al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Ragam dan Kesilapan : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

 
 

Ketiga: Penyelidikan yang tidak menyeluruh terhadap sesebuah kitab.

Jika sebelum ini kita telah melihat contoh penyelidikan sumber rujukan yang tidak menyeluruh, maka kini kita akan lihat pula salah satu dari sekian banyak contoh penyelidikan yang tidak menyeluruh terhadap sesebuah kitab. Dalam erti kata lain, kesimpulan dibuat tanpa mengkaji keseluruhan kitab dari muka ke muka, atau dalam bahasa mudah: baca tak habis !.

G.H.A. Juynboll dalam artikelnya Some New Ideas on The Development of Sunna as a Technical Term in Early Islam[1] telah merujuk kepada kitab tafsir Ibnu Jarir at-Tabari (310H) – Jamii al-Bayan an Takwil ay al-Qur’an - bagi mengkaji siapakah di kalangan generasi tabiin yang berpendapat perkataan al-Hikmah di dalam al-Qur’an memiliki maksud sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Beliau menulis: Tabari mentioned only Qatada (d. 118/736) who identified hikma with as-sunna (but we will see below what Qatada meant by that). Other early authorities in Tabari’s tafsir suggested that it conveyed “knowledge of and insight into religion” (al-ma’rifah bi ‘d-din wa ‘l-fiqh fi d’-din) or similar expressions. Not even Tabari himself, who died more than a century after Shafi’i in 310/923, mentioned here sunnat an-nabi as the interpretation of hikma, though in another context he did without basing himself on earlier authorities, as was otherwise his custom. [2]

Rujukan kembali kepada kitab tafsir Jamii al-Bayan di atas menunjukkan bahawa at-Tabari juga telah meriwayatkan dengan isnad yang lengkap tafsiran al-Hikmah sebagai mewakili maksud sunnah Nabi dari beberapa tabiin selain Qatadah, antaranya ialah Ibnu Juraij (150H)[3] dan Ibnu Zaid (182H), yang telah berkata: (al-Hikmah ialah) bahagian agama yang tidak mereka ketahui kecuali dengan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, beliau mengajar mereka tentangnya.[4] Apa yang diajar oleh Rasulullah, itulah yang dikenali sebagai sunnah.

Rumusan Juynboll bahawa at-Tabari sendiri tidak menafsirkan perkataan al-Hikmah sebagai sunnah Nabi adalah juga tidak benar, kerena rujukan semula ke dalam kitab Jamii’ al-Bayan mendapati at-Tabari menulis: al-Hikmah ialah as-Sunnah, iaitu yang ditetapkan Allah (segala pujian baginya) kepada sekalian mukminin atas lisan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, juga segala keterangan beliau kepada mereka.[5] Sementara dalam satu bahagian lain at-Tabari menulis: al-Hikmah ialah dengan hikmah, iaitu as-Sunnah. Setelah itu at-Tabari mengemukakan beberapa riwayat dari Ibnu Zaid dan Qatadah yang beliau jadikan sandaran.[6]

Seterusnya Juynboll dalam artikelnya yang sama mengemukakan beberapa pendapat lain tentang perkataan al-Hikmah yang ditafsirkan kepada maksud selain sunnah Nabi. Perbezaan tafsir ini adalah kerana – sebagaimana terang Ibnu Qayyim (757H)[7] – terdapat dua ragam dan pola susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an. Ragam pertama adalah apabila perkataan al-Hikmah berdiri dengan sendirinya. Ia memiliki beberapa erti seperti sifat-sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan syari’at agama, setiapnya bergantung kepada konteks perbincangan ayat. Ragam kedua adalah apabila perkataan al-Hikmah digandingkan dengan al-Kitab, iaitu al-Kitab dan al-Hikmah. Dalam ragam kedua ini, perkataan al-Hikmah bererti segala sumber syari’at, ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci (al-Kitab). Ini sepertimana yang telah penulis sebelum ini (lihat tugas ke-7 dalam bab 10 Tugas dan Tanggung-Jawab Rasulullah)

 

Keempat: Salah rujukan pengarang kitab. 

 



[1]                 Dibukukan dalam Studies on The Origins and Uses of Islamic Hadis, pg 97-118.

[2]               Studies on The Origins and Uses of Islamic Hadis, pg 106-107.

[3]               Jamii al-Bayan an Takwil ay al-Qur’an, jld 3,bhg 1, ms 373,  no: 5575.(Tafsir ayat 3:48).

[4]               Jamii al-Bayan, jld 1, ms 775, no: 1716. (Tafsir ayat 2:129)

[5]               Jamii al-Bayan, jld 3, bhg 2, ms 217. (Tafsir ayat 3:164).

[6]               Jamii al-Bayan, jld 14, bhg 1, ms 120. (Tafsir ayat 62:02).

[7]               Madarij as-Salikin, ms 330-331. Lihat juga Muhammad Uwais an-Nadwy – Tafsir Ibnu Qayyim: Tafsir Ayat-ayat Pilihan, ms 263-264.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian