling Jaya), guru-guru di SMK Bandar Tun Razak, khususnya En. Mohd.Rizal B. Yaacob yang  memberikan perkongsian ilmiah serta rakan-rakan yang lain.

 

            Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada warga pendidik SMK Simpang Rengam, Kluang yang telah menjadi guru dan rakan sepanjang saya bertugas di sana walaupun tempohnya terlalu singkat. Saya hadiahkan buku ini kepada para pelajar terutamanya para pelajar kelas hadis yang menjadi sumber inspirasi dalam menggerakkan semangat ke arah menulis buku ini. Manfaatkanlah buku ini sebagai panduan dalam memahami ilmu hadis. 

 

            Terima kasih kepada Dr. Mohd. Asri Bin Zainul Abidin (Pensyarah Pengajian Islam USM) kerana sudi menyemak hasil tulisan saya dan memberikan komen ilmiah bagi mengelokkan lagi buku ini. Semoga ALLAH membantu beliau dalam menyebarkan ilmu-ilmu yang berharga di dalam masyarakat.

 

            Begitu juga ucapan terima kasih kepada penyunting buku ini iaitu Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah, penulis buku-buku Islam yang ilmiah. Kesudian beliau menyunting buku ini merupakan satu penghormatan kepada diri saya. Semoga ALLAH memberikan ganjaran kepada beliau.[1]

 

            Terima kasih tidak terhingga kepada isteri, Herlyna Bt. Bachtiar dan anak-anak (Ammar dan Amir) kerana sokongan dan dorongan mereka sepanjang penulisan buku ini.   Buku ini saya hadiahkan khas kepada ibu bapa saya � Tn. Hj. Abd. Aziz Mansor dan Hjh. Habsah Bt. Lebai Din �  dan juga kaum keluarga yang sentiasa memberikan sokongan di atas penulisan ini khususnya Tn. Hj Ahmad Hussain dan Hjh. Latifah Bt. Lebai Din.

 

Semoga ALLAH SWT memberikan ganjaran kepada mereka yang membaca buku ini dan diharapkan agar para pembaca mendoakan kepada penulis agar diberikan ilmu dan amalan yang salih.

 

 

Adlan bin Abd. Aziz

Disember 2005

alitantawi@yahoo.com

 




[1]Dalam menyunting skrip ini, saya (Hafiz Firdaus) berterima kasih kepada Shaabana bt. Zahir Ahmad dan Norfatihah bt. Omar yang sudi membantu untuk membaca pruf dan memberi beberapa cadangan pembaikan.

 

www.al-firdaus.com