MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

 

A - E : F - G : H - L

 

 

 

H:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa sesuatu kemungkaran yang ditemui berlaku dalam suasana tertutup tidak dihebahkan kepada orang ramai. Kemungkaran tersebut hendaklah dilarang dan pelakunya diberi nasihat dalam suasana yang tertutup.

Penjelasan:

Tidak boleh mengumumkan kemungkaran dan identiti pelakunya sehingga diketahui oleh orang ramai. Tindakan ini dilarang keras oleh Allah dengan ancaman:

 

Sesungguhnya orang-orang yang suka dihebahkan (tuduhan atau berita)

yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,

mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat;

dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

[al-Nur 24:19]

Pada masa kini, tindakan membawa orang yang didapati melakukan kemungkaran ke mahkamah perlu dikaji semula. Ini kerana tindakan tersebut akan mendedahkan identiti orang yang terbabit dan kemungkaran yang dilakukannya. Sekali pun yang mendedahkannya adalah pihak media, pihak yang diberi amanah melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar perlu memainkan peranan aktif untuk menutup identiti orang yang terbabit.

 

 

 

 

 

I:         Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah dengan kesabaran, sabar dalam menantikan hasilnya dan sabar dalam menerima cabaran-cabaran yang bakal timbul. Tidak boleh cepat putus asa atau hilang semangat.

 

Penjelasan:

Ini sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya:

 

 “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah yang ma’ruf serta laranglah daripada yang mungkar,

dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.

Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” [Luqman 31:17]

 

 

 

 

  

J:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memandang bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah lebih afdhal dengan kerjasama pemerintah dan wakil-wakilnya kerana ia lebih berkesan dalam menghasilkan kejayaan yang diingini.

 

Penjelasan:

Ini dapat dipelajari daripada peristiwa Perang Jamal. Pada asalnya A’isyah, al-Zubair dan Thalhah keluar menuju ke Basrah untuk melakukan sesuatu yang ma’ruf, iaitu menyatukan umat Islam yang saat itu dalam keadaan hiruk pikuk setelah berlakukanya pembunuhan ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu ‘anh. Ibn Hazm rahimahullah (456H) menjelaskan:

 

Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.

 

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu 'anh.[1]

 

Namun tindakan mereka yang bersendirian tanpa kerjasama pemimpin, iaitu ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh telah diambil kesempatan oleh para musuh untuk melagakan mereka berdua sehingga berlakulah Perang Jamal. Sehingga kema’rufan yang dihajati bertukar menjadi kemungkaran. Ibn Taimiyyah menerangkan:

 

Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.[2]

 

 

 

 

 

 

K:       Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memandang bahawa jika amar ma’ruf dan nahi mungkar yang hendak dilaksanakan dituju kepada pemerintah itu sendiri mahu pun wakil-wakilnya, maka ia dilaksanakan secara dialog, nasihat dan teguran. Semua ini dilaksanakan dalam suasana tertutup sekali pun kemungkaran yang mereka lakukan adalah dalam suasana terbuka lagi jelas.

 

Penjelasan:

Ini merupakan kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di antara (1) mereka yang enggan menasihati pemerintah secara tertutup sekali pun memiliki peluang dengan (2) mereka yang membangkang pemerintah secara terbuka tanpa berusaha untuk menasihatinya secara tertutup. Dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad:

Shuraih bin ‘Ubaid al-Hadhrami dan selainnya berkata: ’Iyadh bin Ghanm (bin Zuhair, salah seorang sahabat Nabi) memukul seorang penjaga gudang. Maka Hisyam bin Hakim (bin Khuwaylid, salah seorang sahabat) menegurnya dengan keras sehingga ‘Iyadh menjadi marah. Kemudian ‘Iyadh berdiam diri untuk beberapa malam sehinggalah Hisyam bin Hakim datang kepadanya dan meminta maaf kepadanya. Kemudian berkata Hisyam kepada ‘Iyadh:

 

“Tidakkah engkau mendengar bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Sesungguhnya manusia yang paling dahsyat seksanya (di Hari Akhirat)

adalah yang paling dahsyat menyeksa manusia di dunia ini.”

 

‘Iyadh bin Ghanm menjawab:

“Wahai Hisyam bin Hakim, saya sudah mendengar apa yang engkau dengar

dan saya mengetahui apa yang anda mengetahui.

Namun apakah engkau tidak mendengar bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga telah bersabda:

 

Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah dalam sesuatu urusan,

janganlah dia melakukannya secara terang-terangan.

Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut

dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi.

Jika dia (pemerintah) menerima (nasihat) maka itulah yang diharap-harapkan.

Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat)

telah melaksanakan tanggungjawabnya.[3]

 

 

Dalam hadis di atas, seorang sahabat, ‘Iyadh bin Ghanm radhiallahu ‘anh, yang menjadi wakil khalifah telah melakukan kemungkaran secara terbuka, iaitu dengan memukul seorang penjaga gudang. Kemungkaran beliau telah ditegur secara terbuka oleh seorang sahabat yang lain, Hisyam bin Hakim radhiallahu ‘anh. Teguran Hisyam kepada ‘Iyadh adalah benar kerana terdapat hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi peringatan kepada orang yang bertindak zalim sesama manusia. Akan tetapi teguran yang dilakukan secara terbuka adalah tidak benar kerana terdapat hadis lain dimana Rasulullah melarang seseorang itu menegur pemerintah, atau dalam kes ini wakilnya, secara terang-terangan.

Pada masa kini di kebanyakan negara Islam, kemungkaran pemerintah dilarang bukan dengan cara nasihat yang tertutup, tetapi dengan cara kepartian yang membangkang serta mencela pemerintah secara terbuka.

Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar terhadap pemerintah, wakil-wakilnya dan politik pemerintahannya melalui kaedah kepartian hanya menghilangkan kema’rufan lain yang lebih besar, iaitu umat Islam berpecah-belah kepada beberapa parti. Disamping itu ia juga menghasilkan beberapa kemungkaran lain yang jauh lebih dahsyat, iaitu:

 

1.   Parti yang berbeza saling mengkritik dan mencela di antara satu sama lain padahal setiap parti dipimpin dan dianggotai oleh orang Islam.

 

2.   Kepartian menyebarkan fitnah dan gosip negatif sesama umat dan ia hanya akan melemahkan mandat pemerintah dan akhirnya menimbulkan rusuhan sesama umat dan kerosakan kepada negara. Sejarah pada zaman pemerintahan ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh patut dijadikan teladan. Umat terpengaruh secara membuta kepada fitnah dan gosip yang tersebar, kononnya politik pemerintahan khalifah ‘Utsman memiliki beberapa sisi yang negatif. Lalu mereka merusuh terhadap khalifah dan ini sebenarnya membuka peluang kepada musuh untuk masuk ke rumah ‘Utsman dan membunuh beliau. Tindakan merusuh tersebut tidak membawa apa jua yang ma’ruf, sebaliknya membuka kemungkaran yang amat besar satu demi satu, sebagaimana yang tercatit dalam kitab-kitab sejarah sehingga ke hari ini.

Jika mereka mengambil tindakan yang berbeza, iaitu tidak percaya kepada fitnah dan gosip serta tidak menyebarkannya, sebaliknya bertemu terus kepada pemerintah dan meminta pencerahan (clarification), nescaya catatan sejarah akan berbeza, daripada dipenuhi dengan kemungkaran kepada dipenuhi dengan kema’rufan.

 

3. Kepartian membuka jalan bagi yang bukan Islam menindas agama dan umat Islam. Dalam suasana umat Islam yang berpecah secara zahir dan batin kepada beberapa parti, umat bukan Islam bersatu secara batin sekali pun pada zahirnya kelihatan mereka juga berpecah kepada beberapa parti. Persatuan mereka secara batin menyebabkan pelbagai desakan mereka yang menindas agama dan umat Islam berjaya diperolehi.

 

Tiga kemungkaran di atas menjadikan konsep kepartian, sesuatu yang dipandang ramai sebagai ma’ruf, sebenarnya adalah kemungkaran yang amat dahsyat kepada agama, umat dan negara. Hal ini terbukti dalam sejarah dimana manhaj kepartian tidak berjaya meningkatkan penghayatan Islam dalam politik pemerintahan negara kecuali pada kadar yang amat minimum.

Maka hendaklah setiap umat Islam memiliki wawasan yang luas dalam hal ini. Hendaklah kita beralih dari manhaj kepartian kepada manhaj berdialog, memberi nasihat dan menegur secara tertutup kepada pemerintah. Dengan kesabaran, insya-Allah ia lebih berkesan untuk meningkatkan penghayatan Islam dalam politik pemerintahan negara.

 

 

 

 

 

L:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa puncak bagi amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah turun ke medan jihad fi sabilillah demi menegakkan kalimah Allah dan membasmi fitnah di kalangan manusia. Namun tindakan jihad fi sabilillah hendaklah berdasarkan rukun-rukunnya.

            Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengecam aksi-aksi menakutkan orang ramai dan merosakkan harta benda awam (terrorisme) yang dilakukan atas slogan jihad fi sabilillah. Ia sebenarnya bukan jihad di jalan Allah tetapi jihad yang bertentangan dengan jalan Allah.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menafikan jihad fi sabilillah daripada syari’at Islam dengan (2) mereka yang melaksanakan jihad fi sabilillah tanpa memerhatikan rukun-rukunnya.

Setiap ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji memiliki rukun-rukunnya dimana jika rukun tersebut tidak dipenuhi, maka ibadah tersebut menjadi tidak sah. Demikian juga bagi ibadah jihad fi sabilillah, ia juga memiliki rukun-rukunnya. Namun ia memiliki satu perbezaan yang besar dimana jika rukun-rukun tersebut tidak dipenuhi, maka ibadah jihad bukan sahaja menjadi tidak sah, bahkan orang yang melakukannya akan diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rukun-rukun jihad telah digariskan oleh para ilmuan dalam pelbagai kitab-kitab fiqh.[4]

Ada pun aksi menakutkan orang ramai dan merosakkan harta awam (terrorisme), maka ia adalah aksi yang dikecam oleh Allah, Rasul-Nya dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Terdapat banyak fatwa daripada para ulama’ masa kini yang mengecam aksi tersebut. Antaranya ialah Majlis Fatwa Arab Saudi yang berbunyi:

 

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Segala kemenangan diperuntukkan bagi orang-orang bertaqwa dan permusuhan hanya bagi orang-orang yang zalim. Semoga selawat dan salam serta barakah tercurah kepada makhluk yang paling mulia, iaitu Nabi kita Muhammad, ahli keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti petunjuk baginda hingga akhir zaman.

 

Sesungguhnya majlis Hai’ah Kibar al-Ulama’ pada pertemuan ke-32 yang berlangsung di Taif, mulai tarikh 12 hingga 18 Muharram 1409H, membahas khabar tentang terjadinya beberapa kerosakan yang mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah, hilangnya harta yang tidak sedikit, hancurnya kemudahan-kemudahan awam di negari-negeri Islam dan sekitarnya. Hal ini dilakukan oleh sekelompok orang yang imannya tipis atau memiliki jiwa yang sakit serta rasa iri hati.

 

Contoh dari kejahatan mereka: Mengebom bangunan-bangunan serta membakar kemudahan-kemudahan awam, menghancurkan jambatan dan barang-barang dagangan serta mengebom dan merampas kapal terbang. Kalau diperhatikan dengan saksama berdasarkan beragam peristiwa yang terjadi di negara-negara yang dekat atau pun yang jauh, bahawasanya Arab Saudi dan negara-negara lainnya, menjadi sasaran bagi semua ini.

 

Maka majlis Hai’ah Kibar al-Ulama’ melihat betapa pentingnya menetapkan hukum atas para pelaku kerosakan tersebut. Baik yang menjadi sasaran dari kerosakan itu tempat-tempat dan kemudahan negara atau pun yang lainnya dengan maksud kejahatan dan menghilangkan rasa aman (terrorisme).

 

Majlis ulama’ telah meneliti dengan adil dari apa yang disampaikan oleh para ahli ilmu, bahawasanya syari’at (Islam) yang sempurna ini telah menetapkan wajibnya lima hal yang sangat penting dan mengambil pelbagai tindakan untuk menjaganya. Lima hal tersebut adalah agama, nyawa, kehormatan, akal dan harta.

 

Majlis ulama’ telah memiliki gambaran bahaya-bahaya besar yang akan timbul akibat menzalimi jiwa, kehormatan kaum muslimin dan harta mereka serta akibat yang ditimbulkan oleh para pembuat kerosakan seperti tidak adanya rasa aman dalam satu negara, maraknya kekerasan dan kekacauan, serta ketakutan kaum muslimin atas diri serta harta mereka.

 

Sungguh Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjaga bagi manusia agama, diri, jiwa, kehormatan, akal fikiran serta harta benda mereka dengan batas-batas yang telah disyari‘atkan-Nya, yang dengannya akan terhasil rasa aman. Hal tersebut telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firman-Nya:

 

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.

 

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar. [al-Maidah 5:32-33]

 

Menegakkan hukum tersebut merupakan jaminan akan tersebarnya rasa aman damai dan tidak akan ada keinginan bagi masing-masing individu untuk melakukan kejahatan atau kezaliman atas kaum muslimin. Jumhur ulama’ telah sepakat bahawa hukum terror yang dilakukan di satu kota atau tempat lainnya, sama saja sebagaimana firman Allah (di atas): “melakukan kerosakan di muka bumi”. Dan Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

 

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu dan Islam).

 

Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. [al-Baqarah 2:204-205]

 

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. [al-A’raaf 7:56]

 

Ibn Katsir rahimahullah berkata: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang melakukan kerosakan di muka bumi serta hal-hal yang boleh menjadikannya rosak setelah Allah memperbaikinya kerana jika semuanya berjalan dengan baik, kemudian terjadi kerosakan, maka hal tersebut akan lebih merbahaya bagi manusia. Oleh kerana itulah Allah melarang hal tersebut.”

 

al-Qurtubi rahimahullah berkata: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang segala bentuk kerosakan baik sedikit atau pun banyak, setelah adanya perbaikan, sedikit atau pun banyak, (hukum ini) berlaku secara umum menurut pendapat yang paling benar ( iaitu ia tidak terhad kepada Bani Israil atau suasana tertentu).”

 

Berdasarkan hal tersebut, majlis ulama’ secara ijma’ menetapkan:

 

1. Orang yang telah pasti (secara syari’at) terbukti melakukan suatu bentuk kerosakan di muka bumi, yang membuat suatu kekecohan dengan cara menzalimi jiwa dan harta secara umum atau khusus, seperti meletupkan bangunan orang-orang miskin, masjid, sekolah, hospital, pusat membeli-belah, jambatan, gudang senjata, empangan air, projek-projek awam milik Baitulmal seperti paip minyak, meletupkan pesawat atau merampasnya, dan semisalnya, bahawasanya hukuman yang tepat baginya hanyalah hukuman mati. Ini sesuai dengan dalil-dalil yang telah dikemukakan di atas, bahawasanya halal darah orang yang telah melakukan satu bentuk kerosakan.

2. Bahawasanya sebelum menjatuhkan hukuman seperti yang telah dijelaskan di atas, wajib bagi mahkamah syari’ah dan majlis khusus serta mahkamah tinggi meminta bukti tentang perbuatannya tersebut sehingga tidak salah dalam menjatuhkan hukuman dan menumpahkan darah orang yang tidak berdosa.

3.  Majlis ulama’ berpendapat agar hukuman disebarkan kepada masyarakat umum melalui media massa.

 

Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencurahkan selawat dan salam kepada hamba serta Rasul-Nya: Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.[5]

 

 

 

 TOP


 

[1]  al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (tahqiq: Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83.

[2]  Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 15333 (Musnad al-Makkiyiin, Bab daripada hadis Hisyam bin Hakim) dan berkata Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya, “Hadis sahih lighairihi kecuali sabda baginda: Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan… maka ia adalah hasan lighairihi.” Sabda baginda: Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan… sehingga akhir juga dikeluarkan oleh Ibn Abi ‘Ashim dalam Kitab al-Sunnah dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Zhilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah, hadis no: 1096.

[4] Alhamdulillah, saya juga telah menyusun buku yang khas dalam subjek ini, berjudul Apakah Jihad Di Jalan Allah (Buku 1 & 2) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[5] Fatwa ini dikemukakan dalam majalah Mujamma’ Fiqh Islami, edisi ke-2,  ms. 181, no: 148; dinukil dan diringkaskan daripada buku Fatawa al-Aimmah fi al-Nawazil al-Mudlahimmah susunan Muhammad bin Husain al-Qahthani (edisi terjemahan oleh Andi Masyudin atas judul Fatwa-Fatwa Seputar Terorisme; Pustaka at-Tazkia, Jakarta, 2004), ms. 6-10.

 

kandungan